Bisnes orang Melayu tak berkembang. Mengapa?
Topik dan skop artikel ini telah lama saya fikirkan, tetapi saya pendamkan sahaja kerana bimbang diri saya ini dianggap suka menulis perkara negatif mengenai peniaga atau usahawan Melayu.
Sememangnya bukanlah niat saya mencari salah atau kekurangan orang kita tetapi saya menganggapnya sebagai suatu pendekatan untuk melihat kelemahan sebagai titik permulaan untuk mencari jalan penyelesaian kepada perkara ini.
Pada hari ini, boleh dikatakan memang ramai orang kita dah berani melibatkan diri dalam bisnes. Jika dulu, orang Melayu lebih dikenali sebagai petani, nelayan atau kakitangan kerajaan. Amat jarang sekali kita dengar orang kita bergelar bisnesman. Kalau adapun, reaksi orang pada waktu itu samada kagum ataupun pelik… Kagum jika orang itu kaya atau berjaya dalam bisnes, pelik jika sebaliknya. Sendiri cari susah, fikir mereka.
Tapi hari ini dah lain. Mana-mana kita pergi, kita boleh lihat orang kita berniaga di mana-mana. Baik di tepi jalan, di pasar malam, pasar tani, pasar basah, kedai runcit, kedai makan, syarikat pembinaan, katering, andaman dan macam-macam lagilah! Memang seronok dan bangga!
Tapi topik kali ini saya ingin bawa anda berbincang mengenai peratus perkembangan bisnes yang dimiliki oleh orang Melayu. Tiada sebarang statistik boleh saya berikan, cuma hasil pemerhatian peribadi, perbualan dengan para peniaga dan juga feedback daripada orang dalam di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Saya terkejut apabila mendapati walaupun peratusan orang Melayu melibatkan diri dalam bisnes semakin meningkat saban tahun, namun sebenarnya penguasaan ekonomi para peniaga Melayu sebenarnya tak meningkat dengan seimbang. Dalam erti kata lainnya, bisnes orang Melayu tak berkembang seperti yang sepatutnya!
Mengapa?
Jangan salah faham… bukannya saya mengatakan semua bisnes orang Melayu kita ni tak maju atau tak menguntungkan. Tidak… bukan macam tu!
Saya yakin anda dapat lihat sendiri ramai orang Melayu yang berbisnes, kehidupan mereka boleh dikatakan mewah dan selesa. Yelah… nak dibandingkan dengan orang makan gaji atau pendapatan kecil, tentulah orang bisnes ni ‘cash’ mereka lebih sikit…
Yang saya maksudkan bisnes orang Melayu tak berkembang ialah hasil keuntungan perniagaan usahawan Melayu tidak digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan atau memperluaskan lagi skop perniagaan mereka. Sebaliknya, mereka ini lebih gemar menyimpan keuntungan tersebut untuk kegunaan lain.
Sebagai contoh, salah seorang usahawan yang saya jadikan subjek kajian merupakan seorang peniaga pasar malam menjual barangan dapur kering seperti bawang, kentang, cili kering dan seumpamanya sejak 20 tahun lalu. Dari luaran, beliau seorang peniaga yang berjaya jika dinilai dari saiz rumah dan perabot mahalnya, jumlah kereta yang tersusun di halaman mahligainya, jumlah isterinya, jumlah pekerjanya dan jumlah hartanah dan rumah sewa yang dimiliknya.
Pendek kata, orang ini berjaya dalam kehidupannya tetapi bagi saya beliau bukannya peniaga yang berjaya. Saya menganggap sedemikian kerana sejak 20 tahun lalu tiada sebarang peningkatan dalam perniagaannya. Selepas 20 tahun, beliau masih lagi berniaga di pasar malam!
Tidak adil jika saya katakan semua peniaga Melayu bersikap begini, tetapi malang sekali kebanyakannya memang bersikap sedemikian. Lebih selesa berada di tahap lama dan kurang berusaha meningkatkan taraf perniagaan mereka. Mudah berpuas hati!
Bukankah sepatutnya beliau membawa perniagaan beliau ke tahap yang lebih tinggi? Setidak-tidaknya beliau boleh membuka perniagaan pasaraya ataupun kini berperanan sebagai pemborong?
Saya lebih tertarik apabila membaca tulisan oleh pakar ekonomi, Dr. Barjoyai Bardai dalam bukunya Peluang Perniagaan terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Senada dengan pandangan saya tadi, dalam buku ini beliau mengatakan betapa peniaga Melayu lebih gemar menggunakan hasil keuntungan perniagaan mereka untuk untuk menunjuk-nunjuk kemewahan peribadi kepada orang lain, bukannya membangunkan perniagaan sedia ada mereka itu!
Dalam buku tersebut, Dr. Barjoyai mendakwa peniaga Melayu, jika perempuan akan berfikir bagaimana menambahkan koleksi barang kemasnya. Jika lelaki, bagaimana nak tambah isteri lagi, bahkan jika yang muda asyik berfikir bagaimana nak tukar kereta atau motosikal! Itulah peniaga Melayu tipikal mengikut pandangan pakar ekonomi yang seorang ini.
Rumusannya, yang berkembang ialah kekayaan peribadi, bukannya saiz perniagaan mereka! Maka tak hairanlah jika perniagaan orang Melayu tak berkembang. Rugi, rugi….
p/s: Adakalanya bagus juga jika menunjuk-nunjuk sedikit kemewahan kita sebagai usahawan sebagai motivasi kepada orang lain. Tapi kalau menunjuk-nunjuk untuk meninggi diri…. itu riak namanya. Nanti bisnes ke mana, kita pun ntah ke mana…
Apa pula pandangan anda dalam hal ini?
0 comments:
Post a Comment