Bisnes Ibarat Kuda Tunggangan
Hujung minggu lalu saya mengemas bilik pejabat saya (home office). Ketika membelek-belek koleksi buku-buku yang terdapat dalam perpustakaan mini saya itu, saya terjumpa sebuah buku lama berjudul ‘Hidup Mesti Menang’ tulisan Razzi Armansur yang diterbitkan pada tahun 1996. Buku ini amat istimewa dan ada nilai sentimental buat saya kerana inilah buku pertama berkaitan motivasi dan perniagaan yang saya beli. Kerana buku inilah hidup saya berubah agar berusaha mencapai kejayaan dan bermula dengan buku inilah kini saya memiliki koleksi buku motivasi diri dan perniagaan saya sendiri.
Antara pengajaran yang saya ambil dari buku ini dan masih berpegang kuat sehingga ke hari ini ialah mesti berhati-hati dan bersungguh-sungguh dalam mengendalikan perniagaan kita agar sentiasa dalam keadaan yang baik dan berdaya maju.
Menurut penulisnya, setiap perniagaan atau bisnes itu boleh diibaratkan sebagai seekor kuda tunggangan yang dipelihara untuk kemudahan dan kepentingan kita. Kuda tersebut kita tunggang untuk bergerak ke mana-mana dan ia juga digunakan untuk membawa beban muatan barangan atau menarik kereta kuda.
Kuda yang dipelihara dengan baik, cukup makan/minumnya dan sihat tubuh badannya pasti memberi kesenangan dan ketenangan kepada tuannya. Itulah perumpamaan ‘kuda tunggangan’ yang dimaksudkan oleh penulis tersebut di mana bisnes yang diuruskan dengan baik akan memberi pulangan dan kesenangan kepada peniaga tersebut.
Sebaliknya, fikirkan apa akan terjadi sekiranya bisnes kita tidak diuruskan dengan teliti dan mula menghadapi masalah. Bayangkan kuda kita itu tidak sihat dan tidak berdaya lagi, betapa berat dan seksanya kita nak pikul kuda itu. Nak ditinggalkan begitu sahaja tak boleh kerana itulah harta dan punca pendapatan kita. Sepatutnya kita yang tungang dia, tapi kini dia pula yang tunggang kita! Tak ke naya tu…
Kesimpulannya, jagalah bisnes kita agar berupaya memberi pulangan dan keuntungan berpanjangan kepada kita, bukannya dirundung masalah, dikelilingi hutang dan menjejaskan keharmonian hidup kita dan keluarga. Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment