Kehebatan menjadi usahawan

Menjadi seorang usahawan adalah salah satu kerjaya untuk mendapatkan nafkah yang sudah tidak asing lagi dalam diri kita semua. Alamat laman web ini pun menggunakan perkataan usahawan dan pokok perbincangan berkisar terhadap keusahawanan. Apa itu usahawan? apa kelebihan menjadi usahawan? bagaimana usahawan bekerja? bagaimana dia menghadapi cabaran dan apa kepentingan golongan ini dalam masyarakat?. Tajuk ini akan dikupaskan berdasarkan pengalaman penulis sebagai rujukan kepada yang baru berkecimpung dalam dunia ini. Namun demikian kami binausahawan.com mengalu-alukan idea / pandangan pembaca sebagai perkongsian ilmu bersama antara kita.

Berikut adalah pengertian “usahawan” merujuk kepada kamus Dewan Bahasa dan Pustaka : orang yg mengusahakan sesuatu perusahaan, pengusaha;keusahawanan (segala-gala) yg berkaitan dgn usahawan atau kegiatan dan kemahiran usahawan: kita perlu mencari kaedah-kaedah baru guna membantu mempercepat pembangunan pengurusan dan pembangunan ~ di negara ini; kursus ~; sikap dan tabiat ~.

Ramai individu sudah mula menceburi bidang keusahawanan, mungkin kerana desakan ekonomi, ingin cuba-cuba, mengikut rakan-rakan yang sudah berjaya, mengisi masa lapang atau sudah “nampak” peluang cerah dalam kerjaya ini. Ramai juga individu yang berjaya dan menjadi nama besar dalam dunia keusahawanan masa kini. Namun demikian terdapat juga golongan yang tidak berjaya mempertahankan bisnes mereka hingga hari ini. Ada yang tutup bisnes dan kembali makan gaji. Ada yang tidak fokus menjalankan perniagaan, terlalu banyak bisnes yang diuruskan dengan alasan ingin meluaskan perniagaan. Perkara ini sering berlaku dan hingga hari ini perniagaan mereka hanya cukup makan sahaja kerana pada hakikatnya mereka menjalankan operasi perniagaan yang memerlukan masa dan kudrat yang banyak, berbanding menguruskan perniagaan yang memerlukan ilmu dan pengalaman yang banyak.

Beberapa keluaran ini bukan sahaja ditujukan kepada bakal usahawan, malah kepada ibubapa bakal usahawan, pasangan (suami/isteri) bakal usahawan, adik-beradik bakal usahawan dan rakan-rakan bakal usahawan. Golongan ini yang paling hampir dengan mereka dan kadangkala golongan ini tidak memahami cabaran dan dugaan seorang usahawan kerana kerjaya ini memerlukan pengorbanan yang besar dan kesabaran yang tinggi. Sudah tentu golongan ini akan merasai kemanisan kejayaan seorang usahawan. Hidup mewah dan pangkat yang tinggi dalam masyarakat. Tetapi sebelum merasai kemanisan mereka perlu membayar harga kejayaan dengan kepahitan melalui ranjau dan onak duri sepanjang perjalanan sebelum kejayaan.

Kemiskinan membawa kepada kekufuran. Peratusan kes jenayah meningkat antaranya disebabkan oleh tahap pengangguran yang tinggi. Kes-kes penceraian ada juga hubung kait dengan faktor ekonomi dalam sesebuah keluarga. Itu antara senario yang berlaku apabila kedudukan ekonomi seseorang individu / keluarga tidak stabil, dan adakalanya individu tersebut melakukan perkara yang membatasi hukum agama akibat keperluan yang mendesak. Justeru itu individu yang berfikiran waras bertindak dengan tindakan yang baik disisi agama dan undang-undang negara.

Untuk melarikan diri daripada kemisikinan, individu itu perlu bekerja bersungguh-sungguh mencari pendapatan dan jalan terbaik adalah menceburi bidang keusahawanan. Ini bukan cerita baru lagi pada masa kini, cuba kita lihat ramai contoh golongan yang miskin yang bekerja bersungguh-sungguh dengan cara yang halal tidak kira penduduk negara ini atau pendatang ke negara ini. Hasilnya anda lihat sahaja laaa. Apabila kita mempunyai kewangan yang kukuh kita mampu memiliki kediaman yang selesa untuk pembesaran anak, pelajaran yang terbaik untuk anak, dapat menjaga kebajikan ibubapa yang sudah tua, makan makanan yang halal dan berkhasiat dan berbagai corak kehidupan yang lebih sempurna.

Ayat ini sudah tentu anda banyak kali kedengaran. “Saya ingin kaya sebab boleh beli kereta besor, rumah besor dan segalanya besor!!!”. Apabila kita sudah mencapai tahap segalanya besor, sentiasala berpegang dengan ajaran agama kerana kekayaan yang dikecapi sekadar pinjaman sementara daripada tuhan. Kesimpulannya, apabila kita menjadi usahawan, kita boleh memperbaiki taraf kewangan keluarga kita daripada miskin kepada kaya, daripada baik kepada yang lebih baik asal kita bekerja keras.

Kemewahan yang sedang dinikmati sebagai usahawan yang berjaya bukanlah hak mutlak kepada dirinya sahaja. Sebagai seorang muslim, harta atau kekayaan yang dianugerahkan perlu disedekahkan kepada individu yang lain. Malah ramai juga jutawan yang bukan muslim mewujudkan yayasan untuk menguruskan bantuan kepada yang memerlukan. Bagi binausahawan.com, kelebihan memberikan bantuan yang banyak kepada yang memerlukan adalah kehebatan utama apabila menjadi usahawan.

Penyaluran bantuan tidak kira individu tersebut berdaftar atau dengan bantuan senyap, boleh membantu golongan yang memerlukan seperti :

  1. Orang-orang miskin
  2. Ibu tunggal dan anak-anak yatim
  3. Pesakit yang tidak berkemampuan untuk membayar kos rawatan
  4. Pelajar-pelajar miskin yang memerlukan sumber kewangan untuk pelajaran
  5. Pembinaan sekolah, rumah kebajikan, hospital, masjid dan lain-lain

Bayangkan bantuan RM10 lebih baik daripada RM1, dan sekiranya lebih banyak lagi bantuan dihulurkan inshallah rezeki daripada tuhan akan datang berlipat ganda. Agama Islam sendiri mewajibkan bayaran zakat kepada individu yang layak. Melalui cara begini saluran bantuan kewangan boleh diuruskan dengan cekap dan telus. Adakah anda ingin membayar zakat yang lebih banyak setiap tahun?? Adakah anda berminat untuk membantu orang yang susah??? Jadilah usahawan yang berjaya.

9/10 rezeki datang daripada aktiviti perniagaan. Kenyataan yang sudah sinonim dalam web usahawan, motivasi perniagaan dan rencana dalam media bercetak. Jika inginkan pendapatan yang lebih tentu manusia akan memilih 9/10 berbanding 1/10.

Memetik kata-kata Chef Li dalam buku yang terkenal tulisan beliau “Jutawan Senyap”, sebahagian masyarakat melayu islam sedang mengalami sindrom yang dipanggil “Lihat tapi tak nampak“. Satu situasi seperti tahu seekor harimau ada dihadapan mata, tapi tidak memberikan apa-apa reaksi.

Pakar motivasi terkenal Datuk Dr. Hj Fadzilah Khamsah dalam ceramah kaset motivasinya berkata ” Sekiranya tuhan menurunkan rezeki sebanyak sekian sekian (rezeki yang Allah turunkan tidak boleh dihitung dengan bilangan) dalam sesuatu hari, maka 9/10 adalah milik orang yang menjalankan aktiviti perniagaan.”

Lihatlah begitu banyak pecahan “kek rezeki” yang kita boleh rebut jika menjadi usahawan. Ini secara tidak langsung kekuatan ekonomi memberikan juga kekuatan untuk agama, bangsa dan negara.

Friday 15 February 2008

Mungkin dalam sedar atau tidak, apabila menyertai kelompok usahawan, ia membentuk jaringan yang tidak putus antara satu sama lain. Bermula sahaja dengan kelompok usahawan internet memerlukan komputer untuk bekerja, kelompok pengeluar komputer memerlukan pelbagai pembekal peralatan komputer, kelompok pembekal memerlukan kilang untuk tapak membuat produk, kelompok syarikat pembinaan memerlukan modal daripada bank, dan pihak bank memerlukan pendeposit daripada usahawan yang mempunyai duit yang banyak.

Bukan itu sahaja dalam jaringan ini juga muncul jaringan yang tiada kaitan, seperti kelompok syarikat pembinaan memerlukan pelan perlindungan takaful untuk pekerja, kelompok kilang memerlukan tempat makan untuk pekerjanya dan kelompok perbankan memerlukan syarikat yang membaikpulih penghawa dingin pejabat. Bayangkan anda sebagai usahawan adalah sebahagian dalam jaringan ini. Kita memerlukan antara satu sama lain, persaingan adalah bagus untuk produktiviti, bukan untuk menjatuhkan pihak yang lain.

Dan sudah tentunya jika kita tidak menyertai kelompok ini, harga perkhidmatan dan barangan senang-senang sahaja dikawal oleh kelompok tertentu. Oleh yang demikian mari kita sama-sama mengembeleng tenaga kerana banyak lagi ruang-ruang jaringan yang perlu diisi daripada kelompok bumiputera. Tiada yang mustahil.

Antara faktor utama penjajahan kuasa Eropah ke sebelah Asia adalah untuk mendapatkan bahan mentah seperti rempah ratus pada peringkat permulaan. Semasa giatnya revolusi perindustrian seperti tercipta makanan dalam tin dan kereta, Tanah Melayu ketika itu tidak terkecuali menerima limpahan rezeki. Banyak lombong bijih timah dibuka dan ladang-ladang getah diterokai. Tanah Melayu menjadi makmur dengan permintaan tinggi daripada hasil komoditi tersebut.

Siapakah yang memainkan peranan dalam revolusi itu…? Selain daripada pemerintah, usahawan-usahawan pada ketika itu memainkan peranan utama menjana hasil. Pelombong, pemilik ladang, pemilik kilang pemprosesan, syarikat pengangkutan dan banyak usahawan yang terlibat dalam jaringan ini. Dan sehingga hari ini apabila revolusi internet mula berkembang sejak 1990an lagi, banyak usahawan-usahawan internet muncul satu demi satu. Usahawan yang tidak berkaitan dengan internet sekalipun mempunyai kepentingan dan menyumbang dalam revolusi ini. Binausahawan.com juga berbangga kerana kami juga adalah sebahagian daripada revolusi internet.

Satu kebanggaan kerana apabila anda menyertai bidang keusahawanan, tidak kira apa jua bidang sekalipun, anda akan terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam revolusi ekonomi dunia. Kehidupan dunia berkembang maju, teknologi baru yang sering dikatakan akan muncul selepas internet ialah Nanoteknologi. Suatu yang menarik jika kita semua sebagai usahawan akan jadi “pemain utama” dalam revolusi baru ini.

Ada individu yang ingin berkecimpung dalam bidang keusahawanan kerena melihat faktor sekeliling. Mereka ingin mengubah tahap kewangan dan kehidupan keluarga mereka apabila melihat rakan mereka berjaya sebagai usahawan. Ada juga individu ingin menjadi usahawan kerana inginkan kebebasan masa dan lari daripada terkongkong dengan kehidupan kerja makan gaji. Dan sepanjang pengalaman saya mendidik usahawan baru, ada yang bermula dengan ingin membayar hutang kereta. Lama kelamaan selepas mengharungi perit maung mereka boleh menjadikan kerjaya keusahawanan sebagai kerjaya sepenuh masa.

Ada 1001 lagi kehebatan menjadi seorang usahawan yang hanya boleh diketahui jika anda sendiri menceburi bidang ini. Hasrat binausahawan.com ialah mempopularkan kerjaya usahawan sama seperti kerjaya makan gaji. Masih ramai individu yang menutup minda bahawa usahawan hanya untuk orang sudah berumur atau jika tiada alternatif pekerjaan lain dan beberapa alasan lagi. Bidang ini banyak dugaan sama seperti kehidupan makan gaji tetapi memberikan kelebihan dari segi kewangan, kemahiran diri dan lain-lain. Sebagai seorang muslim kita juga perlu ingat bahawa pekerjaan yang dilakukan mestilah dengan niat baik, pelaksanaan menurut syariah dan memberi kebaikan dunia dan akhirat.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: