Enaknya pisang goreng bersama aiskrim
|
Namun, mungkin tidak ramai yang pernah merasa pisang goreng dimakan dengan ais krim vanila.
Bunyinya agak pelik, malah penulis tidak begitu teruja untuk mencuba hidangan itu pada mulanya.Terlintas di fikiran bagaimana rasanya pisang goreng yang rangup dan panas itu apabila dimakan bersama aiskrim.Namun apabila rezeki sudah di depan mata, tidak elok ditolak sambil hendak menjaga hati tuan rumah.Apa pun, sebaik menikmati hidangan berkenaan, gabungan dua makanan panas dan sejuk cukup menjadi.Sehinggakan penulis tidak sedar pisang goreng dan aiskrim vanila yang dihidangkan habis dalam sekelip mata.
Hilang semua telahan negatif yang bermain di fikiran dan ingin pula mengetahui rahsia di sebalik hidangan yang berasal dari Thailand itu.Ketua Chef Gazebo Tera-Thai, Zambri Kuema, 29, berkata, dalam bahasa Thailand, pisang goreng yang dimakan bersama aiskrim itu dipanggil kluay thod.Menurutnya, ia sering menjadi hidangan petang bagi masyarakat yang tinggal di wilayah selatan seperti Chiangmai dan Chengrai.Katanya, keistimewaan hidangan itu ialah pisang berangan jela yang digaul dalam adunan tepung beras, kelapa parut dan bijan bagi menghasilkan keragupan asli dan rasa tersendiri.
"Saya tak nafikan ramai yang pelik apabila dengar pisang goreng bersama aiskrim. Namun, mereka perlu mencuba terlebih dahulu untuk merasai perbezaannya dengan hidangan pisang goreng biasa."Saya pasti ramai yang akan menggemarinya dan mahu datang kembali ke sini lagi untuk mencarinya selain terpikat dengan menu kami yang lain," katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam masakan Thailand di Kuala Lumpur.Set menu pisang goreng bersalut aiskrim vanila yang dihidangkan bersama teh O ais limau atau kopi itu hanya berharga RM6. Ia merupakan antara tarikan hidangan yang mampu menambat selera pelanggan.Zambri memberitahu, hidangan set menu Ayam BBQ Thai yang disediakan di gazebo itu turut menjadi pilihan pengunjung kerana resipi unik yang tidak terdapat di negara ini.
Jelas chef yang berasal dari Narathiwat, Thailand itu, hidangan ayam BBQ itu tidak menggunakan minyak, manakala daging ayam diperap terlebih dahulu selama lima jam bersama rempah ratus yang istimewa."Namun apa yang membuat hidangan ini lain daripada lain ialah sos yang mengikut resipi asli dari Thailand dan tidak terdapat atau dijual di mana-mana di negara ini."Saya yakin daya tarikan hidangan ini terletak pada sos yang dihidangkan dengan dua perasa iaitu pedas dan masam-masam manis," katanya.Sementara itu, hidangan masakan Thailand lain di Gazebo Tera-Thai ialah som tham (salad betik), kao niao (nasi pulut), roti canai bersama geng kiao lian (kari hijau ayam), larb (ayam rebus), khao niaw mamuang (pulut mangga) dan kluay buat chi (pengat pisang).Kini gazebo berkenaan sedang mempromosi set menu petang yang berharga antara RM6 hingga RM16.Jadi apa tunggu lagi, bagi peminat masakan Thailand, datanglah ke Gazebo Tera-Thai di Jalan Abdul Samad di sini yang beroperasi tujuh hari seminggu, dibuka dari pukul 3 petang hingga 7 malam.
0 comments:
Post a Comment