Kedai Kopi Kawan - satu konsep santai.


KAWAN sedia menyambut selera.


SEJAK tahun lalu, Kawan Kopitiam yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor diingati kerana menghidangkan juadah negeri Johor seperti laksa Johor dan mi rebus. Sajian itu ditampilkan bagi mengangkat warisan resipi keluarga pengusahanya, Ezzah Aziz Fawzy.

Namun, sepanjang Ramadan tahun ini, kopitiam yang diusahakan oleh Ezzah bersama suaminya, Ahmad Rezal Mohd. Esa dan dua lagi rakan kongsi, Hasbullah Abdullah dan Johar Johari, menawarkan satu kelainan.

Mereka sepakat mengambil khidmat seorang tukang masak berpengalaman dari Besut, Terengganu, Hasanah Mahmod yang pakar tentang masakan kegemaran penduduk Kelantan dan Terengganu seperti nasi dagang, nasi kerabu, ayam serta ikan percik gaya Pantai Timur.

Nasi kerabunya siap dengan pilihan lauk-pauk seperti ayam goreng berempah dan ikan goreng bertepung, nasi dagang pula lengkap keenakannya hanya dengan kepekatan gulai tenggiri dan telur.

Dua hidangan nasi eksotik itu dan nasi lemak boleh dibungkus untuk mereka yang mahu berbuka puasa di rumah. Namun, bagi yang menikmati iftar di kopitiam itu, mereka mempunyai lebih banyak seleksi juadah untuk dicuba.

Sebanyak 50 menu tradisi termasuk minuman dan pencuci mulut ditukar pada setiap hari. Tentu sekali, lauk popular adalah ikan keli bersambal, kerabu perut serta gulai lemak ikan masin dan nanas.Tidak ketinggalan, terdapat juga ikan keli masak lemak cili api, ayam dan ikan masak percik dan masak lemak pucuk ubi. Ulam-ulaman pula tidak ketinggalan disediakan bagi digandingkan dengan sambal belacan.Bagi yang menyukai manisan, Kawan Kopitiam turut menghidangkan aneka jenis agar-agar, puding karamel, bubur kacang dan kuih-muih tradisional lain sebagai pencuci mulut. Sebelum pulang, ada sesuatu yang ingin dicadangkan kepada pengunjung.

Pastikan anda bertanya tentang kuih bakar jagung istimewa yang dihasilkan sendiri oleh Ezzah. Betapa lazat kuih yang teradun cantik, selain rasanya yang manis, lemak dan berkrim

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: