Bermodal RM700 kini usahawan berjaya


Siti Aishah Hamdan sentiasa memastikan kualiti cetakan yang dihasilkan memenuhi permintaan pelanggan dan dihasilkan dalam masa yang dijanjikan.

BERPEGANG kepada prinsip kerja 'pelanggan selalu betul dan setiap tempahan harus disiapkan mengikut perjanjian', usahawan percetakan ini terus menempa kejayaan sejak menceburi perniagaan tersebut 15 tahun lepas.

Bagi Siti Aishah Hamdan, 36, kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan tidak harus dipandang sambil lewa, sebaliknya berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.Jadi, tidak hairanlah apabila syarikatnya mendapat kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar untuk mendapatkan khidmat percetakan sama ada mencetak banting, sepanduk, kad jemputan, buletin, beg kertas, pembungkusan dan buku.

Mengembali semula nostalgia bagaimana beliau yang bertindak sebagai Pengarah Lactop Sdn. Bhd. dan suami, Mohd. Sham Mohd. Salleh, 39, bertungkus lumus memajukan syarikat yang kini menjadi kebanggaan dan punca rezeki mereka, sememangnya amat meruntun jiwa.Kata Siti Aishah, beliau dan suami pernah hidup susah dan masing-masing bekerja di sebuah kilang percetakan dengan pendapatan bersama hanya RM1,000 sebulan.Bahkan, suaminya pernah terpaksa tidur di lokap kerana terbeli motosikal curi bagi memudahkan mereka berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

Lebih mengharukan lagi apabila beliau dan suami diberhentikan kerja oleh majikan ketika tinggal beberapa hari lagi umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

"Wang simpanan yang ada ketika itu cuma RM700. Dengan wang itu jugalah saya dan suami sepakat menggunakan pengalaman yang ada terutama dalam berurusan dengan pembekal percetakan, memulakan perniagaan percetakan walaupun dalam skala yang kecil.''Satu cara sahaja yang difikirkan untuk meneruskan hasrat itu, iaitu dengan menghubungi pembekal percetakan yang kenal rapat dengan saya semasa bekerja dahulu, meminta bantuan dengan memberi kredit,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Sri Damansara, Selangor, baru-baru ini.Menurut Siti Aishah, pelanggan pertamanya ialah syarikat penerbitan filem yang baru ditubuhkan.''Dengan muka yang tebal, walaupun saya tahu kemampuan dari segi peralatan dan modal tidak ada, saya memberanikan diri berjumpa dengan mereka.

" Mungkin nasib menyebelahi saya, kebetulan mereka juga mencari syarikat yang boleh mencetak produk-produk bagi mempromosikan filem terbitan mereka.''Alhamdulillah mereka memberi kepercayaan penuh untuk kami menyiapkan poster dan banting dalam tempoh yang ditetapkan."Dan saya bersyukur, dengan terlaksananya projek pertama itu, mereka menjadi pelanggan tetap kami sehingga ke hari ini,'' kata ibu kepada seorang anak lelaki berusia tujuh tahun.Beliau yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu menambah, dengan komitmen yang diberi kepada syarikat yang ditubuhkan pada 1996 dengan nama Bendigo Enterprise sebelum ditukar nama kepada Lactop Sdn. Bhd. pada tahun 1999, beliau mendapat kepercayaan daripada banyak syarikat lain.''Rezeki semakin mencurah setelah tahun 1999. Saya mula mendapat projek daripada kerajaan, hotel dan sektor swasta yang lain."Kerja-kerja juga telah bertambah, bukan sahaja sekadar poster dan banting, tetapi telah mendapat kontrak mencetak pembungkusan, beg kertas, buku dan buletin,'' katanya.Siti Aishah juga mengakui sudah tujuh tahun, beliau dan suami tidak melakukan kerja-kerja pemasaran kerana pelanggan yang membantu memasarkan produk mereka.

Wanita yang gemar menghias rumah ini menegaskan dalam berurusan dengan pelanggan, memberi keyakinan adalah elemen yang penting.''Dalam mendapatkan projek daripada pelanggan baru, saya memastikan tidak terlalu tamak menerima kerja-kerja yang diarahkan kerana saya ingin membina keyakinan dengan mereka dahulu.''Saya selalu nyatakan kepada mereka supaya mencuba dulu perkhidmatan saya dalam skala kecil, jika puas hati dengan hasil yang dibuat, barulah menjalinkan kerjasama dengan skala yang besar.

"Ini kerana saya percaya kepada rezeki, jika pelanggan yakin dan puas hati dengan kerja kita, rezeki itu akan datang dengan sendirinya,'' katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: