Juadah mangkuk tingkat



APA juadah dan di mana lokasi berbuka? Dua soalan itu seakan-akan sinonim dengan umat Islam di Malaysia apabila menyempurnakan Rukun Islam ketiga itu, terutama di kalangan warga kota.

Menyedari hakikat itu, dua anak muda mendapat idea untuk menyediakan khidmat penghantaran juadah berbuka ‘mangkuk tingkat’ dengan matlamat menawarkan juadah lazat di lokasi paling selesa iaitu premis sendiri.Sebagai generasi siber yang bercita-cita tinggi, Zainol Amri Zainol Abidin dan Mohammad Faisol Murad mengambil kesempatan untuk menyediakan perkhidmatan ‘e-restoran’ iaitu penghantaran juadah ke rumah atau pejabat hanya dengan membuat tempahan secara dalam talian.“Ia bukan sekadar perniagaan tetapi juga sebagai perkhidmatan untuk membantu umat Islam berbuka puasa lebih teratur serta tanpa kelam-kabut, sekali gus membolehkan mereka merancang aktiviti selepas berbuka dengan lebih baik, termasuk melaksanakan solat tarawih.“Kami menggunakan konsep mangkuk tingkat berukuran 4 x 14 sentimeter dengan setiap satu dikenakan harga pakej RM300 sebulan, mengandungi dua jenis hidangan utama, kuih-muih, kurma serta nasi untuk dua orang dan dihantar ke destinasi langganan oleh ‘runner’ mengikut masa dikehendaki dan akan menyajikan menu berlainan yang disediakan chef bertauliah Alchemy Services sepanjang Ramadan,” kata Mohammad Faisol.Menurutnya, seramai 115 pelanggan berdaftar untuk servis terbabit dan dia menjangka jumlah itu akan menjangkau kepada 300 orang serta akan meluaskan pasaran ke seluruh Lembah Klang bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

“Melihatkan sambutan positif setakat ini, kami bercadang meluaskan perkhidmatan mencakupi Lembah Klang dan seluruh negara untuk beberapa tahun lagi,” katanya.Bagi tempahan, Alchemy Services menyediakan laman web iaitu www.makansantai.com untuk dilayari pelanggan, sekali gus membuat tempahan dan bayaran secara dalam talian.Syarikat milik dua anak muda berusia 24 tahun yang ditubuhkan sejak awal tahun itu turut menyediakan jualan kuih raya berharga RM20 melalui Internet untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan.

Sebelum Ramadan, Alchemy Services yang diusahakan mereka bagi mengembang perniagaan katering keluarga yang berpusat di Alor Star, Kedah menyediakan perkhidmatan seperti sajian untuk hidangan tengah hari.Zainol Amri berkata, mereka memulakan perniagaan berkenaan dengan bermodalkan wang simpanan masing-masing berjumlah RM50,000 dengan membangunkan satu laman web dan juga peralatan.Dia yakin dapat mengembangkan perniagaannya kerana konsep diperkenalkan itu bersesuaian dengan kehidupan warga kota ketika ini.Katanya, melihat sambutan yang menggalakkan menyebabkan pihaknya merancang mencari sebuah rumah kedai yang lebih sesuai untuk dijadikan pusat operasi perniagaan di kawasan lebih strategik di sekitar ibu kota pada masa depan supaya pengedaran tempatan dapat dibuat lebih efisyen.

“Ramadan ini menjadi permulaan untuk kami melihat sambutan dan meyakini ia dapat dikembangkan lagi pada masa depan dengan kawasan pengedaran lebih luas,” katanya.


PROFIL
NAMA: Zainol Amri Zainol Abidin
ASAL: Alor Star, Kedah
LAHIR: 29 September 1985
PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan
JAWATAN: Pengarah Alchemy Services Sdn Bhd; Pengarah Tewati Jaya Sdn Bhd; Pengarah Urusan D ABza Autmobil & Services Sdn Bhd; Pengarah ARKID Jaya Sdn Bhd dan Pengarah One Edd (M) Sdn Bhd

NAMA: Mohammad Faisol Murad
ASAL: Alor Star, Kedah
LAHIR: 24 November 1985
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Elektronik Institut Teknikal Jepun-Malaysia; Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4
PENGALAMAN: Juruteknik di Hoya Electronic (M) Sdn Bhd
JAWATAN: Ketua Pegawai Operasi Alchemy Services Sdn Bhd

INFO
> Mengenakan deposit untuk mangkuk tingkat sebanyak RM50
> Antara menu sajian buka puasa adalah ayam masak rose, daging rendang bali, kari udang, asam pedas ikan, kari ketam nenas dan kurma ayam
> Menyediakan pelbagai kuih raya termasuk almond london, snowy almond, tat nenas, semperit, oren bijan, emping coklat
> Beroperasi dari Taman Lestari Putra, Seri Kembangan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: