Francais: Model industri diperkenal tahun depan

KUALA LUMPUR 9 Dis. - SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan memperkenalkan Model Industri Francais dengan kerjasama dengan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS) pada suku pertama tahun depan.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, model baru itu adalah tambahan kepada tujuh model sedia ada yang dibangunkannya dengan agensi-agensi berkaitan sejak pengenalannya pada Julai 2007.Model-model itu dibangunkan supaya SME Corp bersama-sama agensi yang terbabit boleh mengukur impak dan hasil program mereka menerusi alat penaksiran kuantitatif yang dikenali Score.

Beliau menjelaskan, tujuh model itu melibatkan sektor pembuatan dan khidmat berhubung pembuatan; teknologi komunikasi maklumat (ICT); perdagangan peredaran; pembinaan; penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih; khidmat profesional dan pelancongan.Berikutan itu katanya, SME Corp akan terus membangunkan spesifik model bagi memenuhi pelbagai industri sub sektor."Kami akan membangunkan pelbagai model dengan rakan kongsi yang berbeza dan juga beberapa bakal sub sektor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memeteraikan perjanjian dengan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Badlisham Ghazali untuk Program Score+ MSC Malaysia.Menurut Hafsah, dalam pada itu, pihaknya telah menggunakan Score untuk menilai impak program-program mereka terhadap pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)."SME Corp boleh membantu memulakan dan memudahkan proses itu tetapi kami juga mahu rakan-rakan kongsi untuk melaksanakannya supaya boleh mengukur impak dan hasil program menggunakan Score," jelasnya.Tambahnya, sehingga Oktober lalu, terdapat 2,818 PKS telah diberi penarafan melalui Score.

Daripada jumlah itu, 72.2 peratus diberikan penarafan dua bintang, 24.5 peratus (tiga bintang), 3.3 peratus (empat bintang) manakala tiada sebarang PKS yang layak menerima penarafan lima bintang.Buat masa ini, Score digunakan untuk mengenal pasti PKS bertaraf tiga dan empat bintang untuk Program Perhubungan Perindustrian dengan pasar-pasar raya hyper termasuk Tesco, Carrefour, Giant dan Mydin manakala 241 syarikat disyorkan kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).Mengenai kerjasama dengan MDeC, Hafsah berkata, kedua-dua pihaknya akan membangunkan Score+ iaitu gabungan Score dan kaji selidik impak syarikat berstatus MSC untuk industri ICT."Perjanjian ini akan meningkatkan daya saing PKS menerusi Program Score+ MSC Malaysia."Ketika ini, sebanyak 742 syarikat telah dikemukakan kepada SME Corp oleh MDec," katanya.

Sementara itu, Badlisham berkata, sehingga Oktober lalu, sebanyak 874 syarikat tempatan berstatus MSC telah diberi penarafan dan dijangka kira-kira 600 lagi menjelang pertengahan tahun depan."Program SCORE+ MSC Malaysia diwajibkan bagi semua syarikat tempatan berstatus MSC,"Kami menyasar kira-kira 30 peratus syarikat mendapat penarafan tiga bintang pada akhir tahun depan dan sekurang-kurangnya dua mendapat penarafan lima bintang menjelang 2015," ujar beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: