Biskut bangkit Wan Naemah


ARSHAD Hassan (kanan) dan isteri, Naemah menunjukkan biskut bangkit yang diusahakan oleh syarikat mereka, Wirawan Muda Enterprise.

IA larut di dalam mulut dan rangup jika dikunyah serta rasanya yang manis menarik minat kanak-kanak.Itulah keunikan biskut bangkit yang diusahakan oleh ramai kaum Melayu dan Cina. Ia juga dikenali sebagai kuih bakar.Di Alor Setar, Kedah misalnya, kuih bangkit yang diusahakan oleh pasangan suami isteri Arshad Hassan, 49 dan Naemah Dali, 46, sejak tahun 2000 mendatangkan pulangan lumayan.Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, pasangan itu bersama 12 pekerja akan menghasilkan 20,000 biji biskut bangkit setiap hari untuk dijual di seluruh Kedah dan sebahagian di Kuala Lumpur dan Melaka.Dengan menggunakan 160 kilogram (kg) adunan setiap hari yang terdiri daripada tepung gandung, tepung ubi, telur, gula, garam dan santan sebanyak 18 karton kuih bangkit dapat dihasilkan.

Arwah ibu

Menurut Arshad, perusahaan kuih bangkit itu diusahakan oleh arwah ibu mertuanya yang dikenali sebagai Wan. Setelah ibu mertuanya meninggal, beliau dan isteri meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual biskut itu di rumah sahaja."Mula-mula kami buat dengan dua kg tepung sahaja, sampai sakit bahu untuk mengayak tepung. Selepas itu kami buat sembilan kg pula," ujarnya ketika ditemui Kosmo! di bengkel pembuatan biskut itu di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kuala Sungai, Alor Setar.Menceritakan lebih lanjut perniagaan kuih bangkit itu, Arshad berkata, pada tahun 2003 beliau mendapat pinjaman sebanyak RM2,000 untuk membeli sebuah mesin memproses biskut itu memandangkan permintaan tinggi terhadap makanan tradisional berkenaan.

Ujarnya, selepas itu barulah beliau bersama MADA dan mendapat tempat di bengkel dan menjadi usahawan di bawah bimbingan badan berkenaan.

Beliau berasa bertuah hasil titik peluh mengadun adunan dengan tangan bersama isterinya itu kini membuahkan hasil. Kini, beliau mempunyai tiga mesin adunan yang memuatkan 30kg adunan setiap satu.Selain itu, dengan 13 buah ketuhar, beliau boleh menghasilkan 20,000 biji biskut bangkit sehari.Biskut bangkit yang meletakkan label Wan Naemah itu turut menerima tempahan pembelian secara borong tanpa meletakkan sebarang label."Kalau ada pembeli atau pemborong hendak letak label sendiri dengan mengambil stok dari sini juga itu tidak menjadi masalah," jelasnya.

Tahan setahun

Kata Arshad, kuih buatannya itu boleh bertahan selama setahun hasil maklumat pelanggannya, namun beliau menyarankan selama enam bulan sahaja.Sempena Hari Raya Aidilfitri, stok biskut bangkit jenama Wan Naemah itu diletakkan di dalam sebuah bilik berhawa dingin setiap masa sebelum diambil oleh pembeli supaya ia dapat bertahan lama."Semasa pembungkusan di dalam bekas juga kami tidak mengehadkan setiap bekas mesti 50 biji biskut, kami akan letak sehingga biskut itu dalam keadaan ketat dalam satu-satu bekas, biasanya lebih 500 gram," katanya yang pernah memenangi tempat pertama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) pada 2006 dan 2008 kategori kuih tradisional bahagian pemerosesan.Biskut bangkit yang tidak mempunyai pengedar tetap itu hanya menerima tempahan daripada pembeli dan pemborong di sekitar Kedah dan beberapa negeri lain. Ia dijual pada harga RM12 sebekas.Sebarang urusan pembelian, boleh hubungi Arshad di talian 017-577 9924, 019-574 9924 atau 04-733 037.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: