usahawan rambut
KEMELESETAN ekonomi global nyata menggoyah kesinambungan hampir semua sektor perniagaan. Sama ada syarikat kewangan gergasi atau kedai runcit, semua merasai tempiasnya.
Kerugian yang dialami mencecah berbilion ringgit. Tekanan dalam kalangan peniaga kian terasa berikutan pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka sebagai langkah berjimat-cermat. Tidak terkecuali merasai peritnya ialah golongan wanita.
Pembekuan pengambilan dan pembuangan pekerja menyebabkan ramai wanita kehilangan pekerjaan. Suri rumah yang sebelum ini banyak bergantung kepada duit poket suami nampaknya terpaksa memikirkan sesuatu untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
Keadaan tidak menentu itu, secara tidak langsung mendorong kaum wanita mencari jalan alternatif untuk menjana pendapatan secara lebih kreatif. Terdesak untuk mendapatkan duit, ramai yang bekerja sambilan sama ada menjadi tukang jahit, tukang cuci, menjual kuih-muih, tukang sapu atau pengasuh kanak-kanak.
Namun begitu, lain pula situasinya di Sepanyol. Golongan wanita yang kesempitan wang dan tidak bekerja di sana telah mengambil satu langkah drastik.
Mungkin kedengaran aneh. Wanita-wanita itu mengambil keputusan untuk menjual rambut mereka kepada Justino Delgado. Delgado, merupakan seorang pengusaha dan pengeksport rambut semula jadi yang terkenal di Madrid, Sepanyol.
Tanpa disedari, aktiviti menjual rambut menjadi salah satu trend majoriti wanita di negara tersebut. Bagaimanapun, alasan di sebalik perbuatan pelik itu cukup besar maknanya.
Duit yang diterima daripada hasil jualan rambut digunakan untuk membayar bil-bil utiliti persendirian dan keluarga, selain untuk melangsaikan hutang-hutang tertangguh berikutan sumber kewangan
Saban hari, ramai wanita dari seluruh Sepanyol datang ke firma Delgado yang beroperasi sejak 50 tahun lalu. Selain wanita berambut tebal dan panjang, ada juga beberapa gadis berambut pendek yang cuma mempunyai tocang ekor kuda pergi ke sana dengan niat yang sama.
"Motif perniagaan ini adalah untuk mengumpul rambut. Jika seseorang wanita hanya mempunyai tocang ekor kuda bersaiz kecil dan halus, mereka tetap diterima di sini," kata Delgado.
Wanita tempatan yang sedar akan permintaan tinggi tersebut berpusu-pusu pergi ke sebuah gudang yang terletak berhampiran bandar Madrid. Kehadiran mereka semakin meningkat setiap hari terutama sejak beberapa bulan lalu.
Fenomena itu diakui oleh Delgado yang bertanggungjawab mengeksport rambut-rambut semula jadi untuk menghasilkan rambut palsu dan rambut sambung ke pasaran antarabangsa termasuk Asia, India dan China.
Memang kunjungan ramai wanita itu memberi keuntungan berlipat ganda kepada perniagaannya. Namun Delgado bimbang dan sedih apabila mengenang nasib wanita Sepanyol yang terpaksa menjual 'mahkota' mereka demi wang.
Pemilik The Warehouse of Human Hair yang mula dibuka di Sepanyol pada tahun 1962 itu memberitahu, dia menawarkan harga bermula 50 euro sehingga 150 euro (RM255 hingga RM765) untuk mendapatkan rambut-rambut tersebut. Penetapan harga berdasarkan kepada kepanjangan dan ketebalan rambut yang diterima.
Rambut wanita yang memenuhi kriteria itu akan menerima bayaran lebih lumayan berbanding dengan yang lain. Selalunya, mereka yang berambut tebal serta panjang akan balik dari gudang itu dengan poket tebal dan hati gembira.
Dalam pada itu, beberapa syarat penting telah ditetapkan sebelum menerima rambut daripada para 'penjualnya'. Antaranya, Delgado akan memastikan rambut yang dijual itu mempunyai kepanjangan lebih 40 sentimeter. Rambut itu juga mestilah tidak pernah diwarna menggunakan mana-mana bahan kimia yang boleh merosakkan struktur aslinya.
Jelas Delgado, helaian rambut yang dibeli daripada wanita tempatan disimpan rapi bagi menjamin keaslian dan kualitinya. Kadangkala, tocang ekor kuda yang disimpan selama sebulan di dalam laci masih elok mutunya.
|
Dia yang begitu teliti dan terperinci mengendalikan teknologi perniagaan itu tidak membenarkan para pengunjung melihat mesin-mesin khas tersebut. Proses seterusnya, rambut-rambut berkenaan akan dikering, disikat serta diikat dengan begitu rapi.
Semua proses yang memakan masa itu dilakukan oleh kira-kira 30 orang pekerja termasuk anak perempuannya yang dikenali sebagai Yolanda. Biarpun dengan bantuan tenaga pekerja yang terhad, Delgado berjaya menguruskan gudang itu dengan baik, selain cuba memenuhi permintaan setiap pelanggannya.
"Selain krisis ekonomi dunia, pertumbuhan perniagaan ini juga amat bergantung kepada perkembangan fesyen tempatan dan antarabangsa. Ini kerana trend menggunakan rambut palsu dan rambut sambung semakin popular dalam kalangan wanita moden.
"Mereka sanggup berbelanja lebih semata-mata untuk memiliki item-item fesyen ini yang menjadikan mereka lebih bergaya, jelita dan trendy," jelas Delgado.
Menurutnya, rambut wanita Eropah mendapat permintaan lebih tinggi daripada para pelanggan kerana teksturnya lebih lembut berbanding dengan rambut orang Asia.Dia yang mengeksport 80 peratus daripada pengeluarannya ke negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) memberitahu, lazimnya para pembeli dari utara Eropah mencari rambut-rambut yang mempunyai warna-warna menarik."Contohnya, wanita Jerman lebih gemar memiliki rambut berona chestnut (buah berangan) yang kemerah-merahan," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment