Dodol Ideris 13 perisa


Ideris Zainuddin memperkenalkan dodol 13 perisa dari kilangnya pada Karnival Pasar Tani Melaka, baru-baru ini

MELAKA 28 Dis. - Dodol adalah makanan tradisi yang kerap dihidangkan pada setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha.

Permintaan kuih istimewa itu meningkat setiap kali menjelang perayaan tersebut kerana ia dianggap satu kemestian bagi masyarakat Melayu.

Bagaimanapun ramai penggemar dodol tidak mahu membuatnya sendiri kerana ia melibatkan kerja yang rumit kerana terpaksa mengambil masa lama dan memenatkan.

Justeru tidak ramai usahawan yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan dodol, malah jumlah penyertaan mereka itu boleh dibilang dengan jari.

Namun bagi Ideris Zainuddin, 48, atau lebih dikenali sebagai Deris, dodol menjadi punca rezekinya.Makanan tersebut dihasilkan dengan 13 jenis perisa tetapi masih mengekalkan cita rasa tradisi yang diwarisi sejak dahulu.Biarpun memasak dodol melibatkan kerja yang mengambil masa agak lama dan cukup memenatkan tetapi bagi Ideris ia menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan.Dodol Ideris dihasilkan dengan perisa seperti strawberi, cappucino, kismis, wajik sirat, kurma, pandan, jagung, mangga, durian, coklat, asli, nanas dan nangka.Menurut Ideris, dodol keluarannya dihasilkan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dibuatnya sendiri.''Saya bermula dengan membuat dodol berperisa asli tetapi lama kelamaan timbul idea untuk meningkatkan pengeluaran dengan menambah perisa lain.''Bagi saya tidak salah untuk mencuba dodol dengan perisa-perisa lain dan hasil R&D yang saya jalankan sendiri dengan bantuan beberapa pihak, akhirnya ia menjadi kenyataan.''Bayangkan daripada berperisa asli saya sudah mampu menambah pelbagai perisa dan kesemua perisa tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bagi analisis kandungan pemakanan, beliau menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).Ideris berkata, perniagaan yang diusahakannya mendapat bantuan daripada Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).Kini perniagaan Ideris semakin mendapat sambutan menggalakkan.Ideris memulakan perniagaan dodol dengan satu kawah yang diusahakan di belakang rumah sambil dibantu oleh ahli keluarganya.Tetapi kini, beliau memiliki sebuah kilang yang terletak di Solok Bakar Batu, Lorong Hj. Zainudin, Kampung Kandang, dekat sini.Kilang tersebut mempunyai tujuh buah mesin mengacau dodol dan setiap sebuah berharga RM6,500.Katanya, setakat ini beliau mempunyai 46 pekerja yang terdiri daripada suri rumah dan anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).Kini Ideris mampu tersenyum atas usahanya yang berjaya menghasilkan 600 kilogram dodol 13 perisa setiap hari berbanding 420 kilogram sebelum ini.Bagi mereka yang berminat untuk membuat sebarang tempahan, boleh berhubung dengan Idris di talian 06-2695084.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: