Azlina bantu wanita lain gapai kejayaan
|
Namun, jika benar wujud kesungguhan dalam diri untuk berjaya dan tidak mengalah pada apa juga keadaan kejayaan bukan sesuatu yang mustahil.
Inilah juga yang berjaya dibuktikan usahawan wanita terkenal, Datuk Azlina Che Abdullah, 42, apabila tidak gentar memulakan perniagaan kala Malaysia teruk dilanda krisis ekonomi pada tahun 1998. Hasilnya, kejayaan demi kejayaan berjaya digapai wanita tersebut sehingga kini mampu meletakkan dirinya sebaris dengan jutawan kosmetik tempatan yang lain.
Bagi Pengarah Urusan D'Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd. itu, kejayaan hadir bukan disebabkan pertolongan orang lain, tetapi diri sendiri yang berperanan menentukan ke mana arah tujuan yang dimahukan.Tidak dinafikan, selalunya peluang kejayaan akan berada dalam satu ruang yang sempit dan seandainya wanita sedar dirinya sedang berhadapan dengan kesempitan, ia perlu menjadikan halangan itu sebagai titik tolak untuk memperkasakan diri.Prinsip beliau mudah, orang yang bijak akan sentiasa mencari cara atau jalan untuk berjaya, sedangkan orang yang gagal pula sibuk mencari alasan.Atas semangat itu, setelah hampir 15 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, Azlina bersama suami, Datuk Stapa Omar berjaya menerajui beberapa syarikat besar antaranya D'Navechee, De Classic Life (DCL) DAS Travel, Nasi Dagang Ulik Mayang dan DCL Manufacturing.Lebih membanggakan, beliau tidak hanya berpeluk tubuh melihat wanita lain dihimpit kemiskinan. Sebaliknya, Azlina memberi peluang kaum Hawa menjana kehidupan mereka melalui perniagaan tanpa bergantung harap pada suami.
Atas ciri-ciri kepimpinan yang mengalir dalam dirinya, selain membantu memberi sumbangan besar kepada golongan wanita, Azlina mencipta satu lagi kejayaan apabila dinobatkan sebagai Wanita Ikon 2008 menewaskan tujuh finalis lain pada majlis Malam Gala Anugerah Wanita Ikon 2008 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hujung minggu lalu.Beliau yang anggun menggenakan gaun malam rekaan Iszal Ismail dari Butik Citra, menerima anugerah tersebut daripada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Hasil kemenangan itu, Azlina membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 tajaan Jakel, trofi sumbangan LangkawiCrystal, pakej percutian ke Perth, Australia bernilai RM5,000 tajaan Utusan Travel & Tours dan hadiah iringan lain.Berkongsi kegembiraan, wanita bersemangat waja itu menyifatkan kemenangan tersebut meletakkan dirinya sebagai wakil kepada wanita-wanita lain untuk mencipta satu gagasan baru dalam memartabatkan maruah wanita agar lebih cemerlang dan berani untuk ke hadapan."Jangan sesekali beranggapan apabila diri bergelar wanita, kita mempunyai sifat-sifat yang lemah. Banyak wanita berjaya lain dan pemimpin negara wanita yang boleh dijadikan contoh."Malah, andai saya tidak memiliki anugerah Wanita Ikon ini saya tetap merasakan diri saya ikon kepada pekerja saya, wanita-wanita lain yang merupakan rakan niaga dan juga diri sendiri.
"Wanita Ikon di mata saya adalah mereka yang mempunyai keperibadian tinggi, disenangi, tidak sombong, berakhlak mulia, banyak membantu dan menyumbang kepada masyarakat, negara serta agama," katanya.Menceritakan kepayahannya, Azlina memberitahu, matlamatnya ketika memulakan perniagaan adalah untuk bekerja kuat demi membalas jasa dan pengorbanan ibu yang membesarkan beliau, selain berazam untuk tidak meninggalkan sebarang kemiskinan kepada anak-anaknya.Biarpun memulakan perniagaan dengan membuka syarikat jualan langsung tanpa modal yang banyak dan bantuan orang lain termasuk institusi perbankan, Azlina dan suami tetap meneruskan usaha berbekalkan keberanian, keazaman dan keyakinan diri yang tinggi.
Memandangkan kala itu sedang berlaku krisis ekonomi, Azlina bijak berperanan dalam memastikan perniagaan terus bertahan. Untuk itu, beliau memastikan duit tidak dibelanjakan sewenang-wenang termasuk sanggup menahan keinginan untuk bergaya mewah selama tujuh tahun."Semua itu saya lakukan untuk memastikan keuntungan yang diperoleh disalurkan pada perkara perlu seperti sewa bangunan, gaji pekerja dan modal pusingan syarikat."Setelah semuanya berjalan baik, tujuh tahun selepas itu barulah saya dapat merasai wang hasil titik peluh sendiri untuk merealisasikan segala keinginan," ujarnya. yang sentiasa memastikan dirinya bebas daripada sifat putus asa, berdendam dan tekanan.Pada majlis tersebut juga Pengarah Urusan Leesa Formula, Che Muna Din turut dipilih memenangi Anugerah Wanita Waja manakala Ketua Pegawai Eksekutif Nineteen O One (1901), Tengku Rozaidar Tengku Zainol Abidin terpilih mengenggam Anugerah Wanita Dinamik.
Calon lain yang turut bersaing merebut gelaran Wanita Ikon anjuran majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. itu adalah Pengarah RZ Motivation (Zhulian), Dr. Rosnani Sabtu; Pengarah Urusan Idaman Pharma, Farshila Emran; Pengarah Urusan NK Laboratories, Norazah Khamis @ Atan; Pengarah Eksekutif Berani Guard, Saliza Abdullah dan Presiden Kumpulan Syarikat Eurofine, Ida Rahayu Md Noor
Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz pula dianugerahkan sebagai Tokoh Wanita Ikon 2008 berdasarkan jasa dan sumbangan besar beliau terhadap kemajuan wanita dan negara.Turut hadir dalam majlis penuh gilang-gemilang itu, isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarah Majalah, Utusan Karya, Badrul Azhar Abdul Rahman.
0 comments:
Post a Comment