Karier penulis skrip

Menurut Nor Shuhadatul, menulis skrip tidaklah begitu sukar jika seseorang benar-benar meminati bidang penulisan.


PENULISAN skrip menjadi sumber pendapatan buat Nor Shuhadatul.






PENULIS skrip mestilah kreatif dan mempunyai imaginasi yang tinggi.


Untuk menjadi seorang penulis bukanlah mudah. Mencari idea dan kelapangan fikiran untuk mengarang adalah sesuatu yang paling utama dalam kerjaya ini.

Namun, apabila hasilnya dapat dipersembahkan di hadapan mata, rasa bangga hadir dengan sendiri.

Bagi penulis skrip muda, Nor Shuhadatul Ain Zakaria, 26, kerjaya sebagai penulis skrip yang diceburinya berlaku secara tidak sengaja. Nor Shuhadatul memang minat menulis, cuma dia tidak pernah terfikir untuk menjadi penulis skrip.

Dia yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Pengajian Media (Penyiaran) dengan kepujian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini menjadikan penulisan skrip sebagai punca pendapatannya.

Menurut Nor Shuhadatul, menulis skrip tidaklah begitu sukar jika seseorang benar-benar meminati bidang penulisan. Selain itu, mereka juga harus memiliki keinginan untuk menulis dan sabar untuk menyudahkan. Ikuti temu bual GenK bersama Nor Shuhadatul berkenaan kerjayanya.

GenK: Boleh ceritakan bagaimana anda memulakan kerjaya sebagai penulis skrip?

NOR SHUHADATUL: Penulisan sudah sebati dalam diri saya. Selepas tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, saya menyertai Metrowealth International Group (MIG). Di sana, saya mula belajar mengenai penulisan skrip. Saya mempunyai seorang guru yang mengajar tentang penulisan skrip dari satu peringkat ke peringkat yang lain.

Apakah judul-judul drama atau filem yang anda tulis skripnya? Bagaimana anda mendapat kepuasan daripada kerjaya ini?

Antara skrip drama yang saya tulis ialah Lu'Lu, Mertua vs Menantu, filem Syurga Cinta, Jangan Main belakang, Embun Mutiara dan banyak lagi. Dalam penulisan, kita boleh meluahkan apa yang terpendam sama ada gembira atau sedih menjadi satu karangan. Karangan itu kemudian menjadi skrip dan dilakonkan para aktor dan aktres. Seterusnya ia ditayangkan di televisyen atau layar perak. Apabila tengok hasil tangan sendiri dilakonkan, saya rasa sangat bangga. Setakat ini sudah lebih 10 skrip drama dan filem telah saya hasilkan.

Apakah yang perlu ada dalam diri seseorang untuk menjadi penulis skrip?

Apa yang penting ialah minat terhadap bidang penulisan. Kita perlu jadikan penulisan sebagai sebahagian daripada diri kita. Sebagai contoh, saya tidak boleh tidak menulis satu hari. Kadang-kadang, jika tidak ada skrip untuk ditulis saya akan tulis blog atau apa sahaja yang membolehkan saya menulis. Seseorang itu juga harus kreatif dan mempunyai imaginasi yang tinggi. Mereka juga tahu bagaimana untuk menghasilkan karya yang boleh difahami oleh penerbit dan pelakon.

Apakah cabaran anda dalam menghasilkan karya yang berkualiti?

Sama seperti penulis-penulis lain, ada masanya saya mengalami kebuntuan idea. Bila tiba saat-saat begini, saya akan meminta pandangan rakan-rakan terdekat dan berbincang apakah langkah seterusnya. Dengan cara ini, idea kadang-kadang dapat dikembangkan. Antara cabaran sebagai seorang penulis skrip ialah apabila konsep cerita kita ditolak. Itu belum apabila filem atau drama yang dihasilkan tidak diminati penonton.

Kepada mereka yang ingin menceburi bidang penulisan skrip ini, apa nasihat anda?

Mereka yang ingin menceburi bidang ini harus mencari seseorang yang sesuai untuk mendapatkan bimbingan. Jangan terlalu terburu-buru kerana dalam industri ini bukan semuanya jujur. Kadang-kadang ada yang akan mengambil kesempatan pada pihak orang baru dan mencuri konsep kita. Sedar-sedar, ia sudah ditayangkan di kaca televisyen. Kita mesti berani mencuba dan berwaspada.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: