Lambaian Homestay Kachong Darat


JALAN masuk ke perkampungan Homestay Kanchong Darat.

Panorama indah selain pelbagai hidangan menarik yang disajikan pasti memikat pengunjung, pelancong

RIMBUNAN bunga orkid pelbagai warna yang tumbuh mekar dilihat cantik menghiasi kediaman, seolah-olah mendiami rumah yang dikelilingi taman bunga. Ia pasti mampu memikat sesiapa saja yang memandangnya ditambah pula dengan oksigen segar yang dibebaskan oleh bunga-bungaan itu. Panorama indah ini dapat dilihat di perkampungan Homestay Kanchong Darat, Banting, Selangor, satu lokasi pelancongan keluarga yang wajar dikunjungi untuk merehatkan minda selepas penat bekerja.

Terletak kira-kira empat kilometer dari pekan Banting, nama Kanchong Darat bermaksud bekas air yang diperbuat daripada buluh. Perkampungan homestay yang mampu menempatkan 80 orang pada satu-satu masa itu membabitkan 38 rumah dengan 95 peratus penduduk terdiri daripada masyarakat Jawa.

Bermula sebagai perkampungan homestay pada 1998, pengunjung pasti terpesona dengan kehijauan alam semula jadinya, di samping menikmati udara segar dan menerima layanan mesra penduduk.

Senyuman mesra tidak lekang di bibir mereka menyambut kunjungan pelancong tempatan, mahupun luar negara.

PENDUDUK Kanchong Darat, Lailiah Samingan membakar bahulu dengan menggunakan arang.

Menariknya, pelancong boleh memilih untuk berkampung di sini berdasarkan kehendak mereka di kediaman yang disediakan untuk perkampungan homestay itu dan menyertai aktiviti desa bersama pengusaha dengan bayaran berpatutan.

Pelancong dapat merasai pengalaman manis, selain menjalin hubungan akrab dengan penduduk Kampung Kanchong Darat yang peramah melalui aktiviti yang dijalankan, di samping menjamah hidangan ala Jawa yang disajikan.

Bagi mereka yang ingin mendalami budaya masyarakat Jawa, perkampungan homestay itu mampu memberikan pengalaman manis hidup dalam kepompong masyarakat ini dengan tradisi perkahwinan mengikut adat dan makanan tradisi termasuk nasi ambeng, emping, bahulu dan makanan berasaskan ubi seperti 'lemet' dan 'ketiwol'.

Pengunjung akan disajikan dengan hidangan nasi ambeng yang menjadi satu kemestian. Ia dihidangkan dalam dulang bersama lauk pauk seperti ayam masak kicap, serunding, sayur-sayuran dan ikan masin, untuk dinikmati empat atau lima orang.

TAMAN rekreasi di Homestay Kanchong Darat.

Keenakan hidangan nasi ambeng ini menjadi tarikan utama bagi pelancong yang tidak pernah merasai nikmat makan beramai-ramai, sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara penduduk kampung dan pelancong.

Pengurus Homestay Kampung Kanchong Darat, Mahyuddin Bakar, 64, berkata perkampungan homestay itu ditubuhkan bagi menyuburkan tradisi masyarakat Jawa yang semakin dilupakan selain memajukan perusahaan kecil seperti membuat kerepek, tempe, bahulu dan emping.

Katanya, kebanyakan pengusaha masih menggunakan cara lama dalam menghasilkan kuih tradisional.

"Dalam membuat kuih bahulu misalnya, sabut kelapa dan arang masih digunakan untuk membakar berbanding bahulu yang banyak terdapat di pasaran kini, yang menggunakan ketuhar.

"Pelancong juga berpeluang membuat bahulu tradisional di sini, selain melihat proses pembuatan emping melinjau. Emping melinjau berasa sedikit pahit, tetapi enak dimakan sebagai makanan ringan seperti kerepek," katanya.

Kulit buah melinjau yang berwarna merah dikupas dan diambil bijinya. Kemudian bijinya akan digoreng tanpa menggunakan minyak. Selepas masak, kulit luar biji melinjau akan dikupas sekali lagi lalu ditumbuk menggunakan penukul untuk dijadikan kepingan emping, seolah-olah membentuk kepingan kerepek. Ia kemudian dijemur sebentar sebelum digoreng dan sedia dimakan.

'Lemet' adalah lepat yang diperbuat daripada ubi yang diparut manakala keharuman aroma daun pisang yang membalutinya pasti membangkitkan selera sesiapa saja untuk menikmati makanan tradisi ini.

Mahyuddin berkata, 'ketiwol' adalah makanan masyarakat Jawa, yang diperbuat daripada tepung ubi, dengan disirami air, membentuk seperti adunan kulit karipap yang tidak cukup air dan dikukus sebelum digaulkan bersama parutan kelapa dan gula.

Selain makanan, perkampungan homestay ini turut menyediakan permainan desa seperti tarik upih, gasing, ting-ting, batu seremban dan galah panjang.

Homestay Kampung Kanchong Darat mula dikenali selepas rumah contoh milik Misnan Kariyo, 68, dan isterinya Tuminan Mokri, 63, memenangi banyak anugerah seperti landskap terbaik anjuran pengurusan homestay dan Kementerian Pelancongan.

Katanya, pengusaha homestay dilatih dan diberi kursus untuk program homestay ini bagi memastikan pelancong berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan kembali semula ke perkampungan itu pada masa akan datang. Beliau berharap usaha perkampungan homestay itu dapat dipertingkatkan, di samping membentuk keharmonian masyarakat yang lebih padu, dan mendapat perhatian kementerian untuk menaikkan taraf pengusaha kecil supaya lebih berdaya maju.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: