Sabree Classic popular di Johor ..jahitan membawa sabree ke mercu
|
Memulakan perniagaan jahitan sejak 30 tahun lalu dengan menjadikan Medan Arked Mara di Kampung Melayu, di sini sebagai lokasi memulakan perniagaan, Sabri Abd. Rani, 52, kini mampu berbangga kerana kini sudah mempunyai enam premis di bandar raya ini termasuk yang terbaru di Taman Perling.Usahawan yang memperoleh kemahiran menjahit daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) ini merupakan tukang jahit tersohor kerana kebolehannya menjahit pakaian dengan kemas dan bermutu.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan sektor korporat, jabatan dan agensi kerajaan menjadikan Sabree Classic sebagai 'panel' mereka."Pada peringkat permulaan, saya cuma ada 10 pekerja, tetapi kini ada kira-kira 20 orang terdiri daripada tukang ukur, pemotong, penjahit, penggosok, pembungkus dan pemasar."Kepakaran kami adalah membuat baju kemeja, pakaian sut, jaket, seluar dan kot. Selain itu, baju Melayu sama ada teluk belanga atau cekak musang juga dihasilkan kami," kata Sabri ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurutnya, antara pelanggan mereka adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Bank Rakyat, Lembaga Pelabuhan Johor, Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Petronas dan Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Sabri memberitahu, antara prinsip yang menjadi keutamaannya hingga boleh bertahan selama 30 tahun itu ialah kekemasan jahitan pakaian dan ketepatan masa yang sentiasa dipatuhi di samping melayani kepuasan hati para pelanggan."Ini semua dapat dilakukan kerana saya mengamalkan pengkhususan di kalangan pekerja iaitu daripada tukang ukur, tukang potong, tukang jahit, tukang gosok sehinggalah pembungkusan."Tujuannya untuk memudahkan tugasan kerana setiap orang boleh memberi fokus sepenuhnya kepada kerja dan bidang tugas masing-masing," katanya.Menurutnya, waktu yang paling mencabar adalah apabila menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya kerana lazimnya mereka menerima tempahan kira-kira 1,000 pasang baju Melayu yang mesti disiapkan sebelum ketibaan 1 Syawal."Apa yang kami lakukan, pelanggan yang hendak menempah baju Melayu terutama yang memilih baju teluk belanga, digalakkan menempah tiga bulan awal sebelum ketibaan Ramadan.
"Contohnya, pada tahun ini mulai Mei ini saya telah buka tempahan kerana pada Ogos ini kita akan menyambut Ramadan dan September Hari Raya Aidilfitri, " katanya.Menjawab pertanyaan Sabri berkata, antara cabaran utama dalam bidang jahitan ialah kesukaran untuk mendapatkan tenaga pekerja mahir.Katanya, untuk menjadi pekerja dalam bidang jahitan, seseorang itu sekurang-kurangnya tahu empat jenis jahitan iaitu menjahit baju dan seluar baju Melayu dan baju kebaya serta tahu mengukur, memotong dan menjahit.Mengenai pembukaan premis baru di Taman Perling, ia merupakan pelaburan yang strategik kerana ia berhampiran dengan Kota Iskandar, Nusajaya, yang dijangka memberi impak besar terhadap perniagaannya.
0 comments:
Post a Comment