Perunding imej baiki penampilan
|
|
Kini mereka mula menyedari bahawa imej peribadi yang tinggi melambangkan profesionalisme seseorang dan lebih penting bagi menempatkan diri baik dalam karier mahupun perhubungan peribadi.
Imej yang baik mampu melengkapkan diri untuk lebih berdaya saing dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi bagi menyesuaikan diri dalam apa jua situasi.
Bertujuan membantu golongan wanita membentuk imej diri yang lebih baik, perunding imej yang sedang membina nama, Sharifah Shawati Syed Mohd. tampil dengan buku sulungnya berjudul Imej Diri Anda Aset Anda.
Ditemui pada majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Tan Sri Rafidah Aziz di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini, bekas personaliti TV ini berkata, buku tersebut mula ditulis sejak empat tahun lalu.''Saya sudah lama berhasrat untuk menerbitkan buku ini tetapi kerana kesibukan tugas, waktu yang kurang sesuai dan perincian yang perlu dikemaskinikan, maka ia banyak kali tertangguh,'' jelasnya yang anggun berjaket biru muda dan berseluar putih.
Buku tersebut menyentuh mengenai pembentukan imej dan peribadi seseorang bagi dicerna ke arah mencapai tahap profesionalisme dalam diri individu agar mempunyai tahap konsistensi yang tinggi dan menjadi seorang yang lebih relevan dalam komuniti atau masyarakat.
''Buku ini mempunyai elemen yang bercorak motivasi, pembelajaran yang interaktif, sesuai digunakan sebagai rujukan dan panduan bila-bila masa.
panduan
''Saya turut memasukkan pengalaman peribadi dalam menetapkan keterampilan selain panduan-panduan berguna dalam pemakaian, skil komunikasi dan bahasa badan,'' kata ibu kepada dua cahaya mata ini.Beliau berkata, buku ini juga ditujukan khas kepada individu, syarikat persendirian, kakitangan kerajaan, ibu tunggal mahupun graduan lepasan kolej yang ingin menghadapi temuduga, termasuk kaum wanita yang inginkan kesempurnaan dalam penampilan.Selain itu, ia juga sesuai dijadikan bahan rujukan oleh institusi pengajian tinggi atau sekolah bagi mendidik remaja dan kanak-kanak daripada peringkat awal.
''Sebuah laman web Portal Rundingan Imej On-Line dicipta bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan konsultasi dengan hanya satu klik."Ini adalah satu inovasi dan inisiatif daripada pihak Adamaya Image Consultancy yang akan memberi kebaikan kepada semua,'' ujar Sharifah Shawati lagi.Buku yang berharga RM39.90 ini merupakan satu-satunya buku yang bercorak teknikal dan interaktif yang menyeluruh mengenai topik imej secara keseluruhan yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.Sementara itu, dalam ucapannya Rafidah berkata, setiap manusia adalah ciptaan khas Tuhan dan memiliki keistimewaan sendiri." Oleh itu, hargailah diri, kekuatan dan memahami kekuatan yang dimiliki.
''Tidak perlu membandingkan diri dengan orang lain atau meniru apa yang orang lain ada. Jadi diri sendiri dan bentuk imej sendiri.''Cara kita memperagakan diri daripada aspek berpakaian, mengenakan aksesori, solekan wajah, dandanan rambut, kebersihan kulit, kuku dan gigi semuanya penting dan diperhatikan,'' katanya.Beliau berkata, penampilan juga harus sesuai dengan diri dan jangan memakai pakaian yang bukan untuk kita walaupun pakaian tersebut cantik pada orang lain. Dengan kata lain, imej yang diingini harus sesuai dengan diri dan umur.
''Cuba baiki apa yang Tuhan telah berikan kepada kita namun apa yang banyak berlaku sekarang ialah ramai yang 'mengubah suai' rupa dan diri. Membaiki dan 'mengubah suai' adalah dua perkara yang berbeza,'' ujarnya lagi.
0 comments:
Post a Comment