Takut Jumpa Pelanggan

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh sebilangan besar individu yang mula menceburi bidang jualan adalah perasaan takut berhadapan dengan bakal pelanggan. Berbanding dengan pelanggan yang sedia ada, kita sudah biasa malah sudah tahu perangai pelanggan kita. Tetapi berhadapan dengan orang baru, sedikit sebanyak si penjual baru ini akan merasai ketakutan ataupun tidak biasa dengan suasana baru.

Kenapa kita menjadi takut?, sebelum berlatih bagaimana menghapuskan situasi takut, kita lihat dahulu kenapa ada sebilangan yang keluar rumah untuk membuat jualan, jalan-jalan di beberapa tempat untuk meninjau kawasan dan pulang terus kerumah tanpa membuat jualan…

Antara faktor-faktor

  1. Kurang keyakinan dengan kebolehan diri sendiri
  2. Tiada kemahiran untuk cekap berkomunikasi / gugup dihadapan orang
  3. Tiada motivasi untuk menggerakkan kerja
  4. Masih ada perasaan malu dalam diri
  5. Menangguhkan kerja
  6. Tidak pernah didedahkan dengan kemahiran bersosial, hanya biasa dengan kerja-kerja dihadapan komputer / kerja berseorangan
  7. Gementar dengan situasi yang akan terjadi lantas memikirkan perkara yang negatif
  8. Sering kali gagal dalam percubaan sebelum ini
  9. Ingin terlalu menjaga status diri
  10. Takut dimarahi, takut diherdik, takut dimalukan, takut diketawakan, takut dilihat oleh orang ramai dan 1001 ketakutan yang kita cipta sendiri.

Bakal pelanggan adalah manusia biasa seperti kita semua. Mereka mempunyai pelbagai ragam. Jadi tidak hairan, jika diri kita sendiri mempunyai banyak ragam dalam satu hari, tidak mungkin individu lain juga mempunyai banyak ragam tiap hari tiap masa.

Oleh yang demikian, memang perkara lumrah jika kita berhadapan dengan seribu satu jenis orang bakal pelanggan setiap masa. Kunci utama dalam menghadapi situasi ini adalah sabar dan pandai menyesuaikan diri dalam sesuatu keadaan.

Mengenali sifat bakal pelanggan :

  1. Melayan penjual dengan baik dan bersopan santun
  2. Suka menguji sikap penjual dengan kerenah yang tidak disukai
  3. Tegas dengan keputusan sendiri dan perlu mengikut segala kehendak dia
  4. Tidak suka melayan kehadiran penjual
  5. Tidak menunjukkan respon, hanya diam membisu
  6. Berpura-pura dengan sifat lain, tetapi hanya akan menunjukkan sifat sebenar apabila sudah berkenalan rapat.
  7. Suka berdebat dan banyak bercakap dengan penjual.

Bagaimana menghadapi situasi berhadapan bakal pelanggan adalah topik utama dalam siri ini. Bagi yang tidak biasa atau pertama kali melakukan kerja ini, jangan takut untuk memulakan jualan anda. Menegur, memulakan bicara, bertanyakan soalan, membuka perbualan adalah antara cara kita berkomunikasi dalam jualan. Sama sahaja situasinya bila kita bersosial dengan rakan-rakan.

Apa yang penting adalah lakukan sekarang. Jangan bertangguh, jangan menunggu masa lain dan membuat perkara lain seolah anda sengaja melambatkan aktiviti ini. Tidak kisah anda gemuruh, tidak pandai dan seribu alasan, jika kita tidak memulakan kerja ini, kita tidak boleh maju ke hadapan.

Langkah seterusnya, kita tingkatkan jumlah aktiviti. Jika minggu lalu kita berjaya berjumpa seorang bakal pelanggan, maka minggu ini tingkatkan untuk berjumpa 2 orang bakal pelanggan. Minggu hadapan berazam untuk berjumpa 3 orang pula. Pada masa ini, jangan hiraukan kelemahan, biarkan mereka kata kita tidak pandai untuk membuat jualan, janji kita telah memulakannya.

Fasa ketiga adalah perubahan kepada keyakinan. Kita telah berjaya meningkatkan kuantiti aktiviti, kini kita perlu menigkatkan kualiti. Jika dahulu kita kurang yakin dalam berkomunikasi, tingkatkan keyakinan. Keyakinan ini dalam pelbagai cara, sebutan yang jelas dan perlahan, sebut perkataan satu persatu, tunjukkan perwatakan yang yakin, senyum dengan yakin dan pandangan mata yang memberikan wajah yang juga meyakinkan.

Pada fasa-fasa seterusnya, kita perlu perbaiki tahap komunikasi dengan lebih serius. Sebelum ini kita berusaha dengan sendiri, pada fasa seterusnya kita perlu banyak membaca bacaan berkaitan komunikasi, menghadiri kursus berkaitan komunikasi dan mempelajari secara tidak formal daripada rakan lain bagaimana meningkatkan tahap komunikasi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: