Usahawan Kraf


Norliyana bersama hasil rekaannya.

Liyana hasilkan pelbagai beg comel yang turut dibeli rakyat asing

NOR Liyana Mohd Abu Kari, gadis manis berusia 24 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan, mungkin pada luarannya nampak sama seperti gadis remaja lain. Perwatakannya yang ceria dan mudah tertawa pasti membuatkan sesiapa saja selesa berbual santai dengannya. Bagaimanapun, siapa sangka, gadis yang mesra disapa sebagai Liyana itu sebenarnya mempunyai kemahiran menghasilkan kerja tangan daripada cebisan kain denim terbuang.

Malah, waktu lapangnya pada hujung minggu dipenuhi aktiviti mencari cebisan kain denim terbuang yang kebiasaannya diperolehnya dari kedai-kedai jeans di merata tempat.

“Biasanya tempat yang dituju ialah kedai yang menerima tempahan mengubahsuai seluar jean seperti butik Levi’s kerana hanya di situ saya akan dapat cebisan kain yang diingini.

“Selepas dibawa pulang, cebisan kain berkenaan perlu diasingkan mengikut jenama atau jenis dan warna. Proses itu akan memudahkan lagi tugas saya ketika hendak mengeluarkan idea ketika proses mencantum nanti,” katanya.



Anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, dia mula menghasilkan hasil kraftangan daripada denim seperti bekas pensil, beg syiling, beg tangan dan pelbagai jenis beg lagi ketika masih menuntut di tahun akhir pengajiannya, iaitu kira-kira dua tahun lalu.

“Ketika itu, tempahan diterima daripada rakan sepengajian dan masa untuk menjahit pun memang banyak tapi sejak bekerja setahun lalu, setiap hari saya akan berjaga sehingga dinihari semata-mata untuk menyiapkan tempahan yang diterima daripada pelanggan melalui laman blog, www.terompahsurau.blogspot.com,” katanya.

Sejak mempunyai laman blog sendiri dan selalu menyertai bazar jualan hujung minggu, Liyana mempunyai kelompok pelanggan tersendiri yang juga peminat barangan denim.

“Kadangkala tidak cukup tangan hendak menyiapkan tempahan sehinggakan saya terpaksa meminta tolong adik-beradik dan rakan rapat yang pandai menjahit.

“Bagaimanapun saya bangga kerana sehingga kini, beg jean yang saya hasilkan turut dibeli pengendali blog dari United Kingdom, Australia dan Indonesia,” kata Liyana sambil memberitahu kraftangan yang dihasilkan turut dijual di Kedutaan Malaysia oleh rakan senegara yang belajar di Australia.

Kata Liyana, selain produk siap, dia turut menerima tempahan berdasarkan idea daripada pelanggan serta menghasilkan produk yang digelar beg kitar semula diperbuat daripada bahan terpakai.

“Memang hasrat saya untuk memperkembangkan produk dihasilkan daripada cebisan kain terpakai sebab itu saya turut perluaskan dengan menghasilkan kotak daripada cebisan denim sesuai untuk dijadikan bekas menyimpan aksesori atau boleh juga dijadikan bekas hantaran.

“Namun begitu, ada juga tempahan daripada pelanggan yang terpaksa ditolak, misalnya permintaan untuk menghasilkan beg sandang, maklum saja, saya bukan profesional, menjahit pun belajar ketika kelas Kemahiran Hidup di bangku sekolah dulu,” katanya merendah diri.

Insan kreatif ini memang tidak pernah kekeringan idea dan kerana itu Liyana tampil dengan koleksi aksesori comel dihasilkan daripada kain felt, iaitu sejenis kain yang dihasilkan daripada plastik kitar semula yang dijadikan hiasan pada beg denim jualannya.

“Ramai yang mengatakan warna biru dan hitam denim itu kelihatan suram, jadi timbul idea pula untuk saya menghasilkan aksesori comel untuk dilekat atau diikat pada beg denim,” katanya menunjukkan aksesori comel bentuk kamera yang sempat disiapkan ketika ditemubual.

Info

  • Harga untuk beg bimbit bersaiz besar lingkungan RM80 hingga RM50, bekas pensel (RM39-RM20) manakala aksesori comel (RM9-RM5).

  • Produk denimnya dijual pada harga berbeza bergantung pada saiz dan jenis denim digunakan. Kebiasaannya cebisan kain denim jenama Levi's dijual lebih tinggi berbanding jenama lain.

  • Liyana boleh dihubungi melalui www.terompahsurau.blogspot.com.
    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS
    Read Comments

    0 comments: