Gazebo Tera-Thai


HASLINDA Mohd. Eunos (tengah) bersama dua chefnya menunjukkan set menu petang yang disajikan di Gazebo Tera-Thai,Jalan Abdul Samad, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 27 Jan. - Memandang sekeliling dan hiasan dalaman gazebo ini ternyata ia mempunyai konsep ala-ala pondok yang mampu membuat pelanggan selesa dan santai.

Sama ada memilih makan di dalam atau di luar, sememangnya Gazebo Tera-Thai dapat menghidupkan suasana damai untuk makan bersama keluarga dan rakan-rakan pada waktu petang.

Apatah lagi dapat menjamu selera masakan Thailand asli, pastinya kunjungan anda meninggalkan kenangan indah sebagai antara tempat makan yang paling memikat hati.

Pengurus pemasaran restoran berkenaan, Haslinda Mohd. Eunos berkata, kehadiran gazebo itu tepat pada masanya mengikut trend masyarakat kini yang suka melepak dan menjamu selera di luar restoran.

Katanya, gazebo berkenaan juga memberi banyak pilihan kepada pengunjung sama ada ingin menikmati selera di dalam restoran yang berhawa dingin atau menikmati angin luar yang nyaman."Dalam suasana santai, gazebo ini boleh menjadi pilihan pengunjung untuk menjamu selera bersama keluarga dan rakan yang tidak sukakan suasana terlalu formal."Justeru, keunikan konsep Gazebo Tera-Thai ini yang memberi peluang sama ada pengunjung duduk bersila atau makan di pondok payung mampu memenuhi kehendak pengunjung yang pelbagai," katanya.Gazebo itu merupakan satu kesinambungan restoran makanan Thailand, Tera-Thai Fine Dine yang dibuka Mei tahun lalu dan kini mula memikat selera penduduk setempat apabila menerima sambutan membanggakan.Haslinda optimis gazebo itu bakal menjadi pilihan warga bandar raya ini untuk menikmati minum petang dengan makanan Thailand yang ringkas, enak dan harga berpatutan.

Ilham konsep gazebo itu mengikut budaya masyarakat Thailand yang gemar bersantai pada waktu petang sambil menikmati makanan yang tidak berat dan mudah disediakan.Katanya, budaya masyarakat negara luar seperti makanan dan gaya hidup yang berbeza wajar dihargai dan berharap kemunculan gazebo itu memberi kelainan kepada pengunjung untuk mencuba sesuatu yang baru."Kami yakin konsep gazebo ini mampu menarik ramai pelanggan terutama sasaran golongan pertengahan kerana keunikan yang tidak terdapat di tempat makan lain."Banyak perbezaan yang terdapat di gazebo ini dari segi konsep, makanan, layanan dan suasana yang mendamaikan pada waktu petang," katanya yang memiliki dua chef dan tiga pelayan bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi kualiti tinggi.

Apa yang menarik, gazebo itu turut dilengkapi kemudahan Internet jalur lebar iaitu melalui penggunaan Wi-Fi atau sambungan Internet tanpa wayar bagi keselesaan pengunjung.Haslinda memberitahu, pihaknya turut bersedia menganjurkan majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran dan majlis pertemuan semula dalam usaha mempromosikan gazebo tersebut.Mengenai perancangan masa depan, Gazebo Tera-Thai bercadang mengadakan persembahan tarian kebudayaan negara jiran itu bagi menghiburkan pelanggan selain menyediakan perkhidmatan mengurut.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: