Memperkasakan usahawan wanita
MUKHRIZ (tengah) dan Raja Azam Baeizah bersama peserta program �Ke Arah Usahawan Bumiputera Global� di Menara Martrade, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Wena bantu pertingkat perniagaan ke pasaran global
WANITA hari ini lebih cenderung terbabit dalam dunia perniagaan. Lebih membanggakan, golongan yang sering dianggap lemah itu turut memiliki hasrat untuk berjaya dalam perniagaan mereka bukan saja mencapai pasaran dalam negara bahkan tidak gentar untuk membawa produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat global. Persatuan Rangkaian Usahawan Wanita (Wena) yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu kini disertai lebih 200 ahli yang terdiri di kalangan usahawan baru, malah jumlah keahlian dijangka bertambah dua kali ganda menjelang tahun depan berikutan pelbagai program yang dijalankan bagi menggalakkan lebih ramai wanita terbabit dalam perniagaan.
Presiden Wena, Raja Azam Baeizah Raja Mokhtar, berkata ramai wanita sedar perniagaan adalah permulaan awal yang terbaik untuk berjaya dalam hidup, namun mereka perlu memanfaatkan konsep rangkaian perniagaan kerana menerusi kaedah itu mereka dapat bertemu dan bertukar fikiran bersama peniaga lain dan pelanggan, seterusnya menjadi gagasan untuk saling memberi keuntungan.
“Selari dengan dunia hari ini, teknologi siber maklumat atau Information Cyber Technology (ICT) membuka ruang sekali gus menjadi inspirasi kepada Wena untuk membuka pasaran luar dengan kaedah lebih kreatif untuk ahlinya.
“Justeru, ia juga memudahkan peniaga baru mahupun yang sedia ada meneruskan dunia perdagangan mereka dengan menembusi pasaran global,” katanya pada majlis pelancaran program ‘Ke Arah Usahawan Bumiputera Global’ di Menara Martrade, ibu kota, baru-baru ini.
ANTARA peniaga wanita yang juga ahli Wena terbabit dalam promosi barangan jualan mereka sebelum melebarkan sayap ke peringkat global. |
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Visi Wena adalah bagi melahirkan usahawan wanita dengan nilai unik yang akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka selain usahawan berwibawa, inovatif, kreatif, profesional, mempunyai minda global, yakin dan kuat dalam dunia perniagaan.
Raja Azam Baeizah berkata, sejak penubuhan Wena, beberapa program sudah dijalankan dalam usaha mempertingkatkan profesionalisme dan memperkembangkan perniagaan.
Antaranya memberi laluan kepada usahawan wanita mempromosikan prinsip, berkongsi pengetahuan dan inovatif untuk terus mencuba hingga ke pasaran global. Program itu dapat membantu usahawan wanita Bumiputera mencapai peringkat global dalam dunia tanpa sempadan.
Program berkenaan membabitkan enam siri latihan iaitu Program Pembangunan Insan; Komunikasi Pemasaran antara B kepada B dan B kepada C; Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM); Pengurusan Strategi Perusahaan Kecil; Pengurusan Kewangan untuk Strategi Membuat Keputusan serta Kesan Kesedaran Liberalisasi
Ia juga selaras dengan teras keempat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu untuk menghasilkan 4,000 usahawan wanita menjelang 2012.
Beliau berkata, Wena berdedikasi untuk terus memberi sokongan dan sumbangan kepada pembangunan bangsa dengan meningkatkan sumber melalui berbagai pembelajaran dan program pembangunan inisiatif untuk kepentingan semua.
“Wena menganjurkan lebih banyak aktiviti memberi kesempatan kepada ahli untuk berinteraksi dan memperluaskan rangkaian perniagaan mereka. Di samping itu, mereka boleh mendapat bimbingan dan sokongan bahkan saling melengkapi antara satu sama lain untuk mencapai tujuan mereka,” katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, program berkenaan adalah antara usaha untuk meningkatkan bilangan usahawan wanita dan juga memperkasakan mereka menerusi pelbagai kemahiran yang menjadi landasan kepada usahawan wanita yang berjaya untuk berkongsi pengalaman bersama usahawan baru supaya dapat meneroka pasaran global.
“Kementerian juga memainkan peranan dalam membantu mereka memasarkan produk dan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa kerana wanita juga mampu pergi jauh dengan azam mereka untuk berjaya dalam hidup. Memandangkan wanita juga lebih ramai di institusi pengajian tinggi, ramai juga wanita berani tampil ke depan untuk mencuba bidang ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment