Karnival nostalgia Vespa


Sebahagian skuter jenis Vespa yang dipamerkan di Karnival Vespa dan Motor Klasik Antarabangsa di Arena Square, Kuala Kangsar, baru-baru ini. - UTUSAN/HASHIM P. MAMAT

KUALA KANGSAR 15 Mei - Karnival Vespa dan Motor Klasik Antarabangsa yang berlangsung di Arena Square dekat sini baru-baru ini, bukan sahaja menjadi tumpuan para peserta mempamerkan 'kehebatan' motosikal masing-masing tetapi turut menjadi medan mengeratkan tali silaturrahim.Selain sama-sama memeriahkan acara yang berlangsung, pengunjung sanggup datang dari jauh semata-mata kerana ingin bertemu rakan yang pernah ditemui semasa sambutan yang sama sebelum ini.

Hakikatnya, karnival unik dan penuh nostalgia itu merupakan acara tahunan yang diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Perak selain turut dimasukkan di dalam kalendar pelancongan kerajaan negeri.Peserta Thailand, Abullah Karim, 57, berkata, karnival seumpama itu wajar mendapat tempat di hati masyarakat kerana ia berupaya mengeratkan silaturrahim di antara para peserta dan pengunjung yang turut hadir.''Saya sanggup datang dari jauh bukan sahaja untuk menyertai karnival, tetapi hendak bertemu rakan-rakan lama yang pernah saya jumpa sebelum ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.Memiliki sebanyak lima buah Vespa lama termasuk keluaran tahun l973, kata Abullah , dia gembira kerana sekali lagi dapat hadir ke acara itu.Ditanya tentang minatnya itu, beliau berkata, dia mengumpul Vespa kerana yakin dengan keistimewaan kenderaan itu yang tahan lasak, unik, mempunyai enjin yang kemas serta mudah mendapat alat ganti.Peserta Singapura, Jailani Saif, 65, pula berkata, walaupun sudah berumur, dia sanggup menempuh perjalanan yang jauh dengan hanya menunggang Vespa kerana tidak mahu ketinggalan dalam karnival tersebut.''Saya mula menyertai karnival ini sejak tahun 2003. Saya bangga kerana setiap tahun karnival ini mampu mengumpulkan ribuan peserta," katanya.Jailani berkata, dengan adanya penganjuran karnival seumpama itu, mereka yang datang dari negara luar berpeluang melihat keindahan dan cara hidup masyarakat kampung di Malaysia dengan lebih dekat.

Tambahnya, pertemuan dengan peserta-peserta lain juga banyak memberi inspirasi baru dan mengeratkan lagi tali persahabatan antara mereka.Hamidun Saleh, 50, yang mengetuai para peserta Singapura berpendapat, penganjuran karnival itu perlu dijadikan contoh kepada pihak-pihak lain.''Ini adalah tahun ketujuh saya bersama dan saya tidak akan melepaskan keseronokan menyertainya bersama keluarga dan rakan-rakan," katanya.Seorang gadis, Norazlin Mat Jais, 22, dari Alor Gajah, Melaka, berkata, dia mula berminat menunggang Vespa apabila berjaya memilikinya sendiri.''Saya membelinya selepas tamat sekolah dengan harga RM500. Ini merupakan tahun ketiga saya menyertai karnival di sini. Saya seronok kerana dapat berjumpa kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama.

''Sekurang-kurangnya aktiviti begini dapat menggelakkan saya daripada melakukan perkara-perkara tidak sihat," katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd. Azmi Mohd. Azidin, 61, juga dari Melaka, berharap pihak yang bertanggungjawab akan meneruskan usaha murni tersebut kerana secara tidak langsung ia dapat membantu penduduk setempat menambah ekonomi mereka melalui perniagaan yang dijalankan.Sementara itu, Pengerusi Penganjuran karnival itu, Datuk Mohd. Ghazali Jalal berkata, sambutan yang diterima setiap tahun amat memberangsangkan dengan jumlah pengunjung sentiasa meningkat sejak dianjurkan lapan tahun lalu.''Tahun ini adalah kali kelapan kami menganjurkan karnival ini dan bukan sahaja jumlah peserta meningkat tetapi pengunjung juga bertambah setiap tahun," katanya.Menurut Mohd. Ghazali, peserta yang mengambil bahagian bukan sahaja terdiri daripada masyarakat tempatan, tetapi juga peserta luar negara.

''Peserta Malaysia sahaja melebihi 1,000 orang, tetapi yang menarik ialah ada juga peserta dari Thailand (135 orang), Brunei (35 orang), Jerman (seorang) dan England (tiga orang). Sambutan hangat ini membuktikan karnival yang dianjurkan semakin popular," ujar beliau.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: