Bangkit daripada kegagalan


Ada hikmah ke atas kedua-dua kegagalan itu. Ia menjadikan siapa saya sekarang ini. Ia adalah rintangan untuk menjadi berjaya dan terbaik dari hari sebelumnya.

WALAUPUN telah mengalami dua kegagalan dalam sejarah kehidupannya, Suhamiza Asmarizaini Zakaria, 29, tidak betah dengan takdir yang menimpanya. Beliau bangun dan bangun tanpa mengendahkan kata-kata sumbang daripada pihak yang hanya mahu melihat dirinya terus tenggelam dalam kehidupan lalu.

Dua kegagalan iaitu dalam rumah tangga yang dibina atas dasar cinta yang hanya bertahan selama dua tahun manakala bidang trading yang diceburi buat pertama kalinya musnah, telah cukup mematangkan dirinya untuk terus berusaha bagi membuktikan kepada keluarganya bahawa beliau akan berjaya suatu hari nanti.

“Ada hikmah ke atas kedua-dua kegagalan itu. Ia menjadikan siapa saya sekarang ini. Ia adalah rintangan untuk menjadi berjaya dan terbaik dari hari sebelumnya.

“Prinsip hidup saya mudah iaitu kerja keras, jujur dan amanah dalam apa sahaja bidang yang diceburi,’’ katanya ketika ditemui di Kelana Jaya, baru-baru ini.Beliau yang lebih mesra dipanggil Shereen mengakui penglibatannya dalam dunia perniagaan sememangnya banyak cabaran dan likunya.“Sementelah pula saya tidak ada asas dalam perniagaan. Cuma minat dan kerja keras senjata utama dalam menceburi bidang ini. Sebab itulah perniagaan pertama saya lingkup. Bagaimanapun itu tidak mematahkan semangat saya malah menjadi pengajaran dan panduan untuk terus menceburi perniagaan lain.

“Bagi saya, sekali kita gagal, sekali itulah yang membakar semangat saya untuk berjaya,’’ kata usahawan yang kini memiliki perniagaan kecantikan, percetakan, teknologi maklumat (IT), insurans kesihatan dan pembuatan barangan plastik.Graduan sains komputer dari Workers Institute of Technology ini mengakui tidak berminat untuk memasuki kerjaya yang dipelajari semasa di kolej. Ini kerana beliau tidak betah untuk duduk di pejabat menghadap komputer dan kerja-kerja rutin.“Jiwa saya lebih kepada jenis kerja yang memerlukan berjumpa dengan orang ramai. Saya kagum dengan ahli perniagaan dan jurujual yang mencari rezeki dengan kerja keras bagi melariskan jualan dan memperkembangkan sayap perniagaan. Inilah perjuangan sebenarnya.

“Justeru itu, bagi pengajaran pertama melangkah ke alam perniagaan, saya berkongsi dengan rakan membuka perniagaan trading pada tahun 2004. Bagaimanapun tidak lama, ia tidak bertahan lama. Tanpa ada rasa kesal, saya membuka perniagaan IT yang melibatkan kontrak-kontrak kerajaan.“Inilah pengajaran kedua saya dalam menghadapi kerenah pelanggan dan persaingan dalam merebut kontrak. Walaupun ia mencabar, tetapi bagi saya, ia cukup mematangkan fikiran dalam berurusan dengan orang ramai,’’ jelasnya yang berterimakasih dengan keluarga dan mentor iaitu tokoh korporat berjaya, Datuk Pahamin Rejab yang sering memberi tunjuk ajar untuknya berjaya dalam bidang ini.Tambahnya, semakin lama menceburi bidang perniagaan, semakin dekat di hati. Masa inilah baru nampak peluang-peluang yang baru. Maka, terjun pula dalam bidang kecantikan yang sememangnya menjadi minatnya.

“Saya kagum dengan wanita yang suka menjaga kecantikan. Pada saya, mereka ini sungguh prihatin dan sayang dengan diri dan tubuh pemberian Allah. Justeru, bagi menambahkan produk-produk penjagaan muka dan kulit di pasaran, saya mengeluarkan produk berasaskan aromaterapi dan minyak essential. Insya-Allah pada awal 2010, satu lagi rangkaian produk akan diperkenalkan iaitu produk pelangsingan.“Di samping itu, bagi pelanggan-pelanggan yang mahu memanjakan diri, boleh berkunjung ke spa D’Affinity Beauty. Ia berkonsep dalam taman mawar yang menawarkan perawatan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki,’’ katanya yang meminati fesyen elegan dan kemas.Menurut Shereen, beliau harus bekerja keras kerana mahu anak tunggalnya, Muhd. Ameer Haqimi mempunyai kehidupan yang lebih baik walaupun sebagai ibu tunggal.

Belajar pasaran saham

Beliau mengakui walaupun rumahtangganya hancur dalam usia yang masih muda iaitu ketika dia berusia 21 tahun, namun ini tidak semestinya hatinya telah tertutup untuk menerima sebarang lelaki. Hidup bersendirian hampir lapan tahun telah mematangkan dirinya dalam mengenali lelaki.“Saya kahwin pada usia 19 tahun iaitu semasa masih belajar. Kehidupan sebagai suami isteri itu tidak dirasai sepenuhnya kerana saya sibuk belajar. Namun itulah takdirnya. Saya tidak menyesal dan tidak mengambilnya sebagai satu kesilapan.“Bahkan sekiranya saya tidak berkahwin, saya akan sambung belajar ke luar negara dan balik tanpa ada sebarang kerja dan masih berfoya-foya, saya tidak akan menjadi seperti sekarang,’’ kata bekas pelajar Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.Tambahnya, dalam membahagikan masa dengan keluarga dan kerjaya, beliau cuba seboleh mungkin memberi sokongan apa sahaja pada hari-hari istimewa anak kesayangannya. Bahkan, dalam usianya lapan tahun, dia masih manja, masih berdukung dan makan bersuap.“Saya mahu dia tahu, saya terlalu sayang padanya dan apa yang saya lakukan adalah untuknya,’’ ujar wanita manis yang begitu mengagumi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.

Beliau yang mempunyai kegemaran membeli belah dan membaca serta menggemari program televisyen Discovery Channel memberitahu, dengan membaca buku-buku motivasi seperti karya Donald Trump dapat memberi tunjuk ajarnya dalam bidang perniagaan.

“Sekarang saya sedang belajar pasaran saham bagi memungkinkan saya menceburi bidang itu suatu hari nanti,’’ katanya.Ditanya bagaimana menjaga kecantikan, wanita berkulit mulus ini mengakui beliau memang prihatin mengenainya sejak remaja lagi.“Sejak remaja lagi saya telah menggunakan produk penjagaan kulit kemudian diikuti dengan produk berjenama antarabangsa. Tetapi sejak telah ada produk sendiri, saya hanya menggunakan produk sendiri.“Saya selalu pastikan cukup tidur, minum air putih, jus buah-buahan dan bersenam sekurang-kurangnya setengah jam sehari untuk menjaga kesihatan.“Dari segi pemakanan, saya suka makan apa sahaja terutama makanan Thai dan Cina,’’ jelasnya yang ingin menjadi salah seorang usahawan wanita yang berjaya di negara ini.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: