Lazatnya coklat Malaysia


DUA pekerja, Siti Nurhana Shamsudin, 18, dan Nurseha Norazmi, 20, (kiri) sibuk menyusun dan membungkus coklat zyraz's di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. - Gambar SHAHJEHAN

KUALA PILAH 20 Jan. - Industri coklat buatan tangan semakin mendapat tempat di kalangan usahawan bumiputera walaupun ia sangat kompetitif termasuk harus bersaing dengan syarikat coklat dari luar negara yang sudah lama bertahan.Usahawan muda, Azian Razak, 30, adalah salah seorang daripada yang nekad mengusahakan perniagaan tersebut demi menyahut seruan kerajaan yang menggalakkan industri pemerosesan makanan.

Menurut Azian yang merupakan anak jati dari Kuala Pilah, di sebalik pelbagai persepsi negatif masyarakat tentang coklat tempatan yang dikatakan tidak selazat coklat import, beliau yakin potensi industri tersebut sangat cerah.

"Semakin banyak yang semakin sedar tentang kepentingan mendapatkan produk halal di pasaran jadi inilah yang usahawan seperti saya cuba sediakan. Selain tidak perlu lagi risau tentang kandungan bahan digunakan, coklat tempatan juga tidak kurang enaknya," katanya.

Menurut Azian yang pernah berkhidmat sebagai pembantu penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha memperkenalkan coklat jenama zyraz's itu, beliau kerap menyertai pelbagai ekspo pertanian termasuk berasaskan makanan."Penyertaan dalam ekspo seperti ini sering kali membuka ruang kepada saya untuk memperkenal dan mempopularkan coklat tersebut.Setakat ini, kata Azian, syarikatnya mengeluarkan sebanyak 15 jenis coklat dan coklat golden nugget zyraz's adalah antara yang mendapat sambutan.

"Salah satu kelebihan coklat buatan tempatan selain dijamin halal, harganya juga berpatutan," katanya.Pada masa ini, Azian yang mendapat bimbingan Jabatan Pertanian negeri sangat bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan dalam membantu usahawan bumiputera sepertinya.Sebagai contoh jika dulu beliau cuma beroperasi di rumah tetapi kini disediakan bengkel khas untuk memproses produk tersebut di inkubator memproses makanan di sini."Dengan kemudahan yang disediakan termasuk peralatan, saya mampu menghasilkan lebih 50 kilogram coklat pelbagai jenis setiap hari," katanya.

Daripada segi pembungkusan pula, kata Azian, beliau mendapat bantuan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) yang menyediakan bungkusan khas.Bercakap tentang perancangan masa depan, kata Azian, beliau berhasrat untuk memasarkan coklat buatannya ke seluruh negara termasuk luar negara."Baru-baru ini saya mendapat tawaran daripada salah sebuah pusat membeli belah popular yang bersetuju untuk menjual coklat saya."Tetapi saya terpaksa menangguh dulu tawaran tersebut sehingga pertengahan tahun ini kerana masalah pengeluaran. Bagi memenuhi tawaran tersebut saya harus mengeluarkan sekurang-kurangnya 5,000 pek coklat.

"Insya-Allah selepas saya berjaya mendapatkan kilang yang lebih besar di Damansara, Selangor tidak lama lagi, permintaan itu akan dipenuhi kelak," katanya yang mempunyai kelulusan industri kimia daripada UPM.Selain itu beliau juga berhasrat untuk memasarkan coklatnya di butik coklat di lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Murah LCCT."Ini adalah salah satu cara untuk mempopularkan coklat ini di kalangan pelancong asing terutama yang mempunyai resipi tempatan. Saya berharap coklat zyraz's kelak menjadi salah satu pilihan pelancong untuk dijadikan cenderamata bagi dibawa pulang ke negara masing-masing," tambahnya.

Pada masa ini kata Azian, beliau berminat untuk mendapatkan ejen bagi membekalkan coklat tersebut.Bagi yang berminat untuk menjadi ejen boleh menghubungi talian 017-2231546," katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: