Dari air ke manisan tebu


Wan Hamidatun Wan Ishak membantu ibunya Hindon Abdullah menghasilkan air manisan tebu di rumah mereka di Kupang, Kedah.

Biasanya kita tidak akan merasai kepuasan dengan hanya sekali meminum airnya. Air tebu sememangnya minuman yang popular terutama ketika dijadikan penghilang dahaga ketika umat Islam berbuka puasa di bulan Ramadan.

Kita juga mengetahui, tebu adalah tanaman yang digunakan untuk menghasilkan gula yang menjadi keperluan bagi segenap manusia.Namun di sebalik keenakan airnya agak jarang bagi kita mengetahui air tebu boleh menghasilkan produk lain yang mampu menjadi daya tarikan terbaru dalam dunia makanan.

Manisan tebu satu lagi produk berasaskan air tebu yang begitu manis tetapi mengambil masa yang agak panjang untuk menghasilkannya.

Dua beranak di Kampung Tiak Kupang, Kedah mencetuskan idea baru mengeluarkan produk manisan tebu selepas kebun tebu yang seluas lebih satu hektar digunakan sepenuhnya untuk menambah pendapatan keluarga.

Hindon Abdullah,53, dan anaknya, Wan Hamidatun Wan Ishak, 24, yang mengusahakan kebun tebu ternyata tidak mempersiakan kerana memanfaatkan tebu bagi menghasilkan produk yang boleh dipasarkan dengan meluas.Menjelaskan lebih lanjut Hindon berkata, selain menjual tebu dan airnya, beliau terfikir manisan tebu yang biasanya menjadi amalan orang terdahulu yang mengilhamkan pelbagai makanan untuk memenuhi cita rasa masing-masing."Oleh kerana pengeluaran tebu yang semakin banyak menyebabkan kami berusaha mengeluarkan manisan tebu istimewa ini," katanya.Menurut Hindon, walaupun proses membuat dan menghasilkan manisan tebu agak rumit dan mengambil masa yang lama, namun dia tekad untuk terus menjalankan perniagaan ini kerana mampu menambah pendapatan keluarganya.

Hindon menambah pada peringkat awal dia hanya memproses air tebu pada jumlah yang sedikit iaitu antara 30 hingga 50 kilogram sekadar mencuba."Selepas manisan tebu dihasilkan saya hanya menjual secara kecil-kecilan di tepi jalan berhampiran rumah," ujarnya.Tetapi ibu kepada enam anak ini tidak menjangka sambutan yang agak menggalakkan sehingga menerima banyak tempahan daripada orang ramai.

Tambahnya, pasaran pertama datang dari Kelantan kerana dia menjual ditepi jalan Kupang ke Grik dan Kelantan.Manisan tebu keluaran Syarikat Gadis Tebu Enterprise ini ternyata kini menembusi bukan sahaja pasaran tempatan malah mendapat tempahan dari peniaga dari Pulau Pinang, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

Dari satu mesin memproses air tebu, kini syarikat berkenaan mempunya tiga mesin bagi mempercepatkan pengeluaran manisan tebu.Bagi Wan Hamidatun, proses membuat manisan tebu memerlukan ketelitian termasuk memilih tebu terbaik bagi mengelak manisan mudah masam."Proses memilih tebu perlu dibuat dengan teliti kerana jika tersilap menyebabkan manisan menjadi masam," katanya.Mengenai proses membuat manisan, Wan Hamidatun berkata, selepas proses memilih tebu beliau akan mengikis batang tebu bagi membuang debu untuk mengelak termasuk ke dalam airnya selepas diperah.Kemudian tebu akan dimasukkan ke dalam mesin bagi mengeluarkan airnya dan ditapis.

Menurut Wan Hamidatun, proses menapis dilakukan sebanyak dua kali bagi membuang sisa yang termasuk ke dalam airnya.Proses seterusnya ialah memasak air tebu itu yang mengambil masa sekurang-kurangnya enam jam.Kini kedua-dua beranak tersebut mampu mengeluarkan antara 100 hingga 150 kilogram manisan air tebu.Manisan yang siap dimasak akan disejukkan sebelum dibotol dan dilabelkan.

Tambah Wan Hamidatun, manisan tebu yang seberat 340 mililiter akan dijual dengan harga RM5.00 sebotol.Selain dimakan begitu sahaja manisan tebu akan lebih enak lagi jika dicecah dengan roti.Kebiasaan orang tua dahulu memilih manisan tebu untuk dimakan dengan ubi kayu atau dibuat pengat.Penangan manisan tebu akan lebih bermakna dicecah dengan ubi kayu yang dimakan bersama parutan kelapa sudah cukup kesedapannya.Bagi Wan Hamidatun, dia begitu teruja untuk memasarkan produk keluaran syarikatnya memasuki pasar raya besar kerana dia yakin produk seperti itu belum pernah menakluki pasaran tersebut.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: