PEMENANG ANUGERAH SEMANGAT KEUSAHAWANAN 2009 Tetap bangkit walau tiga kali 'tersungkur'

MINATNYA dalam bidang reka bentuk kreatif dan grafik, sama ada di media cetak mahupun penyiaran, sudah terbentuk sejak kecil.Jika menonton televisyen, Encik Sa'at Ismail lebih memberi perhatian kepada pelbagai iklan kreatif dan menarik, berbanding dengan rancangan yang ditayangkan.

'Sejak kecil lagi, sememangnya saya berminat menonton iklan dan sering menantikan iklan-iklan itu semasa menonton TV.

SIKAP INGIN TAHU

'Ia menimbulkan sikap ingin tahu. Saya suka lihat bagaimana sesuatu produk itu dipasarkan dan bagaimana mereka mempromosikan idea bagi produk-produk tersebut.

'Dari situlah, tanpa saya sedari, minat itu semakin mendalam dalam diri saya ini,' kata Encik Sa'at, 39 tahun, dalam wawancara dengan Ekoniaga baru-baru ini.

Encik Sa'at, pemilik dan pegarah kreatif SiliconPlus Communications, baru-baru ini dipilih sebagai pemenang Anugerah Semangat Keusahawanan 2009 (Spirit of Enterprise atau singkatannya SOE). Beliau adalah antara 30 usahawan terhormat (honouree) yang dipilih bagi anugerah tersebut.

Malah, beliau adalah satu-satunya usahawan Melayu-Islam yang dipilih di kalangan 30 usahawan Singapura dan menerima anugerah itu dari Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan), Encik S. Iswaran, baru-baru ini.

Kesemua 30 usahawan terhormat itu dipilih daripada 117 usahawan syarikat kecil dan sederhana (SME) setempat bagi anugerah tahun ini yang bertujuan menggalak dan memajukan semangat keusahawanan di Singapura.

Namun, kejayaan beliau dan syarikatnya yang kini mempunyai 20 kakitangan sepenuh masa dan menjana penjualan $2.8 juta dalam setahun itu, tidak datang bergolek.

Seperti kebanyakan usahawan lain, Encik Sa'at juga mengalami pahit maung dunia perniagaan dan gagal dalam perniagaan sebanyak tiga kali. Namun kegagalan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam bidang perniagaan yang beliau minati itu.

SEMAKIN CEKAL

Malah, kegagalan demi kegagalan yang dihadapi menjadikannya semakin cekal.

Lulusan sekolah seni La Salle itu telah menyertai sebuah syarikat terkemuka di Jakarta, Indonesia, Dang Design & Architecture, dan diberi kepercayaan untuk membangunkan unit reka bentuknya sendiri dan menjalankan perniagaannya sendiri menerusi syarikat tersebut.

'Itulah pekerjaan pertama saya. Saya diberi dua kakitangan dan seorang pembantu untuk membuat segalanya - jurugambar, pengarah seni, membuat jenama dan ilustrasi serta membuat papan-papan tanda,' ceritanya.

Pengalaman dua tahun bekerja di Jakarta itu banyak memberi pendedahan kepadanya.

BUKA PERNIAGAAN

Sekembalinya ke Singapura, beliau yakin untuk membuka perniagaannya sendiri bersama seorang rakan kongsi.

'Namun tidak sampai dua tahun, perniagaan kami gagal. Sebabnya: itulah pertama kali saya menjalankan perniagaan sendiri dan tidak tahu banyak tentang peraturan dalam perniagaan,' ujarnya.

Dalam 1997, beliau bersama sekumpulan lima temannya membangunkan perniagaan yang sama menerusi Wishbone Design Consultant.

' Itu pun gagal. Ini kerana terlalu banyak ketua dalam syarikat itu sebab masing-masing mempunyai saham 20 peratus dan mahu bersuara. Syarikat itu tidak dapat bergerak sehaluan.

'Saya mahu mengetuai syarikat itu dengan membeli 5 peratus saham daripada setiap rakan kongsi saya itu supaya syarikat itu dapat dikawal. Namun idea saya ditolak dan saya mengambil keputusan mengundurkan diri,' tambahnya.

Encik Sa'at memulakan semula perniagaan baru dalam bidang yang sama. Kali ini juga bersama seorang rakan kongsi yang hanya melabur tetapi tidak aktif.

GAGAL LAGI

Perniagaan itu pun hanya dapat berjalan selama setahun dan tidak berkembang.

'Kegagalan demi kegagalan membuatkan saya sedar bahawa rakan kongsi dalam perniagaan tidak begitu praktikal. Jadi saya ingin membuka syarikat sendiri.

'Pada Oktober 1999, bersama adik saya, Masliza, dan rakanita saya, yang kini isteri saya, Michelle Lee, saya membuka SiliconPlus Communications.

'Hanya kami bertiga membangunkan sebuah pejabat kecil dengan modal $30,000.

PELABURAN JANGKA PANJANG

'Kami bersetuju mementingkan pelaburan jangka panjang bagi syarikat ini dan saya mendapat sokongan penuh adik dan isteri saya. Kami mempunyai visi yang sama,' kata Encik Sa'at.

Namun, menurutnya, syarikatnya itu, seperti syarikat-syarikat lain, mengharungi pelbagai cabaran seperti implikasi ekonomi tidak menentu menyusuli peristiwa serangan 911, ledakan dot.com, wabak Sars dan krisis ekonomi.

'Dalam peringkat awal penubuhan syarikat, kami memang menghadapi tahun-tahun yang sukar.

'Bagaimanapun, kami tidak melihat kesukaran itu sebagai satu masalah besar. Kami hadapinya dengan sikap positif dan ia menjadikan kami lebih kukuh,' tambahnya.

Menurut Encik Sa'at lagi, walaupun syarikatnya ketika itu berhutang, mereka berjaya meyakinkan para pembekal bahawa apa jua pendapatan yang dihasilkan akan dilaburkan semula ke dalam syarikat bagi matlamat jangka panjang.

SiliconPlus Communications yang terletak di Eunos Technolink, Kaki Bukit, kini mempunyai 20 kakitangan. Hampir separuh daripadanya adalah pereka bentuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Syarikat itu juga telah mengembangkan sayapnya dengan menubuhkan anak syarikat di Jakarta kira-kira setahun lalu.Kini, dengan perniagaan yang semakin berkembang, Encik Sa'at merancang menubuhkan tiga lagi cawangan anak syarikat di sini dengan setiap satu memberi tumpuan kepada bidang yang berbeza.

Tiga bidang itu adalah multimedia, jenama dan penerbitan.

'Buat masa ini, kami mengendalikan ketiga-tiga bidang itu di bawah satu bumbung.

' Namun dengan adanya pasaran tukikan bagi para pelanggan tertentu, kami rasa adalah lebih baik perniagaan kami ini dibahagikan dan dikhususkan kepada tiga bahagian,' kata beliau

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: