SDSI Sabah


EWON Ebin (dua kiri) sambil diperhatikan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Jainab Ahmad (kiri) memuji produk tempatan yang dipamerkan di Bazar SDSI, Wisma Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 12 Jan. - Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) merupakan salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengeluarkan masyarakat desa daripada belenggu kemiskinan.

Bagaimanapun, program yang dimulakan pada 2006, dilihat masih lagi belum mampu menjadi mekanisme yang berkesan untuk mengubah nasib dan kehidupan penduduk kampung khasnya di kawasan pedalaman.

Matlamat utama SDSI bersifat serampang dua mata iaitu bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan rakyat miskin tetapi juga untuk menggalakkan pertumbuhan industri kecil dan sederhana (IKS).

Sehubungan itu, pelbagai usaha dari segi peningkatan kualiti, kuantiti dan promosi perlu digiatkan di samping iltizam daripada mereka yang terlibat memajukan SDSI termasuk para peserta sendiri.

Sehingga kini, masih tidak banyak produk yang dihasilkan oleh IKS berjaya menembusi pasaran komersial dan sekadar dipasarkan di Sabah.

Sedangkan SDSI di negeri ini mempunyai pelbagai produk berpotensi, daripada kraftangan hingga kepada bahan makanan, malah kepelbagaian budaya, adat dan tradisi, juga merupakan produk pelancongan.Melalui penganjuran Bazar SDSI di Wisma Tun Fuad Stephens, di sini, baru-baru ini, pameran Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah itu dilihat satu langkah positif untuk memajukan produk SDSI.Bazar berkenaan yang diadakan selama tiga hari bagi peringkat negeri, disempurnakan oleh Menterinya, Datuk Ewon Ebin dan turut dihadiri Setiausaha Tetap kementerian itu, Datuk Ismail Abdullah.

Melalui bazar itu, pelbagai produk SDSI dipamerkan seperti produk-produk kosmestik berasaskan herba sama ada untuk kecantikan atau perubatan, bahan makanan kering seperti kuih tempatan dan kerepek.Selain itu, turut dipromosikan ialah barangan kraftangan yang halus, unik dan tidak terdapat di tempat lain, begitu juga dengan bermacam bahan lain yang hanya boleh didapati di negeri ini.Ewon ketika berucap memberitahu, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM23 juta untuk membiayai program SDSI di Sabah bagi 2009 dan 2010.

Jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa SDSI, dana tersebut merupakan suntikan bagi meningkatkan lagi kualiti, kuantiti, jenis, promosi dan pemasaran produk SDSI."Kita yakin program SDSI akan lebih berdaya saing dan maju dalam masa dua tahun ini iaitu tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita ada banyak perancangan untuk memajukan SDSI."Sebelum ini, program-program SDSI yang diperkenalkan pada 2006, hanya menerima peruntukan RM550,000 yang disumbangkan kerajaan negeri bagi tempoh 2006 hingga 2008," katanya.Ewon berkata, bagi memastikan peruntukan itu sampai kepada golongan sasar, semua pejabat daerah diminta mengenal pasti potensi-potensi yang ada di tempat mereka untuk diketengahkan.Sehingga kini, kata Ewon, pihaknya hanya menerima 17 kertas cadangan dan permohonan dari beberapa pejabat daerah untuk membangunkan produk yang berpotensi di tempat mereka.Selain itu, katanya, jawatankuasa SDSI di peringkat kementerian perlu turut memainkan peranan proaktif dalam menyelaras, menangani dan memantau pelaksanaan program-program SDSI.Jawatankuasa itu katanya, dianggotai oleh semua pegawai daerah dan juga daripada pelbagai jabatan serta agensi kerajaan bagi memastikan program SDSI mencapai sasaran.

Kerajaan juga katanya, sedia membantu usahawan-usahawan SDSI melalui Institut Penyelidikan dan Pertanian Malaysia (MARDI), Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mara, dan Koperasi Koperasi Pembangunan Desa (KPD).Jelasnya, bantuan pihak MARDI ialah mesin dan teknologi pemprosesan makanan, SIRIM (teknologi pembungkusan dan mesin), Martrade (pasaran antarabangsa), Mara (pembiayaan kewangan) dan KPD (usahawan contoh)."Bagi membantu usahawan-usahawan SDSI untuk meningkatkan keupayaan dan pengetahuan, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan bersama MARDI turut menganjurkan kursus tertentu."Kursus-kursus ini adalah khusus tentang teknologi pemprosesan makanan dalam produk-produk yang dikeluarkan di daerah, hasil daripada kursus ini kita telah berjaya melahirkan usahawan SDSI baru," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, bazar berkenaan diharapkan akan menjadi platform yang paling sesuai untuk mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan di setiap daerah di Sabah.Selain mempromosikan produk SDSI katanya, diharapkan juga bazar itu dapat meyakinkan para pengguna bahawa produk tempatan bukan sahaja murah tetapi juga bermutu."Dengan ini, kebergantungan kepada produk import dan aliran keluar wang dapat sedikit sebanyak dikurangkan. Ini akan membaiki taraf ekonomi penduduk setempat dan juga memajukan ekonomi negeri," katanya.Pada masa akan datang katanya, bazar seumpama itu akan diadakan secara besar-besaran yang dijangka penganjurannya pada April ini."Bilangan peserta akan ditambah dan pengisian acara baru seperti pertandingan produk terbaik, seminar dan pemadanan perniagaan akan dimasukkan pada kali ini," ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: