Makan donat percuma setahun!
|
Kedengaran seperti kerja gila, namun enam pelajar Sekolah Seri Suria (SSS) Kuala Lumpur ini turut mendapat kebenaran dan sokongan daripada ibu bapa untuk 'berkampung' di perkarangan pusat membeli-belah demi mengejar gelaran orang pertama merasai donat Krispy Kreme di Malaysia.
Hadiah utamanya juga cukup lumayan iaitu bekalan donat percuma selama setahun atau sedozen Krispy Kreme's Hot Original Glazed seminggu untuk dikongsi bersama rakan-rakan dan keluarga.Pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah utama Golden Ticket (Tiket Emas) itu adalah pelajar tingkatan lima, Joey Tham Li Yen, 17, yang kecil molek, langsung tidak kelihatan seperti penggemar donat.
"Saya sebenarnya tak suka sangat makan donat tapi setelah merasai Krispy Kreme yang digembar-gemburkan sebagai donat paling lazat di dunia, kini saya mempunyai perspektif baru terhadap donat," ujar Joey.Remaja ini menceritakan bagaimana beliau dan lima sahabatnya dimarahi dan diusir pengawal keselamatan kerana enggan berganjak meskipun waktu perniagaan sudah berakhir.
Mujur ketika itu ada wakil Krispy Kreme menjelaskan keadaan sebenar kepada pengawal tersebut dan memaklumkan gimik pembukaan kedai donat itu kepada anggota polis yang sedang bertugas kira-kira 10 meter dari situ."Bayangkan hanya kami berenam menunggu di depan bangunan besar yang ditinggalkan orang, memang amat menakutkan."Namun pengorbanan yang tidak seberapa dengan berkat sokongan ibu bapa kami semua, akhirnya kami berjaya menempuhi cabaran itu," katanya gembira.Pemenang Silver Ticket (tempat kedua) pula adalah Alex Leong Kok Weng, 17, keenam-enam mereka bersepakat menyahut cabaran Krispy Kreme yang menawarkan donat percuma kepada pelanggan bertuah.
"Kami mencuba sampel donat Krispy Kreme ketika promosi bergerak (roadshow) beberapa bulan lalu dan terus membuat keputusan untuk menjadi pelanggan bertuah itu.
"Memang tidak sia-sia kerana kami berjaya mencapai impian merasai semua jenis donat Krispy Kreme yang sungguh lazat, lembut dan gebu!," ujarnya yang memenangi bekalan donat percuma selama enam bulan.Pemenang Bronze Ticket, Bilal Ahmed, 17, pula tidak menyangka turut terpilih sebagai pemenang meskipun hasratnya sekadar menyokong dan menemani rakan-rakan lain dalam cabaran itu.Katanya, dia pernah merasai donat Krispy Kreme yang dikirim bapanya ketika ke luar negara tidak lama dahulu namun peluang merasai donat segar memang amat dinanti-nantikan.
"Kami gembira melihat sambutan orang ramai sehari selepas kami memulakan usaha beratur di depan Krispy Kreme kerana lama-kelamaan suasana menjadi semakin meriah dengan ratusan orang beratur sejak 7.30 pagi lagi," tambah Bilal.Sementara itu, Pengarah Eksekutif Berjaya Corporation, Datuk Francis Lee berkata, Krispy Kreme pertama di Malaysia itu akan dikekalkan keaslian resipinya dengan bahan-bahan diimport terus dari Amerika Syarikat bagi menjamin keunikan donat yang digemari di seluruh dunia."Kini ia semakin meningkat popular di seluruh Asia dan kami amat mengalu-alukan kedatangannya ke Malaysia," katanya.Krispy Kreme mempunyai 525 cawangan di 16 buah negara termasuk Kanada, Amerika Syarikat, Australia, Puerto Rico, Mexico, United Kingdom, Timur Tengah tidak ketinggalan pasaran Asia seperti Korea, Jepun, Indonesia dan Filipina.
Hari ini keenakan donat premium itu mampu dinikmati rakyat Malaysia dengan cawangan pertama di Berjaya Times Square untuk memudahkan warga kota mendapatkan perisa donat kegemaran mereka.Menurut Francis, rekaan dalaman Krispy Kreme di pusat beli-belah itu banyak merujuk kepada anjakan era jenama tersebut sejak 70 tahun lalu, digabungkan dengan elemen moden untuk mewujudkan suasana selesa, mesra dan ceria kepada para pelanggan.
Kedai seluas hampir 150 meter persegi itu menampilkan Doughnut Theatre yang membolehkan pengunjung menyaksikan sendiri proses pembuatan donat dari awal sehingga akhir.
"Pelanggan boleh melihat ratusan donat melalui proses membakar, diterbalikkan dan disadur di bawah pancuran glis (glaze)," ujar Lee.Tambahnya, sebanyak 18,000 donat dihasilkan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan malah orang ramai juga boleh menghasilkan perisa tersendiri mengikut tempahan.Diperbuat daripada resipi rahsia yang sama sejak lebih 70 tahun dahulu, donat ini diwarisi dari generasi ke generasi untuk mengekalkan kesegaran rasa dan tekstur uniknya."Ia digemari di seluruh dunia disebabkan penyediaannya yang segar setiap hari menggunakan campuran donat tersendiri bagi memastikan kualiti yang konsisten," ujar beliau.
Sebanyak 15 variasi donat disediakan antaranya Chocolate Iced Kreme Filled, Cappucino Franco, Powdered Starberry Filled dan Chocolate Iced with Sprinkles.
0 comments:
Post a Comment