Masjid sebagai ikon bersih dan sempurna

SEMASA mendengar khutbah pada suatu Jumaat, saya tersedar ada seorang di sisi saya yang mengutip serpihan kecil di atas permaidani di hadapannya.

Beliau meramas-ramas sampah itu menjadi kecil dan memasukkannya ke dalam kocek bajunya untuk dibuang nanti.

Pernah saya berbuat seperti jemaah itu. Saya juga teringat akan satu perbualan antara isteri saya dengan seorang kawannya di dalam kereta kami selepas kami bersolat tarawih di sebuah masjid pada bulan Ramadan yang lalu.

Kawan isteri saya mengatakan bahawa beliau terpaksa menahan nafasnya apabila bersujud kerana menghidu bau kambal yang hapak. Tambahnya, kakaknya selalu membawa sejadah kecil agar tidak terhidu bau kambal.

Hampir setiap masjid di Singapura hari ini mempunyai permaidani atau kambal di seluruh ruangannya. Kaki jemaah yang basah boleh membuat kambal menjadi lembap. Kadangkala, kita juga boleh ternampak jemaah yang menggaru-garu kaki mereka yang kelihatan 'berpenyakit' dan meninggalkan kupasan kulit kering yang halus di kambal.

Semua ini boleh menyebabkan kambal itu berkuman dan mendatangkan penyakit kepada manusia.

Itu baru soal kambal.

Tetapi, jika kita lihat di sekitar masjid, akan ternampak debu dan ada kala lapisan tebal habuk di bilah-bilah kipas angin serta comot di tembok akibat kebocoran yang dibiarkan.

Memang sungguh ironis atau janggal senario ini kelihatan di masjid - sebuah tempat ibadah bagi jemaah yang perlu bersuci.

Tujuan bersuci atau berwuduk adalah untuk membersihkan diri secara rohani dan jasmani. Tetapi jangan membazirkan air. Rasulullah pernah menegur sahabatnya yang membazirkan air walaupun ketika menggunakan air sungai yang mengalir. Baginda menggunakan air setakat dua tiga gelas untuk berwuduk.

Dalam Islam, kita juga digesa memakai baju yang bersih dan tidak mengeluarkan peluh yang berbau. Maka itu, ada orang yang menggunakan minyak atar untuk membangkitkan bau wangi pada dirinya.

Tempat bersolat pun mesti bersih dan tidak mengeluarkan bau yang busuk atau hapak. Semua ini untuk mencegah jemaah daripada terganggu sehingga dapat bersolat dengan khusyuk.

Dalam Islam, thaharah atau mensucikan diri, sekurang-kurangnya berwuduk kecil, digalakkan setiap masa. Hal ini jelas dalam maksud firman-Nya: 'Allah sayangkan orang yang membuat diri mereka suci dan bersih.' (Surah Al-Baqarah: 222)

Pernyataan 'kesucian dan kebersihan', menerusi maksudnya yang tersirat, membawa makna bahawa ia harus diluaskan dari peribadi seseorang itu hingga kepada tubuh fizikalnya, dan bukan saja pada dalaman masjid, tetapi luarannya juga, termasuk pekarangannya, rumah, kejiranan dan seluruh bumi.

Menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab setiap individu dan semua orang.

Untuk menjadi suci dan bersih dalam semua perkara - akhlak, tubuh dan alam sekeliling - sangat penting dalam Islam sehingga Nabi Muhammad saw bersabda: 'Kesucian dan kebersihan adalah separuh daripada iman.'

Dalam Islam, kesucian dan kebersihan akhlak, tubuh dan alam sekitar merupakan satu pakej yang menyeluruh.

Masjid merupakan lambang Islam dan tempat umatnya menempatkan kalbunya. Maka marilah kita menjadikan masjid kita sebagai ikon agama kita, bukan saja dari segi seni binanya yang memang kita banggakan, malahan dari segi citra keseluruhannya.

Sejajar dengan matlamat kita untuk mewujudkan tempat ibadah yang bersih dan cantik, masjid-masjid mungkin ingin memerhatikan beberapa panduan berikut:

  • Latih noja agar senantiasa cekap dalam memelihara kebersihan masjid.
  • Permaidani haruslah di bersihkan habuknya secara kerap, terutama pada setiap pagi Jumaat sebagai persiapan untuk solat Jumaat. Kambal perlu dinyahkuman menggunakan bahan pencuci kimia untuk membersihkannya.
  • Kipas angin haruslah dibersihkan secara kerap juga.
  • Bina tenaga sukarelawan, terutama belia untuk memelihara kebersihan masjid atau dapatkan khidmat syarikat kontrak seperti dilakukan oleh Masjid Sultan.
  • Dinding yang kotor harus dibersihkan secepatnya.
  • Sampah dan daun kering di pekarangan masjid harus dibersihkan setiap hari.
  • Benda-benda yang sudah pecah, seperti kerusi, tidak harus disimpan di tempat yang orang boleh nampak kerana ia memberi imej negatif kepada orang ramai.
  • Kain rentang untuk mengumumkan tentang kegiatan-kegiatan akan datang, haruslah ditanggalkan segera selepas kegiatan itu selesai dijalankan. Kekadang kita dapat melihat kain rentang yang sudah lapuk maklumatnya atau sudah koyak, tetapi masih digantung.
  • Masjid-masjid harus menyiapkan borang-borang maklum balas yang senang diambil oleh jemaah dan ditambah setelah ia sudah habis. Maklum balas yang diterima harus disemak segera agar tindakan yang wajar dapat diambil.

    Kebanyakan masjid di Singapura memang indah dan moden dengan kemudahan ibadah, belajar dan aktiviti yang berfaedah. Namun dengan menonjolkan kebersihan pada sekitaran dan jemaahnya, suasana masjid akan lebih lengkap lagi sempurna.

    Nota: Penulis ialah mantan pendidik dan penulis buku 'Inside Islam: 101 Questions and Answers' dan 'Islam Explained'.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    0 comments: