NKRA + NKPI x NKIP = GTP

Jika diandaikan kita ingin mendirikan sebuah rumah, impian itu kini hampir kesampaian. Pelan rumah sudah pun jelas, dimensi-dimensinya sudah disiapkan, dan terbaru kerangka modelnya sudah juga dipersetujui.

Demikianlah perumpamaan kita membangunkan sebuah negara Malaysia "baru" menjelang tahun 2020. Walaupun impian 2020 itu ada menggambarkan masa hadapan yang cukup nyata, namun dengan munculnya berbagai-bagai krisis global, khasnya pelbagai krisis ekonomi, gambaran 2020 itu juga turut mengalami serba sedikit perubahan.

Ditambah dengan kekhuatiran yang Malaysia terperangkap ditahap ekonomi pertengahan, langkah-langkah perlu telah pun diorak untuk menentukan yang matlamat Wawasan 2020 terus didekati.

Hatta pelancaran enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) serta Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) kepada masyarakat umum baru-baru ini merupakan satu langkah yang bijak.

Bukan sahaja ia menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membina masa hadapan negara, tetapi sekali gus membuktikan betapa telus dan terbukanya kerajaan dalam hal tersebut.

Jika digunakan analogi membina sebuah rumah tadi, kerajaan seolah-olah ingin berkongsi dengan rakyat tentang masa hadapan bersama sejajar dengan prinsip "rakyat didahulukan."

Oleh itu tidak hairanlah jika ramai yang tersentuh semasa Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) baru-baru, termasuklah dari kalangan yang lazimnya pengkritik kerajaan!

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala malah berkata lebih daripada 70 peratus pengunjung bersetuju dan menyokong pelan hala tuju komprehensif NKRA serta mahukan ia dilaksanakan segera oleh kerajaan (Utusan Malaysia, 19 Disember 2009).

Bak membina sebuah rumah baru sememangnya tidak sabar-sabar lagi menunggu siapnya supaya kita boleh memulai kehidupan baru yang semestinya lebih teratur dan sempurna.

Tambah lagi apabila rumah tersebut mampu meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, memperkasakan prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam.

Keenam-enam ini sebenarnya merupakan NKRA yang menjadi tumpuan untuk kali ini. Sayugia diingatkan bahawa banyak daripada pengisian NKRA serta NKPI sebenarnya adalah hasil buah fikiran orang ramai dan rakyat jua melalui makmal-makmal dialog yang diadakan untuk memperinci aspek-aspek berkaitan.

Sudah tentu ini sebaik-baik contoh kerjasama dan rundingan antara wakil yang dipilih dengan mereka yang telah memilihnya.

Sesuatu yang amat perlu dicontohi dalam menentukan "pencapaian diutamakan" kerana rakyat kini sedar apa yang perlu dihasilkan sebagai satu amanah daripada mereka.

Dengan kata lain strategi yang diambil kini akan membolehkan rakyat sendiri menilai prestasi kerajaan dan wakil rakyat mereka mengikut apa yang telah dirancang dan dilaksanakan.

Jika rumah itu sepatutnya diperbuat daripada batu bata kualiti tertentu, mereka boleh menilai malah mengukur mengikut penunjuk utama yang telah ditetap.

Malah segala-segala yang tersergam di permukaan bumi boleh dinilai dengan cara yang sama dan diberi ukuran kualiti yang sesuai. Rumah yang menepati semua penunjuk sudah tentu dikelaskan paling berjaya atau terbaik, dan sebaliknya juga.

Ini kesudahannya boleh diberi status penarafan ataupun pengelasan bintang umpama yang diamalkan untuk hotel misalnya.

Sungguhpun begitu, hakikatnya ini tidak semesti benar dalam semua hal kerana masih ada beberapa faktor yang masih belum diambil kira.

Bagi sesebuah rumah misalnya soal tapak asas ataupun foundation rumah tersebut adalah penting. Tidak kira sebaik mana rumah itu, sekiranya tapak asasnya tidak kukuh, ia akan runtuh dan roboh juga. Bahkan rumah yang agak sederhana, tetapi dibina atas tapak paling kukuh akan terus kekal lebih lama lagi.

Sayangnya soal tapak asas ini kurang mendapat tumpuan berbanding dengan rupa dan reka bentuk semata-mata. Pendek kata, apa yang nampak oleh mata kepala, umumnya lebih ternilai daripada yang tidak dapat dilihat.

Kes-kes rumah runtuh di lereng-lereng bukit merupakan contoh yang amat sesuai kerana apa lebih menarik perhatian adalah betapa tersergamnya rumah itu, daripada sama ada tapaknya di lereng bukit itu adalah selamat! Maksudnya tidak semua yang boleh diukur dan dihitung itu dapat memberi tafsiran terbaik, dan sebaliknya.

Albert Einstein pernah mengakui hakikat ini apabila beliau mengatakan: "Not all the things that can be counted counts; and not all that counts can be counted."

Bertolak daripada sini, wajar diperkenalkan satu lagi dimensi yang penting untuk memastikan kejayaan NKRA mahupun NKPI, dan apa lagi mengerakkan GTP.

Ia mencakupi dimensi yang tidak ketara atau intangible berbanding dengan yang ketara atau tangible dan mudah diukur dan ditentukan.

Dimensi tersebut ialah National Key Intangible Performance (NKIP) ataupun Prestasi Tak Ketara Utama, yang tanpanya NKPI boleh menjadi rapuh dan lambat laun runtuh dan roboh, bagaikan contoh rumah di lereng-lerang bukit.

Apa yang dimaksudkan dengan NKIP secara amnya adalah berkaitan dengan prinsip nilai yang kian luntur kerana tidak begitu ketara apa lagi jika hendak diukur secara langsung.

Contoh nilai keutuhan, keikhlasan, kejujuran, ketaatan, pengorbanan - semua ini tidak ketara lagi tidak boleh diukur dengan tepat!

Tapi cuba bayangkan apa yang akan berlaku kepada NKRA dan NKPI, hatta GTP sekalipun sekiranya tidak diasaskan kepada nilai etika seumpama ini.

Natijah yang nyata boleh dilihat dari kajian yang dilakukan Tom Peters dan rakannya seperti dalam buku tersohor pada tahun lapan puluhan - In Search Of Excellence.

Mengikut penyelidikan mereka terdapat lapan kriteria utama untuk mengukur "kecemerlangan" organisasi. Berdasarkan itu, 43 organisasi diisytiharkan cemerlang. Tetapi selepas beberapa tahun sahaja hanya 30 peratus organisasi yang dikatakan cemerlang itu telah kecundang. Soalnya mengapa?

Mengikut kajian susulan yang dilakukan, organisasi tersebut kecundang kerana melakukan "pemalsuan" maklumat dan data untuk melayakkan organisasi mereka dikelaskan sebagai cemerlang!

Ini membuktikan tanpa NKIP segala-galanya dapat dipalsukan seenaknya dan kesudahannya ramai yang terpedaya jika kita terlalu bergantung dengan angka-angka, peratusan dan sebagainya.

Oleh itu, tidak dinafikan bahawa NKRA dan NKPI meski pun penting tetapi ia mesti diteraskan kepada NKIP untuk mendapatkan GTP. Inilah formula kejayaan sebenarnya! Apatah lagi angka-angka seperti GDP secara sendirian kini telah mula dipersoalkan sebagai tidak lagi membawa pengertian yang mendalam!

Pemenang Hadiah Nobel bidang ekonomi, Joseph Stiglitz, sering membangkitkan soal yang sama. Malah mengikut beliau GDP tidak pun menggambarkan ukuran kualiti hidup sebenarnya, memandangkan kualiti hidup adalah nilai yang lebih kompleks dan tidak mudah diukur secara tepat hanya dengan memberikannya angka-angka tertentu.

Kesimpulannya perkara asas dan pokok yang sering tidak ketara, tidak wajar sama sekali diketepikan hanya kerana ia sukar diukur. Ini terutama sekali bersangkutan perihal nilai dan budaya yang menyuburi setiap bangsa itu.

Ringkasnya, seandainya paksi etika yang kental tidak dijadikan asas pembangunan negara, belum tahu lagi model yang ingin kita dirikan adalah yang terbaik dan akan terus teguh!

Di sini pentingnya dimensi NKIP dilipat gandakan sebagai asas utamanya.

Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: