Bazar SDSI Sabah.
KOTA KINABALU 12 Jan. - Orang ramai yang mengunjungi Bazar Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di sini menyifatkan penganjuran bazar itu sebagai batu loncatan untuk pengusaha-pengusaha kecil di negeri ini mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran lebih luas.Menurut mereka, ruang dan peluang yang diberikan melalui bazar itu perlu digunakan sebaiknya oleh para pengusaha dan pada yang sama orang ramai akan turut didedahkan dengan produk-produk tempatan.Balau Rudin, 50, dari Papar berkata, bazar berkenaan perlu disertai lebih ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) supaya dapat mempromosikan hasil mereka."Ini bagi memastikan produkproduk mereka yang selama ini dianggap sebagai produk kampung diketengah dan didedahkan untuk tatapan umum supaya orang ramai mengetahuinya.
"Dengan cara ini, produk-produk ini yang dahulunya hanya dikenali di peringkat kampung akan dapat perhatian sewajarnya. Saya percaya orang Sabah akan lebih menghargainya," katanya.
Jeffri Johnnie, 38, berkata, bazar itu akan membuka mata orang ramai kerana sebelum ini produk kampung dijual dalam bentuk yang tidak menarik dan tidak mempunyai nilai komersial.
Beliau yang kini menetap di Likas menambah, melalui pembungkusan dan label pelekat yang lengkap, produk-produk IKS akan dilihat setanding dengan produk dari Sarawak atau Semenanjung."Bukan sahaja boleh bersaing di peringkat negeri atau pun nasional tetapi juga berupaya menembusi pasaran antarabangsa kerana penampilannya yang profesional dan meyakinkan," katanya.Bagi Suhaili Omar, 58, pula, bazar itu perlu dianjur secara lebih kerap dalam setahun bagi membolehkan pengusaha-pengusaha kecil mempunyai tempat untuk memperkenalkan produk mereka.Beliau yang berasal dari Papar berkata, para pengusaha juga boleh bertukar-tukar pandangan dan pengalaman sesama mereka bagi memantapkan lagi produk masing-masing.
"Bazar SDSI perlu menjadi platform yang betul-betul memberi manfaat kepada para pesertanya dan bukan sekadar mempromosikan produk-produk kepada orang ramai," ujarnya.Pada penganjuran akan datang, dia mencadangkan supaya diadakan di kawasan awam yang menjadi tumpuan utama supaya lebih ramai yang akan mengetahui produk-produk mereka.
0 comments:
Post a Comment