Anak nelayan jadi peniaga berjaya


Norizam Nordin (berdiri) memerhatikan salah seorang pekerja menyiapkan tempahan pelanggan.

ANAK nelayan ini tidak pernah menyangka dia akan berada di kedudukan sekarang dan bergelar seorang ahli perniagaan. Walaupun perniagaan yang diceburi tidaklah sebesar mana, ia sudah cukup membanggakan bagi anak sulung daripada lima beradik ini.Bagi wanita sepertinya yang ingin berjaya dalam perniagaan di bandar kecil di tanah kelahirannya, Dungun, Terengganu, kejayaan yang dicapai hari ini menjadi pemangkin untuk terus berdiri teguh.

Tidak mustahil suatu hari nanti, wanita yang hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan ahli perniagaan wanita yang telah mencipta nama.Sebaik tamat persekolahan, Norizam Nordin, 38, yang memahami kesempitan hidup keluarganya, tidak mahu duduk diam menanti pekerjaan datang kepadanya. Sebaliknya, dia mengikuti kursus menjahit di beberapa buah kedai sekitar bandar Dungun.Setelah mahir, dia mengambil upah menjahit pakaian dan pada permulaan semua kerja menjahit dilakukan di rumah. Banyak tempahan yang diterima, namun peralatan menjahit banyak yang kurang atau tidak mencukupi.

"Duit simpanan memang tiada langsung tapi mujur pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) sanggup menghulurkan bantuan modal permulaan sebanyak RM2,000,'' kata Norizam.Selepas 10 tahun menjahit di rumah, Norizam ingin meluaskan nama kedainya, Sara Fesyen & Collections ke lokasi yang lebih strategik dan sesuai.Sara Fesyen & Collections kemudian berpindah ke bangunan Majlis Daerah Dungun berhampiran dengan Pasar Minggu Sura Gate. Kedai yang mengambil berkat nama anak tunggal perempuannya, Nurul Qaisara Razak, 7, semakin diterima oleh masyarakat sekeliling.

Lantas pada tahun 2006, dengan tambahan pinjaman sebanyak RM8,000 daripada Tekun bagi membeli mesin jahit, Norizam berpindah pula ke Sura Gate Business Centre.Kini, Norizam, yang banyak mendapat bantuan daripada suami, Razak Md Zin, 50, dan keluarga, sekali lagi mendapat kepercayaan pihak Tekun yang memberikan pinjaman sebanyak RM30,000 bagi meluaskan perniagaan menjahit pakaian.Menurut ibu kepada empat orang anak berumur di antara 19 tahun hingga tujuh tahun ini, Sara Fesyen & Collections begitu dikenali di sekitar Dungun dan Kuala Terengganu kerana fesyen kurung Pahangnya.

"Memang pun kemahiran saya dan empat tukang jahit di sini ialah menjahit kurung Pahang. Kebanyakan tempahan yang diterima ialah untuk menjahit kurung Pahang selain kebaya, rekaan fesyen eksklusif dan baju pengantin.

Kurung Pahang 'dart'

"Masyarakat di Dungun amat menyukai kurung Pahang. Saya lihat kurung Pahang sekarang sudah diubah suai dengan pelbagai potongan."Melihat kepada minat wanita terhadap kurung Pahang, saya cuba melahirkan idea sendiri dan mereka bentuk satu potongan kurung Pahang yang berbeza, iaitu dengan menjahit 'dart' di belakang baju."Potongan kurung Pahang ini nampak seperti kebaya jika dilihat daripada belakang dan jika daripada depan, ia nampak seperti kurung Pahang biasa,'' jelasnya yang mempunyai pelanggan di kalangan kakitangan bank, kakitangan pejabat, pensyarah, pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun dan masyarakat sekitar.

Norizam berkata, pada mulanya dia membuat kurung Pahang 'dart' itu untuk dipakai sendiri namun setelah pelanggan melihat, mereka pun ingin memiliki potongan dan rekaan yang sama kerana ada kelainan daripada kurung Pahang biasa.Kini kurung Pahang yang ada 'dart' ini semakin digemari dan Sara Fesyen & Collections mendapat banyak tempahan daripada penduduk sekitar Dungun dan Kuala Terengganu."Saya turut menghantar kurung Pahang ini ke butik-butik sekitar Kuala Terengganu dan ekoran sambutan yang menggalakkan, saya merancang untuk mengedarkannya ke seluruh negara,'' kata Norizam.Bukan itu sahaja mereka dari luar Terengganu juga menempah kurung pahang 'dart' daripadanya dengan mengirim kain melalui pos.Selain baju dewasa, dia turut menjahit baju kanak-kanak, sarung sofa dan kusyen, alas tudung saji, alas meja, langsir dan menerima tempahan menjahit pakaian seragam syarikat-syarikat di sekitar Dungun.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: