Survival' usahawan bumiputera peringkat global

SEBENARNYA banyak peluang bagi usahawan bumiputera untuk meneroka pasaran luar negara dan ini termasuk menerusi Matrade atau kerjasama dua hala atau pelbagai cara lain.

Dalam hal ini, Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) turut memainkan peranan membawa serta menggabungkan para usahawan bagi meneroka pasaran global.

Yang terbaru, melalui usaha Komita itu, seramai 33 usahawan bumiputera telah menyertai Pavilion Malaysa pada pameran Perth Royal Show di Perth. Ia merupakan penyertaan kedua dengan yang pertama merupakan penyertaan solo pada tahun lalu.

Dari penyertaan tahun lalu itu, kerajaan Australia Barat telah memilih Malaysia sebagai 'Negara Jemputan' pada Perth Royal Show tahun ini.

Ini bermakna hanya Malaysia sahaja sebagai negara yang diberi peluang serta keistimewaan menyertai pameran berkenaan yang hanya diadakan setahun sekali dan pameran itu dianggap berprestij tinggi.

Seharusnya, peluang menyertai Perth Royal Show 2011 diambil kesempatan oleh usahawan Malaysia bagi mempromosi dan memasarkan produk masing-masing selain mengenal pasti serta meninjau peluang dan pasaran baru di Australia.

Usahawan Komita serta penyertaan para usahawan berkenaan tidak sia-sia apabila penyertaan tersebut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Australia Barat melalui penyerahan Anugerah Cemerlang.

Presiden Komita, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad memberitahu, penyertaan para usahawan dalam Pavilion Malaysia merupakan satu kejayaan dan menjadi perintis untuk mencari peljuang serta pasaran baru di benua Australia.

Beliau mengakui memang sesuatu yang amat sukar untuk menembusi pasaran Australia berbanding negara-negara maju lain. Ini kerana, kerajaan Australia telah menetapkan sekatan yang amat tinggi terhadap barangan import terutama berkaitan dengan makanan dan sebagainya.

Namun kata Sheikh Ahmad Dusuki, para usahawan bumiputera berkenaan berjaya juga menembusi pasaran Australia melalui Pavilion Malaysia.

Beberapa produk seperti martabak segera, kerepek ubi, puri untuk masakan, kraf dan banyak lagi berjaya diperkenalkan pada Perth Royal Show itu.

Menjadi harapan bahawa produk-produk tersebut dapat terus berada dalam One Malaysia Mart selepas berakhirnya Perth Royal Show, di mana hanya produk-produk keluaran Malaysia sahaja dipasarkan di Australia. One Malaysia Mart menggabungkan semua jenis barangan Malaysia untuk pasaran di benua berkenaan.

Sepanjang berlangsungnya Perth Royal Show, Pavilion Malaysia sentiasa mendapat perhatian ramai bukan sahaja dari kalangan penduduk Australia, malah orang Malaysia sendiri yang bermastautin di negara tersebut.

Dianggarkan lebih 20,000 rakyat Malaysia bermastautin di Perth dan atas alasan itu selain kuasa membeli yang tinggi di kalangan rakyat Australia serta faktor sampingan termasuk penerimaan penduduk sendiri, produk-produk tetapi diterima oleh pembeli.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, peluang penyertaan Pavilion Malaysia dan seterusnya dalam One Mart Malaysia seharusnya direbut kerana peluang sedemikan bukan mudah diperolehi.

''Persiapan menganjurkan Pavilion Malaysia bukan sesuatu yang mudah bagi memenuhi standard ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia.

''Kami bermula dari pameran solo tahun lalu dan setelah mendapat keyakinan kerajaan Australia terhadap produk-produk Malaysia, barulah penyertaan secara rasmi sebagai Negara Jemputan ditawarkan kepada usahawan Malaysia tahun ini," katanya.

Bagi menarik kehadiran pengunjung ke Pavilion Malaysia, pelbagai aturcara menarik diadakan sejak perasmian Pavilion Malaysia pada 1 Oktober hinggalah ia berakhir lapan hari kemudian.

Yang pasti, usaha-usaha itu berjaya dengan kehadiran 10,000 hingga 30,000 pengunjung setiap hari ke Pavilion Malaysia dan perkembangan itu membolehkan para usahawan Malaysia mengenal pasti rakan-rakan perniagaan baru untuk memperluaskan pasaran ke Australia.

Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, antara kekuatan produk Malaysia ialah dari segi pembukusan barangan serta harganya yang lebih rendah berbanding produk-produk yang sudah bertapak lama di negara berkenaan.

''Sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah apabila sesuatu produk kita melalui Pavilion Malaysia itu berjaya menembusi pasaran Australia walaupun pemeriksaan serta sekatan dikenakan begitu ketat, ini bermakna produk- produk yang sama juga mampu menembusi pasaran lain-lain negara di seluruh dunia.

''Oleh itu, penyertaan usahawan tersebut mendatangkan manfaat yang besar kepada mereka," katanya.

Apabila ditanya penyertaan usahawan Malaysia itu di Perth Royal Show kepada Konsul Jeneral Malaysia ke Australia Barat, Hamidah Ashari, beliau menyatakan ia suatu kejayaan yang amat membanggakan.

Malah Hamidah memberitahu, kerajaan Australia Barat begitu berpuas hati bukan sahaja terhadap produk-produk Malaysia, juga komitmen serta aturcara serta persembahan yang dipamerkan sepanjang pameran itu berlangsung.

''Kerajaan Australia sangat berpuas hati dengan persembahan Pavilion Malaysia," katanya.

Walaupun penyertaan Malaysia itu mendapat kejayaan dan seterusnya membuka jalan baru kepada para usahawan lain memasarkan produk mereka ke benua Australia, namun janganlah sekali-kali mereka dibiarkan bersendirian.

Memang bantuan melalui dana tertentu diberikan kepada usahawan berkenaan sebagai bantuan agar mereka mencapai kejayaan, namun dari sokongan moral dan perhatian tertentu ia juga harus diberi perhatian.

Ada kalangan para usahawan yang menyertai Pavilion Malaysia itu menyatakan sedikit 'terkilan' kerana penyertaan mereka ke Perth Royal Show tidak mendapat 'sokongan moral'.

Apa yang mereka maksudkan dan juga menjadi harapan mereka ialah kehadiran orang kenamaan seperti menteri, timbalan menteri atau wakil-wakil dari kerajaan untuk sama-sama menyatakan 'sokongan' semasa pameran itu berlangsung.

Memang diakui bahawa Konsul Jeneral Malaysia dan juga Pengerusi Matrade turut sama memeriahkan majlis perasmian Pavilion Malaysia itu.

Namun bagi kalangan para usahawan berkenaan, kehadiran orang kenamaan itu dapat meningkatkan lagi keyakinan para usahawan terbabit selain ia dianggap sebagai sokongan moral yang amat tinggi.

Sheikh Ahmad Dusuki ketika ditanya mengenai perkara tersebut, mengakui ada usahawan yang 'terkilan' dengan ketidakhadiran orang-orang kenamaan tersebut yang kelak boleh 'melemahkan' semangat usahawan-usahawan bumiputera.

Menurutnya, para usahawan berkenaan yang begitu bersemangat menyertai pameran di Perth Royal Show dengan pelbagai usaha dan inisiatif sendiri, mahukan sokongan daripada pihak-pihak di peringkat kementerian dan sebagainya.

''Kehadiran para usahawan bumiputera itu membawa nama Malaysia dan jika rungutan yang dinyatakan mereka ini seharusnya diberi sedikit pertimbangan dan perhatian sewajarnya.

''Dalam hal ini, seharusnya para usahawan ini dibiarkan bersendirian terutama apabila berada di peringkat global. Para usahawan ini bertungkus-lumus bersaingan di peringkat antarabangsa dan usaha mereka ini harus diberi sokongan dengan kehadiran pihak-pihak di peringkat kementerian.

''Saya yakin, dengan sokongan moral berterusan, para usahawan berkenaan akan terus mencuba dan memasarkan produk-produk mereka ke seluruh dunia. Malah keadaan ini akan membolehkan rakan-rakan usahawan lain turut serta dalam pameran peringkat antarabangsa. Akhirnya yang untung ialah Malaysia sendiri kerana ekonomi kita dapat berkembang," katanya mengakhiri wawancara dengan Utusan Malaysia.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Usahawan bumiputera perlu lebih agresif - Mahathir

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Usahawan Bumiputera seharusnya tidak mengehadkan diri dalam kelompok Bumiputera sahaja, sebaliknya cuba mendekatkan diri dengan kaum yang berjaya dalam bidang perusahaan, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, mereka perlu lebih agresif dan berusaha untuk mengambil peluang mengembangkan perusahaan seiring dengan kemajuan dan pencapaian kaum lain. "Apalah salahnya kita bertanya kepada kaum lain seperti kaum Cina yang handal mengurus tadbir perniagaan mereka.

"Rantaian sangat penting dalam perniagaan. Kita harus kenal peniaga-peniaga lain. Untuk berjaya, tidak bermakna mesti 100 peratus Bumiputera,” katanya pada ucaptama bertajuk “Ke Arah Visi 2020 - Di manakah Kedudukan Usahawan Bumiputera"

pada simposium Usahawan Permodalan Usahawan Bumiputera (PUNB), di sini hari ini. - Bernama

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Berniaga sekadar berkongsi rasa


Rozita Ahmad Tajuddin (kiri) dan Nur Haliza Hassan berbincang mengenai perniagaan baju kurung mereka.

PERNIAGAAN bukanlah satu bidang yang bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata. Malah hari ini senarionya berbeza apabila rata-rata yang menceburi bidang ini adalah bertujuan untuk memenuhi masa lapang ataupun sekadar suka-suka.Inilah yang berlaku kepada sekumpulan empat rakan karib Rozita Ahmad Tajuddin, 32, Nur Haliza Hassan, 32, Noor Fitriah Bakri, 32, dan Syarifah Zurina Syed Salim, 32.Penglibatan mereka dalam bidang ini bukanlah bertujuan untuk menjadi kaya atau mengumpul harta tetapi mereka sekadar ingin berkongsi apa yang mereka ada.Ternyata penglibatan keempat-empat wanita ini dalam bidang perniagaan tiada sebarang perancangan malah mereka melakukannya secara spontan.

Menurut Rozita, mereka berempat membuat keputusan untuk bergabung tenaga selepas pulang bercuti dari Vietnam.Sepanjang di sana, selain melawat tempat-tempat bersejarah dan menarik, mereka turut melawat tempat-tempat membuat baju termasuklah baju kurung.Setelah meneliti kesemua baju kurung yang dihasilkan berkualiti serta menarik jahitan maniknya, tanpa membuang masa mereka terus bersetuju untuk memasarkan produk tersebut di Malaysia."Sekembalinya ke Malaysia, kami terus membuat keputusan untuk memasarkan baju-baju tersebut di Malaysia.

"Ini kerana, selain dibuat daripada kain yang berkualiti, jahitan manik yang dijahit juga kemas dan menarik."Dari situlah kami terfikir untuk menjual baju-baju tersebut di sini memandangkan orang kita banyak mengenakan baju kurung apabila ke pejabat," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.Ternyata percaturan mereka membuahkan hasil walaupun ia baru dipasarkan melalui Internet awal tahun ini.Hari ini, selain memasarkan produk mereka melalui Internet dan kawan-kawan, mereka juga merupakan pembekal kepada peniaga-peniaga yang terdapat di sekitar Lembah Klang.Dengan menggunakan jenama Drama Queen, mereka turut memasarkan baju kurung untuk kanak-kanak.Dalam pada itu, menurut Nur Haliza pula, baju kurung yang mereka jual diperbuat daripada pelbagai jenis kain kapas seperti kain kapas Inggeris, Korea, sutera dan juga linen.Apa yang menarik apabila membicarakan mengenai latar belakang masing-masing, ternyata tiada seorang pun yang mempunyai asas mahupun pengalaman dalam bidang perniagaan.Tetapi disebabkan minat selain ingin membuktikan kebolehan masing-masing, mereka tidak kisah untuk belajar dari bawah dan hingga kini mereka berempat masih lagi menimba pengalaman.

"Kami sememangnya tidak mempunyai asas di dalam bidang perniagaan tetapi Alhamdulillah apa yang kami lakukan hari ini seolah-olah terbuka jalannya."Kami juga mempunyai kemahiran masing-masing dan setiap seorang akan bertanggungjawab dengan tugas yang diberikan seperti bahagian pemasaran, pengiklanan dan sebagainya."Boleh dikatakan masing-masing ada peranan sendiri dan disebabkan itu kami mampu meneruskan perniagaan ini," katanya lagi.Begitupun, menurut Rozita, hari ini hanya dirinya dan Nur Haliza sahaja yang bermastautin di Kuala Lumpur manakala Syarifah Zurina tinggal di Pulau Pinang dan Noor Fitriah kini bertugas di luar negara.Walaupun begitu, ia tidak sedikit pun mengganggu perjalanan perniagaan mereka. Kesemua baju kurung siap bagi dewasa dan kanak-kanak boleh dilihat melalui www.dramaqueenscloset.blogspot.com ataupun di facebook.

Bukan itu sahaja malah kesemua produk yang dipasarkan adalah mampu milik kerana harganya berpatutan.Jangan ketinggalan dapatkan koleksi terbaru mereka setiap tiga bulan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Martabak kentang keluaran Muslim Best laris dijual


KAKITANGAN Muslim Best bersama produk yang dibawa dan diperkenalkan pada Perth Royal Show, Australia semalam.

PERTH 4 Okt. - Martabak kentang dalam bentuk sejuk beku keluaran Muslim Best yang dipasarkan di Pavilion Malaysia di sini berjaya dijual 100 kotak sehari sejak Perth Royal Show bermula Sabtu lalu.Menurut Pengurus Bahagian Francais dan Pemasaran Muslim Best Marketing Sdn. Bhd., Umi Kalsom Salleh, pihaknya membawa 500 kotak martabak untuk dipasarkan pada pameran tersebut yang akan berakhir 8 Oktober ini.

"Kita tidak jangka sambutan begitu baik hinggakan setiap hari sebanyak 100 keping martabak berjaya dijual."Pengunjung begitu menggemari martabak ubi kentang dan sayur-sayuran ini kerana ia mudah dimasak dan dipanaskan," katanya di sini hari ini.Muslim Best mempromosikan martabak sejuk beku di bawah jenama 'Murtabak Raja'.Kotak bersaiz keluarga mengandungi empat keping martabak manakala kotak bersaiz kecil mengandungi satu keping martabak.

Umi Kalsom berkata, pihaknya pada tahun lalu pernah menyertai pameran solo di Perth melalui usaha Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita) bagi meninjau pasaran makanan sejuk beku dalam kalangan penduduk Australia.

Menurutnya, antara pilihan penduduk Australia ialah mereka suka memilih makanan segera selain ia mudah disediakan."Pada tahun lalu kami perkenalkan martabak tuna tetapi kurang mendapat sambutan.Tapi kali ini martabak ubi kentang dan sayur-sayuran sangat digemari pengunjung," katanya.Beliau menambah, martabak ubi kentang dan sayur-sayuran itu akan terus dipasarkan di Australia walaupun setelah tamat pameran Perth Royal Show melalui wakil jualan yang bakal dilantik."Martabak ubi kentang dan sayur-sayuran ini memang dibuat khas untuk pasaran Australia dan ia tidak terdapat di Malaysia," katanya. - UTUSAN

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Bermula daripada minat .....


Minat Zalina Yahya dalam pembuatan kek mendorongnya menganjurkan kelas .

Cantik dipandang tapi tidak sedap dimakan tidak memberi banyak makna pada sebiji kek biarpun ia diberi nama yang indah-indah.

Menerimanya sebagai satu cabaran apatah lagi memikul gelaran sebagai 'guru kek', Zalina Yahya mengambil masa untuk berinovasi dalam menghasilkan kek supaya ada kelainan dari segi rasa dan rupa pada setiap hasil 'air tangannya'.

''Saya tidak mahu peminat kek rasa jemu dengan rasa yang sama dan dengan itu saya juga turut rasa bertanggungjawab untuk mencipta kek berperisa baru,'' katanya.Justeru pemilik Bzee Bakery yang turut menganjurkan kelas membuat kek ini memastikan akan menghasilkan sekurang-kurangnya empat resipi terbaharu untuk kek pada setiap tahun.

''Pada saya inovasi rasa dalam pembuatan kek amat perlu supaya peminat kek tidak akan merasai kek yang sama setiap kali menikmatinya,'' katanya ketika ditemui di kedainya di No:23, Tingkat Bawah, Magistrate Square, Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Bagi mendapat inspirasi dan idea baru Zalina menggunakan masa rehatnya dengan makan angin ke luar negara khususnya ke Eropah yang sememangnya mempunyai sejarah panjang dalam dunia pastri.

''Saya menggunakan masa itu untuk bertanya dan mencungkil rahsia-rahsia pembuatan kek. Di sana saya cuba rasa pelbagai jenis kek yang ditemui dan membandingkannya dengan rasa yang kita ada di Malaysia,'' katanya.Sekembali ke tanah air, dia mula bereksperimen menghasilkan kek-kek baru yang disesuaikan dengan cita rasa tempatan.Sekalipun tugas itu tidak mudah, dia tetap berasa seronok melakukannya atas dasar minat.Jelas Zalina lagi, dalam membuat kek sebenarnya dia tidak begitu ghairah untuk mencipta kelainan dalam menghias.

''Bagi saya rasa itu lebih penting. Sebab itu kek saya dijual agak mahal sedikit kerana ia lebih kepada kualiti rasa dengan pengunaan bahan-bahan terbaik,'' katanya.

Malah katanya, setiap rasa kek yang dihasilkan tidak akan dapat dirasa dari mana-mana kedai kek.

Oleh itu kata Zalina, dia mempunyai 'resipi rahsia' dalam membuat kek yang hanya akan dikongsi dengan pelajar yang mengikuti kelasnya.

Dia juga tidak kisah untuk berkongsi 'resipi rahsia' tersebut kerana dia akan terus mencipta dan mengumpul banyak lagi resipi baru dari semasa ke semasa.Antara kek eksklusif Bzee Bakery seperti Russian Black and White Chocolate dan Snowy Peach Custard Cream Cake selain jenis Opera, Italian Rainbow, Red Velvet dan pelbagai lagi.Bercakap mengenai kelas kek yang dikendalikannya, Zalina mengakui memang asalnya membuat kek sekadar untuk jualan sahaja.

Namun, lama-kelamaan timbul semangat untuk berkongsi kemahiran yang dimiliki demi melahirkan lebih ramai lagi pembuat kek 'halalan toyiban' .

Sekaligus ia dapat membantu kalangan pembuat kek untuk terlibat dalam perniagaan secara serius atau melakukannya secara kecil-kecilan sebagai pendapatan sampingan.

''Saya masih lagi menerima tempahan tetapi dalam jumlah yang agak terhad kerana tumpuan saya kini lebih pada menganjurkan kelas,'' katanya.Zalina mengakui sebenarnya dia berasa lebih puas dapat berkongsi ilmu dengan pelajarnya.Setakat ini kelas yang dianjurkan memang penuh dan biasanya sudah ditempah lebih awal.Malah kebanyakan daripada pelajarnya datang dari luar Seremban di mana mereka sanggup datang dari jauh hanya untuk memperoleh ilmu..

''Saya biasanya memberikan dua pilihan untuk pelajar pertama ada untuk menyertainya secara demonstrasi beramai-ramai yang cuma diadakan pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad,'' katanya.Katanya, harga untuk hadir kelas ini lebih murah di mana pelajar akan mempelajari tiga resipi dalam sehari.Manakala satu lagi kelas Buat Sendiri (DIY) di mana pelajar akan menghadiri kelas secara perseorangan.Jelas Zalina, biasanya kelas DIY ini diadakan pada hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat dan kadar yuran lebih tinggi.Sesiapa yang berminat boleh melayari blog Bzee Bakery atau menghubunginya menerusi talian 0192820053.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Tengku Rozidar tidak takut gagal


Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin

SEPANJANG 14 tahun menerajui sistem franchis makanan segera hot dog yang satu-satunya milik bumiputera, pada dasarnya tidak berlalu dengan sebegitu mudah.

Tetapi bagi pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nineteen One atau lebih dikenali Hotdog 1901, Tengku Rozidar Tengku Zainal Abidin, 43, dengan berbekalkan prinsip tidak takut gagal dan semangat yang cekal sahaja mampu membuatkan syarikat itu berdiri teguh sehingga ke hari ini.

''Langit tidak selalu cerah dan begitu juga dengan 1901 di mana turut berhadapan dengan risiko naik turun di dalam perniagaan,'' katanya ketika ditemui di kiosk 1901 di Sunway Giza, Kota Damansara baru-baru ini.

Tengku Rozidar juga memberitahu dia tidak malu untuk menceritakan bahawa pernah melalui pengalaman menggadaikan barang kemas dan kereta mewah hanya untuk melangsaikan segala hutang demi perniagaan.Tetapi itu semua bukan pematah semangat sebaliknya menjadi pendorong untuk meletakkan 1901 pada kedudukan yang sepatutnya seperti hari ini.

''Pelanggan hanya tahu 1901 terus ada supaya mereka dapat terus menikmati hot dog yang disediakan dalam pelbagai resipi enak, berkhasiat, bersih dan dengan harga yang berpatutan,'' katanya.Jelas Tengku Rozidar, semangatnya memang tidak boleh pudar semata-mata kerana tidak sanggup berhadapan dengan masalah yang melanda.''Situasi itu berulang lagi pada tahun lalu sehingga menyebabkan cawangan 1901 di Singapura dan Indonesia terpaksa ditutup,'' katanya.Katanya, membuka cawangan di luar negara memang berisiko tinggi tetapi masalah yang dihadapi masih terkawal.''Sukar sebenarnya untuk mengendalikan cawangan di luar negara kerana dalam masa yang saya harus memantau semua cawangan di sini,'' katanya.Lebih memeritkan lagi kata Tengku Rozidar, dia juga terpaksa memberhentikan sejumlah pekerja supaya dapat menguncupkan perbelanjaan kewangan.Antara puncanya kerana pada ketika itu dia berdepan dengan masalah pekerja yang tidak jujur terutamanya yang melibatkan hal kewangan.Tetapi Tengku Rozidar tetap percaya bahawa setiap masalah itu tetap ada jalan keluarnya.

''Saya juga tidak suka mengaku kalah, apa yang penting memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikannya secara tenang,'' katanya.Katanya, setelah semua cawangan luar negara ditutup maka dia mula menumpukan sepenuh pemerhatian ke atas semua cawangan di dalam negara supaya berjalan dengan lancar dan sempurna.Tengku Rozidar mengakui ketika bekerja dia memang seorang yang amat tegas.''Saya akui ada kalanya garang tetapi sikap itu memang bertempat supaya segala arahan yang diberikan kepada kakitangan berjalan dengan baik.

''Sebarang keputusan biasanya dikaji secara terperinci dan kerana itu biasanya tidak akan ditarik balik,'' tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, ketegasan ini membuatkan dirinya akhirnya telah berjaya memulihkan semula kedudukan 1901 yang hampir goyah dalam jangka masa hampir setahun.Memang perit katanya, tetapi demi memikirkan nasib franchisor terletak di tangannya, maka Tengku Rozidar meletakkan kepentingan syarikat di tempat teratas berbanding dengan soal peribadi.''Apa yang penting saya mahukan 1901 terus memberikan perkhidmatan makanan segera yang berkhasiat lagi halal untuk rakyat di negara ini,'' katanya.Menurut beliau, perniagaan dalam bidang makanan ini sebenarnya rumit bukan sahaja perlu menitikberatkan dari segi kebersihan malah sehingga kepada layanan kepada pelanggan.

Atas sebab itu, dia sentiasa menasihatkan franchisornya supaya jangan membiarkan 1901 hanya diuruskan oleh pekerja sahaja.Tengku Rozidar memberitahu, franchisor tidak boleh lepas tangan sebaliknya perlu berkerja kuat setelah sanggup melabur wang dalam jumlah yang besar.''Sepatutnya franchisor itu yang perlu berada di kiosknya sendiri sepanjang masa dan cuba untuk memasarkan sendiri demi untuk memastikan produk yang dijual itu mampu mengaut keuntungan,'' katanya.

Namun kata Tengku Rozidar, bagi memastikan semua franchisor di bawahnya berjaya maka dia dari semasa ke semasa akan bertemu dengan mereka.Bagaimanapun katanya, dia tidak boleh menumpukan perhatian kepada semua frachisor 1901 ini dalam satu-satu masa.Beliau akui agak sedih apabila ada franchisor yang terpaksa menutup perniagaan begitu sahaja sehingga menyebabkan semua duit yang dilaburkan dari hasil titik peluh semasa bekerja hilang begitu sahaja.Sehubungan itu, katanya kejayaan 1901 memerlukan sokongan semua pihak bagi memastikan franchise milik anak Melayu ini mampu bersaing pada bila-bila masa pun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Kain tenun, songket makin digemari


GAYA terserlah ayu dengan rekaan busana berasaskan kain tenun dan songket. Kain kelubung atau selendang pula menjadi penyeri.


KAIN tenun dan songket merupakan antara fabrik mewah yang semakin digemari di kalangan peminat fesyen tanah air pada hari ini.

Kehadirannya mudah diterima ramai apatah lagi untuk pembangunan industri tekstil di negara ini.

Lebih menarik, kain tenun dan songket kini telah diberi sentuhan inovasi sehingga ia sesuai dipakai oleh semua lapisan masyarakat.

Tambah anggun apabila disesuaikan dengan baju kurung atau kebaya panjang yang dilengkapi dengan selendang atau kain kelubung.

Selain itu, songket turut dipakai sebagai samping, tengkolok atau bengkung untuk golongan lelaki.

Lantaran itu, ia adalah warisan turun-temurun yang perlu dijaga dan dipelihara supaya tidak luput ditelan arus pemodenan.

Bagi memastikan warisan itu terus hidup, Persatuan Isteri-isteri, Anak dan Anggota Wanita Penjara (Persiap) dan Jabatan Penjara mengambil inisiatif mengadakan majlis Malam Gala Persiap di Royal Ballroom Palace of Golden Horses, Sri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Majlis dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Yayasan Tuanku Nur Zahirah dan Terengganu International Design of Excellent (TIDE) itu bertujuan mengutip dana untuk disalurkan kepada Tabung Kebajikan Persiap.Menurut Ketua Program Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis Seni Reka, UiTM Shah Alam, Anas Musavir, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk menyiapkan koleksi daripada kain tenun dan songket.

Tambahnya, kesemua fabrik telah dibekalkan oleh Jabatan Penjara dan mereka perlu merealisasikannya menjadi busana lengkap."Seramai lapan orang kakitangan Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis Seni Reka, terlibat untuk mereka bentuk serta menjahit baju dari kain tenun dan songket ini."Kami mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan kesemua 32 koleksi berasaskan kedua-dua fabrik."Apa yang menarik ialah fabrik-fabrik diperagakan merupakan rekaan Jabatan Penjara, kami hanya menjadikannya busana indah untuk diperagakan," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya lagi, melalui platform pertunjukkan fesyen, pihak Jabatan Penjara berpeluang mempromosikan produk tekstilnya yang bermutu tinggi seperti kain tenun dan songket Pahang hasil kreativiti para penghuni penjara.

Ia juga dapat memartabatkan seni budaya bangsa berteraskan fabrik kain tenun dan songket Pahang kepada masyarakat umum di samping mendidik masyarakat, generasi muda serta penghuni penjara mengenai kemahiran dan ketinggian nilai seni fabrik tersebut.

Mengulas lanjut mengenai rekaan yang dihasilkan, jelas Anas, untuk menjadikan pakaian daripada kain tenun dan songket, pihaknya perlu mengambil kira aspek corak dan hasil kain terlebih dahulu.Ini kerana, dua-dua fabrik tersebut tidak boleh dipotong sebarangan kerana dikhuatiri akan merosakkan nilai-nilai seni dalam fabrik terbabit.Dalam masa sama, kedua-dua fabrik itu juga tidak sesuai dijadikan pakaian sepenuhnya sebaliknya yang bersifat formal sahaja.Kebanyakan fabrik yang ditonjolkan menyaksikan warnanya lebih lembut dan pakaian yang diperagakan juga dapat dilihat tidak sedondon.Baik kain tenun mahupun songket, warna yang dihasilkan sememangnya merupakan warna-warna lembut dan terang.Menurut Anas, kedua-dua fabrik tersebut tidak sesuai untuk digayakan sedondon.Apa yang pasti, pada malam itu, kebanyakan corak kain tenun dan songket masih mengekalkan ciri tradisional tetapi Jabatan Penjara 'bermain' dengan warna untuk menarik minat penonton.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments