Batik motif bunga menjalar jadi rebutan


FAIRUZ Wan Kadir (dua dari kanan) tidak menang tangan melayan pelanggan yang menggemari motif batiknya.

Batik lukis bukan sahaja unik kerana coraknya cantik tetapi sering dikaitkan dengan kreativiti si pelukis yang menggunakan daya imaginasi bagi menzahirkan idea di atas sehelai kain putih.

Situasi tersebut menarik minat kebanyakan wanita mengabadikan keindahan batik untuk ditampilkan pada pakaian tradisi seperti kurung dan kebaya. Begitu juga lelaki yang tidak terkecuali memilih batik ketika menyarung kemeja.

Perkara tersebut diakui oleh seorang pengusaha batik di Kota Bharu, Kelantan, Fairuz Wan Kadir, 31, yang telah mengusahakan batik lebih 10 tahun lalu.Menurut Fairuz, kain yang lembut dan beralun lebih diminati pelanggan yang rata-rata memilihnya untuk dijadikan kurung berbanding kain kapas yang lebih sesuai dibuat kaftan."Selain jenis kain, corak juga mempengaruhi minat pembeli. Selari dengan perubahan masa, batik turut mengalami inovasi dalam rekaan dan corak yang kini lebih bersifat kontemporari," ujarnya ketika ditemui di syarikatnya, Hanafi Batik.Tambahnya, lonjakan permintaan turut mendorong pengusaha bersama-sama pelukis mencari pelbagai idea baru untuk diterjemahkan dalam bentuk corak yang menarik.

Katanya, batik corak Sri Endon yang mengambil sempena nama Allahyarhamah Datin Seri Endon adalah motif paling popular."Corak batik Sri Endon menampilkan motif bunga yang mempunyai warna yang pelbagai dalam kelopak bunga menjalar. Latarnya polos dengan nada-nada pastel untuk menonjolkan bunga lebih segar dan menyerlah," ujarnya.

Fairuz, yang berkahwin dengan Ghazali Mohd. Din, 56, yang juga merupakan seorang pengusaha batik berjaya di Kelantan memberitahu, corak batik kini banyak dipengaruhi oleh idea baru yang lebih berani dan segar."Kebanyakan pelanggan dari Kuala Lumpur memilih batik corak Sri Endon kerana masih mengekalkan ketulenan corak batik semula jadi.

"Corak tersebut dihasilkan menggunakan teknik canting iaitu sejenis alat melukis batik tradisional dan warna yang dipilih lebih cerah seperti merah cili, oren pinang, biru laut, hijau pucuk pisang atau ungu terang," katanya.Bagaimanapun, ujarnya, selepas disuntik dengan elemen baru dan lama, di kalangan pelanggan yang bercita rasa moden terutama pelancong Barat, mereka lebih gemarkan corak jarum emas, embun, renjis, retak dengan gabungan warna-warna pastel dan kusam."Bagi menghasilkan corak-corak tersebut, teknik berus digunakan untuk menggantikan canting. Pelukis bebas melahirkan idea dengan cara merenjis berus yang direndam di dalam lilin secara terus ke kain namun dalam keadaan terkawal."Hasilnya, selepas lilin tanggal, kesan renjisan akan muncul di kain dan terhasil corak menarik selepas bergabung dengan motif asal," jelasnya.

Memiliki kelebihan mengendalikan proses membuat batik selepas mewarisi daripada ayahnya yang juga pengusaha batik sejak kecil, Fairuz turut melakukan pemilihan jenis fabrik, merancang corak dan motif, mencanting, memasukkan warna, proses pengeringan hinggalah ke urusan pemasaran.Dibantu 10 pekerja di kilang, Fairuz memberitahu, kira-kira 30 pasang kain ela sepanjang empat meter siap bercorak dikeluarkan dalam seminggu namun jumlah tersebut berganda menjelang musim perayaan."Batik yang mempunyai latar ular sawa dengan motif bunga menjalar antara corak terbaru yang diperkenalkan di sini dan mendapat sambutan hangat di kalangan pelanggan."Terdapat beratus-ratus corak batik yang dikeluarkan oleh pengusaha mengikut kreativiti masing-masing di samping mengikut cita rasa pelanggan," katanya.Selain kain meter, Hanafi Batik turut menawarkan kurung, kebaya, kemeja lelaki batik yang telah siap dijahit termasuk kaftan pelbagai corak dan saiz.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: