Jati Diri Melayu

SEKIRANYA perbincangan mengenai ketuanan Melayu masih dilihat dari sudut kepentingan politik, maka penulisan sebegini barangkali sudah tidak lagi sesuai untuk dihasilkan.

Ini kerana isu mengenai ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin politik beberapa waktu dahulu sudah boleh dianggap basi, kerana tumpuan kepentingan politik ketika ini beralih kepada isu lain, yang mungkin lebih relevan dengan kehadiran pilihan raya kecil di Kuala Terengganu pada 17 Disember ini.

Isu ketuanan Melayu itu juga dikatakan hanya bersifat kepentingan politik semata-mata kerana perbincangan mengenainya tidak diperpanjangkan kepada satu bentuk tindakan yang lebih konkrit.

Sebaliknya sekadar perdebatan dan perang mulut yang berdegang-degang oleh beberapa kerat pemimpin politik yang kemudiannya sunyi sepi tidak ubah seperti hangat-hangat tahi ayam.

Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila majlis-majlis ilmu yang secara khusus membincangkan mengenai isu ketuanan Melayu langsung tidak mendapat perhatian di kalangan orang politik.

Keadaan yang sama, sekali lagi dapat disaksikan ketika berlangsungnya Seminar Nasional Ketuanan Melayu anjuran Kolej Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (KADMDI), di MITC, Ayer Keroh, Melaka, minggu lalu.

Seminar ini membawa tema yang sangat berat untuk difikirkan iaitu "Konsep dan Cabaran Dalam Pembinaan Negara Bangsa dan Berdaulat," serta dibarisi oleh tidak kurang 20 orang cerdik pandai dan pakar dalam bidang ketuanan Melayu.

Sedangkan seminar itu merupakan pentas yang paling tepat untuk memahami apakah sebenarnya ketuanan Melayu yang ketika ini cuba diruntuhkan menerusi penyelewengan pemahaman oleh sesetengah pihak atas kepentingan peribadi.

Pelbagai penafsiran yang tidak tepat mengenai ketuanan Melayu antaranya Malay supremacy, Malay hegemoni, tuan dan hamba dan banyak lagi digembar-gemburkan bertujuan untuk menakut-nakutkan terutamanya orang bukan Melayu.

Lebih menggerunkan apabila ketuanan Melayu itu cuba dilihat sebagai satu ideologi perkauman berasaskan keagungan bangsa, cauvinistik dan permainan politik terutamanya yang didokong oleh orang UMNO.

Malangnya tidak ramai ahli UMNO sendiri yang mampu untuk mengupas dan menghuraikan mengenai ketuanan Melayu, jauh sekali untuk berhujah menangkis dakwaan yang menolak ketuanan Melayu.

Sekali lagi timbul persoalan adakah ketidaksungguhan pemimpin UMNO itu kerana parti yang memayungi orang Melayu ini tidak lagi menjadikan ketuanan Melayu sebagai asas perjuangan?

Perkara ini jika ditujukan kepada kalangan pemimpin UMNO pastinya akan disambut dengan reaksi amarah.

Tidak kurang juga ada yang akan melenting. Namun, di mana semangat perjuangan orang UMNO itu terhadap mempertahankan ketuanan Melayu sekiranya majlis-majlis wacana ilmu seperti ini tidak mendapat sambutan dan perhatian daripada mereka yang mengaku pembela bangsa ini?

Justeru seperti yang ditegaskan oleh Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Zainal Abidin Burhan, sudah tiba masanya untuk pendidikan dan sosialisasi politik dilakukan semula dalam mengembalikan semangat perjuangan pemimpin UMNO dan ahlinya terhadap konsep ketuanan Melayu.

Ahli-ahli UMNO juga jelas beliau, perlu dididik menerusi satu kurikulum yang khusus untuk memahami seluruh aspek kemelayuan serta segala tuntutan pihak lain yang bertujuan mengecilkan UMNO dan Melayu.

Paling penting, Zainal Abidin menerusi pembentangan kertas kerjanya yang bertajuk "Ketuanan Melayu-Lambang Perpaduan, Kedaulatan dan Kewibawaan Malaysia" menjelaskan, ahli UMNO perlu dari semasa ke semasa memahami seluruh perbincangan mengenai ketuanan Melayu dari sudut pasca modenisme dan pasca kolonial, lebih-lebih lagi neoliberalisme dan hak asasi manusia.

''Ini kerana penolakan ketuanan Melayu itu ada kaitannya dengan pendirian mengutamakan kepelbagaian budaya dan bahasa serta pluralisme agama yang berteraskan hak asasi manusia iaitu lanjutan suara Malaysian Malaysia yang pernah diperjuangkan oleh Lee Kuan Yew dan Malayan Union yang digagaskan oleh British," katanya.

Justeru seperti yang dijelaskan lebih awal, kefahaman mengenai ketuanan Melayu itu tidak seharusnya dilihat dari sudut politik, sebaliknya satu pegangan di kalangan masyarakat Malaysia selaras dengan peruntukan Perlembagaan.

Kefahaman

Maka, adalah wajar untuk kefahaman mengenainya diperpanjangkan kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi sistem pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal.

Di samping itu, media massa sama ada bercetak atau elektronik pula memikul peranan secara tidak formal dengan memperbanyakkan filem, animasi dan lagu-lagu berhubung ketuanan Melayu.

Usaha itu pula diperkukuhkan lagi oleh para intelektual dan cendekiawan Melayu menerusi penulisan dan penerbitan buku yang menjurus kepada pentafsiran mengenai ketuanan Melayu secara lebih meluas dan mendalam.

Pengertian yang jelas mengenai konsep ketuanan Melayu itu sama ada di kalangan orang Melayu atau bangsa lain secara tidak langsung menolak kepada gagasan ketuanan rakyat seperti yang dilaungkan oleh pembangkang serta beberapa kumpulan generasi muda dengan aliran pemikiran yang liberalis.

Ini kerana perjuangan ketuanan rakyat lebih menjurus kepada konsep satu bangsa satu negara, atau dari konteks orang Melayu dari Kemelayuan ke Kemalaysiaan dan barangkali, dari keislaman ke Islam yang liberal dan mudah lentur kepada tuntutan pluralisme agama.

''Sekiranya keadaan ini berlaku, maka martabat dan maruah Melayu sebagai bangsa yang besar di kepulauan Melayu ini akan menjadi kecil dan tidak mustahil akan pupus satu hari ini lantaran ideologi Melayu Islam itu tidak lagi dimantapkan sebagai asas perjuangan yang kukuh," ujar Zainal Abidin.

Justeru, adalah satu keutamaan ketika ini untuk meletakkan perjuangan ketuanan Melayu itu melangkaui kepentingan politik dan menjadikannya sebagai paksi dan induk perpaduan serta kewibawaan Malaysia.

Betapa ketuanan Melayu itu seharusnya mendasari asas perjuangan politik orang Melayu adalah kerana ia merupakan benteng kepada kedaulatan Melayu tidak hanya di rantau ini, malah di seluruh dunia.

Atas kepentingan itu, Penyandang Kursi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling ketika sesi penggulungan seminar yang sama memberi penekanan, supaya setiap daripada Melayu perlu menyedari hakikat tersebut.

Dalam erti kata yang lebih luas, beliau menyeru orang Melayu untuk tidak melepaskan kepentingan mempertahankan ketuanan Melayu itu di tangan pemimpin politik semata-mata, sebaliknya perlu bermula secara individu iaitu dari dalam jiwa setiap orang Melayu.

Sesuatu yang positif mengenai perdebatan polemik ketuanan Melayu kebelakangan ini ialah apabila bercambahnya kesedaran terutamanya di kalangan pertubuhan berasaskan Melayu untuk bangkit mempertahankan ideologi ini.

''Tanpa ilmu yang mendalam mengenai isu ini, maka orang Melayu tidak mungkin mampu mencabar setiap hujah yang dikemukakan dan kita juga selamanya akan dilihat sebagai orang yang lemah dan kalah," ujar beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: