Contohi jaringan peniaga Cina seberang laut

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Umat Islam perlu memperkasa ekonomi dengan memantapkan jaringan perniagaan dan perdagangan Islam di peringkat tempatan serta antarabangsa.Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah sedemikian boleh dilakukan dengan mencontohi konglomerat Cina di seberang laut yang menjadi penyumbang modal terbesar kepada ahli perniagaan mereka di seluruh dunia.Katanya, konglomerat Cina ini menubuhkan jaringan tidak formal dinamakan bamboo networking (jaringan buluh) berasaskan sikap saling mempercayai antara satu sama lain.

Bamboo networking ini telah menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi masyarakat Cina di negara-negara Asia seperti di Singapura, Thailand, Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan China.''Kebangkitan negara China sebagai kuasa ekonomi dunia juga banyak disumbangkan oleh peranan masyarakat Cina seberang laut terutamanya di Asia Tenggara yang merupakan antara penanam modal utama di negara itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk Memperkasa Ekonomi Ummah Melalui Pemantapan Jaringan Tempatan dan Penerokaan Berkesan dalam Pasaran Global: Persiapan Mendepani Cabaran Baru Ekonomi Dunia pada Kongres Ekonomi Islam Ketiga (KEI-3) di sini hari ini.

Kertas kerja beliau dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.Muhyiddin memberitahu, walaupun wujud perbezaan dari segi demografi, budaya dan agama, tetapi konglomerat Cina seberang laut masih berjaya dan umat Islam juga berpotensi untuk melakukan perkara yang sama.

Tegasnya, umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.8 bilion orang yang mana 61 peratus atau 1.1 bilion berada di Eropah, Amerika Utara dan Asia yang merupakan pusat-pusat utama pertumbuhan ekonomi dunia.''Jumlah umat Islam ini merupakan pengguna utama barangan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh komuniti perniagaan dan perdagangan Islam di samping dapat membuka peluang membina jaringan perniagaan global," katanya.

Beliau memberitahu, industri makanan halal yang dianggarkan sebanyak RM2 trilion (AS$547 bilion) setahun berpotensi menjadi pemangkin kepada pemantapan jaringan global komuniti perniagaan dan perdagangan Islam.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah mempergiatkan usaha membentuk jaringan kerjasama global yang meliputi aspek pemprosesan makanan, pemasaran, penyediaan modal, penyelidikan dan pembangunan.Muhyiddin menambah, ahli perniagaan Islam juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjenamaan untuk meningkatkan pemasaran produk atau perkhidmatan yang ditawarkan terutama dalam industri halal.''Penjenamaan ini bukan sahaja menitikberatkan unsur syariah, tetapi termasuk tahap ataupun piawai penyediaan perkhidmatan serta barangan yang bermutu tinggi," katanya.Berkaitan dengan penyelidikan dan penerokaan dalam industri baru, beliau meminta keutamaan diberikan kepada bidang tenaga alternatif seperti biofuel yang boleh menggantikan petroleum sebagai sumber tenaga utama.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: