Cara baru berkomunikasi.




Facebook beri ruang kepada pengguna khususnya wanita bincang pelbagai isu penting

FACEBOOK, Twitter dan banyak lagi jaringan sosial yang popular di seluruh dunia hari ini menjadi pilihan kebanyakan remaja untuk berinteraksi bersama rakan sehingga ada ibu bapa yang melahirkan kebimbangan kerana ada pengguna yang sanggup menghabiskan lama di depan komputer untuk bersembang. Bagaimanapun, Pengarah Pembangunan Pemasaran Facebook, Randi Zuckerberg, berkata Facebook bukan sekadar laman sembang, bahkan ramai yang mendapat manfaat daripada penggunaannya.

“Facebook bukan jaringan sosial yang melekakan, tetapi banyak perkara penting termasuk isu kesihatan wanita turut dibincangkan secara bersama di kalangan pengguna serata dunia,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan di depan lebih 3,000 peserta yang menyertai Sidang Kemuncak Pembabitan Belia (Yes 2009) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa lalu, wanita muda itu menggesa ibu bapa supaya tidak berpandangan negatif terhadap jaringan sosial terkemuka dunia itu.

Zuckerberg berkata, Facebook bukan saja menjadi medan komunikasi remaja bersama rakan tempatan atau luar negara, tetapi ia juga pentas membincangkan pelbagai isu menarik yang sedang berlaku di dunia termasuk membabitkan wanita.

Randi Zuckerberg

Katanya, Facebook yang kini mempunyai hampir 300 juta pengguna seluruh dunia turut tidak ketinggalan menyuarakan isu berhubung hak asasi wanita dan isu kesihatan serta segala permasalahan yang sedang dihadapi oleh kaum berkenaan. “Antara isu kesihatan wanita yang sering mendapat perhatian dalam Facebook ialah berhubung penyakit barah payu dara. Melalui Facebook, wanita dan gadis remaja seluruh dunia sering berkongsi pandangan selain mengemukakan pendapat masing-masing berhubung penyakit ini.

“Mungkin ada pelayar Facebook yang tidak mendapat penerangan secukupnya mengenai penyakit ini, tetapi menerusi jaringan sosial ini mereka mendapat gambaran jelas berhubung barah payu dara. “Facebook bukan saja disertai oleh golongan remaja atau belia, tetapi juga daripada pelbagai bidang profesional seperti doktor, peguam, wartawan, psikologi dan sebagainya. Saya dapat melihat, golongan profesional terutama pakar perubatan yang turut menjadi ahli Facebook sering memberi pandangan masing-masing berhubung barah payu dara ini,” katanya.

Selain isu barah payu dara, Zuckerberg yang baru menyambut ulang tahun pertama perkahwinannya berkata, perkara yang turut dibincangkan dalam Facebook ialah mengenai hak asasi wanita, isu penderaan dan kempen pencegahan HIV/Aids.

“Banyak isu penting dibincangkan dalam Facebook dan pengguna berupaya untuk mendapat banyak maklumat bukan sekadar bersembang secara dalam talian bersama rakan-rakan,” katanya. Katanya, dunia melihat Facebook sebagai alat perhubungan yang cukup berkesan dan berkuasa sehingga mampu membawa perubahan kepada semua orang. Randi berkata, Facebook seolah-olah sudah menjadi media baru kepada orang ramai dari serata dunia untuk mendapatkan maklumat selain berkongsi pandangan berhubung sesuatu isu.

Beliau berkata, Facebook juga berperanan untuk memupuk perpaduan dalam usaha memastikan dunia terus aman dan bersatu-padu.

“Baru-baru ini, kita menjalankan kajian berhubung rangkaian komunikasi antarabangsa dalam Facebook dan mendapati dalam tempoh satu jam saja, lebih 6,000 rakan baru dicapai antara Palestin dan Israel,” katanya.

Randi berkata, segala data pengguna yang dilampirkan ketika proses pendaftaran Facebook turut dirahsiakan dan menafikan laporan bahawa data peribadi ahli jaringan sosial ini didedahkan untuk tujuan tertentu. Dalam pada itu, Randi berkata, beliau juga amat gembira apabila mendapat tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga adalah pengguna Facebook. Katanya, selain Najib, ramai pemimpin dunia termasuk bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Bill Clinton turut menjadi ahli Facebook. “Saya melihat Clinton amat aktif dalam Facebook dan sering menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya menerusi Facebook. Beliau juga memberi pandangan, berkongsi maklumat dan menyampaikan nasihat kepada generasi muda,” katanya.

Randi berkata, kira-kira 3.5 juta rakyat Malaysia juga adalah pengguna Facebook yang meluangkan masa hampir sejam melayari jaringan sosial itu.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: