Percetakan di hujung jari
Menerusi teknologi POD, pengguna atau individu tidak perlu lagi pergi ke tempat percetakan. Ini kerana semuanya boleh dilunaskan di hujung jari.
BUKU berjudul Games We Used to Make and Play yang dilancarkan baru-baru ini bukan sekadar mengimbau nostalgia permainan zaman kanak-kanak yang telah dilupakan. Ia juga dilihat menjadi epitome atau contoh kepada satu solusi penerbitan terkini.
Buku terbitan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) itu dilancarkan di institut tersebut di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ia diterbitkan berasaskan teknologi yang unik dan menarik, Cetak Atas Permintaan atau Print on Demand (POD).
Berlainan proses percetakan buku biasa, teknologi POD membolehkan penerbitan sesebuah buku dilakukan berasaskan permintaan dari semasa ke semasa. Kalau sesebuah syarikat penerbitan itu biasa mencetak pada volum atau kuantiti yang amat banyak sekali gus, tetapi menerusi POD, pengguna atau individu dapat mencetak buku mengikut bilangan yang diingini pada masa itu.
Disebabkan POD bersifat kesegeraan atau permintaan tanpa tentu masa, teknologi POD diperkukuh dengan konsep permintaan berasaskan laman web. Menerusi laman web itu, pengguna boleh memasukkan permintaan untuk cetakan permulaan dan cetakan tambahan pada bila-bila masa yang dikehendaki.
Laman web tersebut kemudiannya akan dihubungkan ke pusat percetakan digital yang dilengkapi dengan prasarana berteknologi tinggi yang mampu melaksanakan percetakan POD. Pusat percetakan digital itu, kemudiannya akan mencetak berdasarkan butiran spesifikasi yang diminta oleh individu.
Menerusi laman web
Menerusi teknologi POD, pengguna atau individu tidak perlu lagi pergi ke tempat percetakan, sebaliknya semuanya boleh dilunaskan di hujung jari. Hanya masukkan butiran cetakan yang dikehendaki di laman web dan tunggu antara satu hingga dua hari, buku-buku pun siap dicetak.
Buku Games We Used to Make and Play dicetak di pusat percetakan digital POD, Odyssey Centre. Selain mencetak buku secara POD, Odyssey Centre yang terletak di dalam bangunan MIM turut menawarkan percetakan POD bagi risalah, poster, kalendar, poskad dan kad nama.
Pusat itu dilengkapi dengan pencetak berteknologi tinggi Pro C900, keluaran syarikat pengeluar produk dan solusi pengurusan dokumen, Ricoh. Buku Games We Used to Make and Play itu diterbitkan atas usaha sama antara MIM dan Ricoh.
"Teknologi POD membolehkan para pengguna mencetak atau menerbitkan apa dan berapa helaian yang kita perlukan sahaja," kata Pengarah Urusan Ricoh Malaysia Sdn. Bhd., Lim Eng Weng pada sidang media selepas pelancaran buku Games We Used to Make and Play. Ia telah dirasmikan oleh Presiden MIM, Tun Mohammed Hanif Omar. Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MIM, Dr. Wilson Tay dan Pengurus Pemasaran Odyssey Centre, Lim Hui Ghee.
"Berbanding menerbitkan buku menerusi syarikat-syarikat cetakan atau penerbitan biasa, pengguna mungkin perlu terikat dengan paras volum cetakan yang ditentukan oleh syarikat-syarikat berkenaan.
"Adakalanya, kami hanya ingin mencetak buku pada kadar yang terhad. Dengan adanya perkhidmatan ini, boleh dikatakan semua orang kini mampu memiliki atau menerbitkan buku sendiri," jelasnya.
Elak pembaziran
Tambahnya lagi, POD menerima permintaan untuk mencetak dari sebuah buku hingga 1,000 salinan buku. Kos sebuah buku adalah sama tidak kira berapa banyak salinan cetakan yang diminta. Ini kerana POD berasaskan percetakan digital. Tanpa pencetak digital, POD tidak mungkin dapat direalisasikan. Ia mengguna pakai tetapan teknikal yang lazimnya lebih pantas daripada percetakan letterpress dan offset.
"POD juga banyak faedahnya kerana ia dapat mengelak inventori buku yang besar dalam simpanan stok dan lebih penting lagi, ia dapat mengurangkan pembaziran kertas," kata Eng Weng.
Menurut seorang sumber dari Odyssey Centre, untuk menggunakan khidmat POD di Odyssey Centre, pengguna hanya perlu memasuki laman web www.onlineodc.com dan berdaftar dengan laman web tersebut. Sebaik sahaja pendaftaran dilakukan, pengguna akan menerima satu e-mel pengesahan.
Langkah seterusnya adalah pengguna dikehendaki memuat naik fail mengandungi karya mereka yang hendak dicetak atau dibukukan dan pilih spesifikasi yang dikehendaki seperti saiz kertas, jenis kemasan dan cara penjilidan.
Kemudian, sistem akan mengira kosnya secara automatik berdasarkan spesifikasi yang telah dipilih pengguna dan pengguna boleh melihat harga yang tertera. Harganya bergantung kepada saiz kertas, halaman warna atau tidak berwarna.
Selepas itu, pengguna akan diminta untuk melakukan pembayaran secara talian. Akhir sekali, pentadbir akan menghubungi pelanggan apabila tugasan selesai.
"Apabila pengguna ingin menambah cetakan, masuk kembali ke laman web berkenaan dan buat permintaan.
"Jika pengguna membuat permintaan menerusi web, proses biasanya mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk selesai. Ini kerana, untuk penjilidan sempurna sahaja, mengambil masa setengah hari untuk menunggu ia kering," kata sumber itu.
Mengenai bilangan maksimum muka surat sebuah buku, ia bergantung kepada jenis penjilidan yang dipilih pengguna. Apa pun, kapasiti fail yang dimuat naik mestilah kurang daripada 10 megabait.
Ditanya bagaimana sambutan yang diterima oleh Odyssey Centre yang baru beroperasi sejak Januari lalu, sumber berkata, secara umumnya sambutan percetakan adalah bagus.
"Bagaimanapun, kami masih berusaha mendidik orang ramai dan meningkatkan kesedaran mereka tentang proses dan konsep ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment