Fenomena MLM




Tip jana pendapatan, elak jadi mangsa penipuan

SENARIONYA sama - anak-anak muda berkumpul mengelilingi meja makan di restoran mamak dan sesekali disertai sorakan penuh semangat. Melihat aksi kumpulan generasi muda ini, tentu kita dapat mengagak mereka adalah penggerak konsep pemasaran terkini iaitu multi-level marketing (MLM). Tidak cukup itu, risalah, artikel dan e-mel yang tersebar sering memaparkan kejayaan usahawan MLM yang hidup mewah hasil perniagaan berangkai ini. Foto mereka bergaya dengan kereta mewah atau aksi ketika melancong ke Eropah bagai mahu mengumpan perhatian generasi muda mendekati MLM.

Namun, masih ramai skeptikal dengan corak perniagaan MLM. Mengapa tidak, di sebalik kisah kejayaan usahawan MLM, ada juga didengar cerita rakan atau individu lain yang mendakwa tertipu dan menanggung rugi. Kolum Tanya Pakar minggu ini menyelami cerita di sebalik MLM dan berkongsi maklumat asas mengenai skim pemasaran moden ini. “MLM adalah cara terbaik bagi orang biasa mencapai pendapatan luar biasa melalui kaedah biasa,” kata Pengarah Eksekutif Worldwellness Network Sdn Bhd, Najmie Noordin.

Worldwellness adalah syarikat milik penuh Bumiputera yang mempraktikkan konsep MLM bagi memasarkan produk mereka. Produk sulung syarikat ini iaitu iaitu air penyembuhan aura, Rx-Water yang diperkenalkan enam tahun lalu serta beberapa produk harian lain yang berjaya dipasarkan mengikut konsep MLM. Najmie mengakui wujud persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap perniagaan berkonsepkan MLM. “Ini berlaku kerana salah laku segelintir pengusaha perniagaan MLM yang tidak bertanggungjawab menggunakan ‘tiket’ pemasaran berangkai seperti ini untuk memperdaya orang ramai dan mengaut untung,” katanya pada pertemuan di pejabatnya baru-baru ini.

Najmie berkata, masyarakat perlu didedahkan konsep sebenar dan kelebihan MLM supaya dapat menilai sendiri keberkesanannya.Ini penting bagi mengelak diri terjebak dengan sindiket penipuan MLM,” katanya. Ikuti temubual ini...

Secara ringkas, apa yang boleh difahami mengenai konsep pemasaran moden MLM?

Secara am, ada dua jenis perniagaan MLM iaitu syarikat yang memiliki produk dan menggunakan pendekatan MLM untuk memasarkan keluaran mereka.

Kedua, perniagaan yang memiliki produk tetapi tumpuan utama perniagaan bukanlah penjualan produk sebaliknya menjana kewangan melalui perkembangan jaringan keahlian.

MLM boleh dianggap pengganti kedai dan proses jual beli produk yang berlangsung terus antara ejen dan pelanggan. Tumpuan lebih diberi kepada pemasaran produk manakala pengaruh produk bergantung kepada kuasa perkongsian (power of sharing).

Adakah MLM sama dengan jualan langsung?

Konsep MLM sebenarnya berkembang daripada sistem jualan langsung. Dalam jualan langsung, ejen biasanya menjual produk di kalangan kenalan saja dan komisen diterima daripada setiap penjualan. Manakala dalam skim MLM, ejen bukan saja menjual produk kepada pelanggan tetapi mengajak mereka menjadi ahli bagi menikmati diskaun. Setiap ejen bukan saja memperoleh pendapatan melalui penjualan produk semata-mata, sebaliknya setiap kali mereka membawa ejen baru menyertai perniagaan ini. Kaedah MLM dikatakan bakal menjadi menjadi pendekatan pemasaran popular dan berkembang pesat, tidak lama lagi. Banyak syarikat besar mula mempraktikkan pendekatan ini di seluruh dunia.

Segelintir masyarakat masih mempunyai persepsi negatif terhadap MLM. Mengapa ini masih berlaku?

Persepsi negatif timbul kerana ada syarikat MLM dikatakan tidak dapat mengawal perniagaan dengan baik. Ini ditambah dengan cerita ada syarikat beroperasi beberapa bulan, kemudian menghentikan perniagaan kerana tidak dapat mengurus sistem dengan baik. Ada juga syarikat MLM yang dikatakan menyeleweng dan menipu pelanggan.

Tindakan itu sudah tentu bertentangan dengan undang-undang. Selepas mengaut keuntungan, mereka akan menghilangkan diri. Malah ada juga yang membuka syarikat MLM lain dan terus menipu orang ramai. Ini yang menyebabkan ramai tidak percaya kepada operasi perniagaan MLM. Secara tidak langsung, keadaan ini memberi kesan kepada syarikat seperti kami yang menjalankan perniagaan secara jujur. Selain penipuan yang dilakukan syarikat, masalah juga timbul apabila ejen atau pengedar menipu. Banyak kes yang dilaporkan sebelum ini menimbulkan persepsi negatif terhadap MLM.

Satu lagi pandangan masyarakat terhadap MLM ialah hanya mereka yang berada pada peringkat atas sistem saja yang akan menikmati keuntungan besar dan semua kerja dilakukan kumpulan bawah. Sejauh mana kebenaran dakwaan ini?

Struktur berbentuk piramid adalah sesuatu yang lazim dalam mana-mana organisasi atau sebarang bidang. Kerja yang paling sukar dilakukan mereka yang berada di peringkat bawah, itulah lumrahnya. Namun, kita mesti sedar bagaimana mereka yang berada pada peringkat tinggi boleh sampai ke tahap itu. Mereka tentu melalui pelbagai proses dan pengalaman sebelum berada di atas. Misalnya, usaha mereka dalam mencari dan melatih orang bawah untuk melakukan kerja.

Berbeza dengan organisasi lain, mengikut MLM, jika seseorang bekerja keras, bila-bila masa mereka boleh mengatasi individu yang berada di atas dari segi pendapatan. Pada saya, mereka yang menganggap hanya individu atas saja yang menikmati keuntungan sebenarnya takut berada di kelompok bawah.

Bagi mereka, untuk berjaya dalam apa-apa bidang sekalipun, mereka mesti menjadi yang pertama memulakannya. Realitinya, anda masih boleh berjaya walaupun anda berada di bawah. Pokok pangkalnya ialah usaha dan kerajinan.

Jika mahu menjadi ejen MLM, lebih baik melakukannya separuh masa atau sepenuh masa?

Ini bukan mengenai waktu tapi lebih kepada bagaimana anda memasarkan produk. Ada yang melakukannya separuh masa, selepas waktu kerja atau pada hujung minggu. Tapi jangan terkejut, pendapatan yang diperoleh adalah lebih daripada individu yang menjadi ejen sepenuh masa. Jika seseorang yakin dengan kemampuan diri, tidak salah andai mahu melakukannya sepenuh masa. Tetapi, saya selalu menggalakkan ejen yang memiliki kerja tetap memulakannya dengan menjadi ejen separuh masa. Anda mungkin merasakan mampu menjual produk tapi sebenarnya, MLM bukan sekadar menjual produk. Oleh itu, ambil sedikit masa untuk menimba pengalaman dan mantapkan kemahiran terlebih dulu. Laburkan untuk produk yang anda mampu saja pada permulaan. Jika anda benar-benar ingin melaksanakannya sepenuh masa, pastikan pendapatan yang anda peroleh dari MLM sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada pendapatan tetap sekarang.

Apakah kemahiran yang perlu dimiliki ejen MLM untuk berjaya dalam bidang ini?

Kita tidak akan dapat menentukan secara spesifik jenis kemahiran yang perlu dimiliki individu yang mahu menjadi ejen MLM. Jika hendak dikatakan kemahiran berkomunikasi, saya pernah melihat ejen MLM ‘buat duit’ walaupun tidak pandai berkomunikasi. Bagi saya, apa yang diperlukan dalam diri seseorang ejen MLM ialah keinginan berubah, belajar, tekun dan sabar.

Apa agaknya situasi atau cabaran yang lazim dihadapi mereka yang baru menjadi ejen MLM?

Biasanya, apabila mereka mula diberi penjelasan mengenai sesebuah perniagaan MLM, mereka akan kagum dan tanpa mempelajari lebih lanjut mengenai produk dan sistem MLM, mereka terus mencari pelanggan. Maklum balas yang diterima selalunya negatif dan ada kalanya membuatkan mereka cepat berputus asa. Tambahan pula proses untuk menyertai sesebuah perniagaan MLM yang mudah, maka senang jugalah mereka berhenti.

Sehubungan itu, amat penting bagi seseorang ejen MLM mempersiapkan diri dengan maklumat sepatutnya mengenai produk mereka. Tidak ada gunanya jika anda tidak memahami apa yang anda jelaskan kepada pelanggan. Disyorkan, jika anda memilih produk yang anda suka dan menggunakannya, anda tentu lebih yakin dalam mempromosikan produk terbabit. Anda sudah tentu mampu meyakinkan pelanggan untuk memiliki produk sama dan menjana pendapatan darinya.

Apa kriteria yang perlu diperhatikan seseorang individu sebelum menyertai sesebuah syarikat MLM?

Antara perkara paling utama yang perlu dipastikan ialah syarikat terbabit beroperasi secara sah dan berlesen. Bagi yang beragama Islam, ada keperluan untuk kita memeriksa sama ada perniagaan itu halal. Kemudian, lihat produk yang diketengahkan mereka. Kemudian, fikirkan jika anda bukan ejen MLM untuk produk terbabit, apakah berminat membelinya? Adalah penting untuk diselidik siapa pengasas organisasi perniagaan terbabit, apakah beliau memiliki kredibiliti dan semak reputasi syarikat. Seperkara lagi, hati-hati jika syarikat yang anda ingin sertai mengenakan bayaran hingga beribu-ribu ringgit. Lazimnya, pada kadar bayaran tidak sampai RM100 pun anda boleh mula menjual produk. Selain itu, pastikan bahawa syarikat terbabit mempunyai lesen Akta Jualan Langsung yang diluluskan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan sama ada lesen itu untuk jangka masa panjang atau sementara. Maklumat dan senarai syarikat boleh didapati daripada laman web rasmi Kementerian.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: