Modal' bantu remaja majukan diri


pelatih diajar cara memotong rambut dengan pengawasan pengajar bertauliah.

TUJUANNYA cuma satu iaitu membantu golongan remaja, ibu tunggal, bakal pesara dan yang keciciran dalam pelajaran untuk mendapatkan kemahiran yang boleh digunakan sebagai 'modal' dalam memajukan diri sekali gus menjadi usahawan yang berjaya.Sememangnya niat ini begitu mulia bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, walaupun tanpa pelajaran tinggi tetapi mempunyai kemahiran yang boleh membuka jalan ke arah kerjaya yang lebih gemilang.

Ini merupakan objektif utama penubuhan Aimi Management and Trading pada 29 Julai 2002 di Taman Keramat, Kuala Lumpur oleh pengasasnya yang juga pasangan suami isteri, Omar Taib, 57, dan Azizah Omar, 49.

Omar yang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia menggerakkan pengendalian kursus pengurusan dan keusahawanan sementara Azizah yang berpengalaman selama 25 tahun sebagai pengusaha salon memberi tumpuan dalam bidang vokasional rambut, kecantikan dan fesyen pakaian wanita.Kedua-duanya mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam mengendalikan kursus pengurusan, keusahawanan dan vokasional.Bagi kemahiran vokasional khususnya bidang dandanan rambut, kecantikan dan pereka fesyen wanita, Aimi Management memperoleh kontrak dengan lebih 300 majikan di seluruh negara bagi tujuan latihan industri.Kata Omar, sehingga sekarang, Aimi Management telah melatih hampir 1,000 orang pelajar. Hampir semuanya memperoleh pekerja di pusat kecantikan dan spa serta ada yang menjadi usahawan dengan membuka pusat kecantikan sendiri.

''Kami bangga dengan lulusan kami yang telah mendapat kepercayaan banyak majikan sehingga ada yang sanggup menawarkan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan semasa latihan industri dan sebaik sahaja tamat kursus. Bahkan ada yang menjadi pengajar kepada agensi kerajaan dan pusat kecantikan yang lain.''Dengan kejayaan itu, kami telah diberi tanggungjawab untuk melatih 480 orang anak peneroka Felda .''Di samping itu, kami turut mengadakan kursus dandan rambut untuk bakal pesara tentera. Ini sebagai persiapan untuk mereka memasuki alam pekerjaan lain selepas bersara,'' katanya yang turut menjadi pensyarah dan fasilitator di Institut Usahawan Bumiputera dalam bidang pengurusan dan keusahawanan.

Ujar bekas Timbalan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Kelantan ini, pada tahun lalu, Aimi Management mendapat kepercayaan menjalankan kursus di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Kami melatih anak peneroka Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda).Di samping itu, pada akhir 2008, Aimi Management dilantik menjadi salah satu daripada lima pusat latihan bumiputera yang dipilih memasuki Skim Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera.Sementara itu, menurut Azizah, dengan pemilihan itu, Aimi Management telah diberi kepercayaan untuk melatih 300 anak bumiputera yang berusia 16 hingga 35 tahun bagi menjalani kursus dandanan rambut, kecantikan dan jahitan pakaian wanita.Di pusat ini, walaupun pelatih berkursus dandanan rambut, mereka harus mengambil kursus kecantikan juga kerana kedua-dua memberi manfaat kepada pelatih apabila keluar kelak.

''Oleh itu, setiap petang Jumaat dan Sabtu, pelatih akan mempelajari kursus solekan manakala dari Isnin hingga Jumaat pagi, dandanan rambut.''Di samping itu, kami turut memberi mereka kursus keusahawanan, penyediaan kertas kerja, cara pemilihan lokasi perniagaan, susun atur premis dan perkhidmatan pelanggan sebagai persediaan untuk menjadi usahawan kelak,'' katanya.

Tambahnya, ketiga-tiga kursus ini memakan masa selama setahun dan mempunyai dua tahap iaitu enam bulan setiap satu tahap.

''Setiap tahap, pelatih akan dilatih selama empat bulan di pusat dan dua bulan latihan industri,'' ujarnya.Menurut Azizah, semua perbelanjaan kursus itu ditaja oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi termasuk yuran kursus, asrama dan wang sara diri.''Wang sara diri berjumlah RM300 akan diberi kepada para peserta dan bagi pelatih luar Lembah Klang, penginapan disediakan.''Pada 15 Januari lalu, seramai 100 orang pelatih pertama telah memulakan kursus manakala pelatih selebihnya akan mendaftar pada Februari atau Mac ini. Pengambilan seramai 200 orang itu masih dibuka dan kepada yang berminat, boleh menghubungi 03-42529566,'' katanya yang mengharapkan ramai remaja mengambil peluang ini bagi memajukan diri.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: