Etika pakaian pejabat

Fesyen ke pejabat pada hari ini tidak hanya terhad pada busana rona gelap saja sebaliknya wanita perlu berani bereksperimen dengan warna-warna terang.


PASTIKAN corak dan motif kemeja yang dipilih bercirikan profesional dan formal.


SESETENGAH wanita lebih selesa menyarungkan busana warna gelap untuk ke pejabat. Pemilihan busana daripada kumpulan warna itu disifatkan mampu mencerminkan penampilan yang profesional dan korporat.

Wajarkah pakaian warna gelap dipakai ke pejabat? Adakah pakaian rona terang bukan pilihan yang ideal? Merungkai persoalan tersebut ruangan RiakRias, kali ini mendapatkan pandangan perunding imej bebas, Malvin Shah yang juga pemilik butik Vintaj Bazar mengenai pemakaian ideal ke pejabat.


KEMEJA rona terang pilihan ideal ke pejabat.


Bukan sahaja para pekerja, golongan remaja yang bakal melangkah ke alam pekerjaan juga boleh menjadikan tip daripada Malvin ini sebagai panduan sebelum bekerja.

Menurut Malvin, terdapat beberapa persepsi kurang tepat mengenai fesyen ke pejabat yang harus diubah.


PEMILIHAN celana dan beg tangan yang sesuai antara perkara yang perlu dititikberatkan.


Segelintir pekerja menyifatkan fesyen ke pejabat begitu sinonim dengan busana yang berjenama antarabangsa dan mahal. Sedangkan koleksi fesyen tidak berjenama juga boleh digayakan ke pejabat asalkan tidak melanggar etika berpakaian.

Paling utama individu perlu bijak membezakan antara kemeja atau blaus konsep formal, santai, funky atau ranggi. Jangan sesekali memakai baju yang tidak sesuai untuk bersantai ke pejabat. Ini kerana teknik jahitan dan potongan pakaian tersebut kurang memenuhi kriteria pakaian pejabat.


PENAMPILAN yang menyerlahkan imej korporat dan kemas.


Seksi

"Biasanya potongan kemeja atau blaus formal tidak berlebihan. Motif dan warna yang ditampilkan tampak korporat dan kemas. Fabriknya pula tidak terlalu nipis dan tebal. Namun perlu diingatkan jangan sesekali memakai skirt, blaus mahupun kemeja yang seksi dan menampakkan sosok badan.

"Penampilan sedemikian boleh mengundang rasa kurang senang dalam kalangan rakan sekerja yang lain. Walaupun anda berasa yakin dengan pemilihan pakaian tersebut tapi biarlah seksi yang berpada-pada," nasihat Malvin yang turut memberitahu baju yang terlalu jarang perlu ditutup menggunakan jaket atau blazer.


SOLEKAN dan dandanan rambut ke pejabat perlu sederhana.


Selain itu, persepsi dan kecenderungan memilih pakaian rona gelap ke pejabat harus diubah. Menjalani kehidupan dalam era yang serba canggih tidak hanya memerlukan kita menerima kemodenan dari segi pemikiran dan kecanggihan teknologi. Begitu juga ketika fesyen walaupun hanya ke pejabat.

Jelas Malvin, pakaian warna hitam masih relevan untuk ke pejabat. Tapi, biarlah warna hitam itu hanya pada seluar, skirt dan jaket. Bagi pemilihan kemeja atau blaus pula golongan wanita digalakkan memilih baju warna merah, biru, hijau, ungu atau kuning. Warna-warna feminin seperti biru lembut, merah jambu atau ungu muda juga digalakkan.




Langkah tersebut bukan sahaja menyerlahkan penampilan malah secara tidak langsung, ia meniupkan keceriaan di pejabat.

"Jangan terlalu obses pada fesyen pejabat yang dipaparkan di majalah mahupun yang tersarung pada model patung di butik sehingga anda terpaksa menutup personaliti yang sebenar. Semasa membeli cuba cari pakaian yang bersesuaian dengan imej, suasana kerja dan karier.

"Berdasarkan pemerhatian daripada pengunjung butik, saya dapati mereka yang bekerja sebagai setiausaha gemar berkebaya atau menggayakan gaun separa lutut yang dipadankan bersama tali pinggang. Sementara itu, padanan skirt, kemeja dan jaket pula menjadi tumpuan pegawai perhubungan awam," kata Malvin sambil menunjukkan kemeja nuansa merah yang dipadankan bersama seluar berjalur warna hitam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: