Bukan sekadar kecil-kecil anak

ELWIN Goh dan Yvonne Lim menunjukkan bahan-bahan yang digunakan dalam program WynKids di Pusat Pembelajaran WynKids, Petaling Jaya.

MESKIPUN tanpa bekalan pendidikan yang cemerlang semasa di bangku sekolah, ia bukanlah penghalang untuk melahirkan sebuah kejayaan. Itulah yang dibuktikan oleh pemuda berusia 28 tahun, Elwin Goh.Bertatih dari bawah dengan melalui pelbagai pengalaman pahit manis dan jatuh bangun dalam kehidupan, menjadikan kejayaan beliau ketika ini sangat manis. Suatu ketika, Goh pernah bekerja secara sambilan di sebuah kilang pengeluaran komputer pada cuti sekolah. Pengalaman itu ternyata membuka jalan dan masa depan yang lebih cerah buatnya.

"Ditugaskan untuk membuang unit yang rosak daripada mesin yang besar dan bahaya membuatkan saya terfikir. Jika keputusan peperiksaan SPM tidak memuaskan, saya mungkin akan bekerja di kilang seumpama itu seumur hidup," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Bertitik tolak dari situ, Goh membuat keputusan untuk mengulangkaji pelajaran secara intensif mengikut jadual kerana masa tidak membenarkan.

Beliau yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata, ramai orang terperanjat dengan keputusan cemerlang mendapat lima A daripada 10 mata pelajaran dan tertanya-tanya dengan rahsia di sebalik kejayaannya.

"Ketabahan, fikiran positif dan keberanian. Saya telah menetapkan matlamat dan belajar mengikut teknik betul sepertimana yang digunakan oleh pelajar-pelajar cemerlang di sekolah.

"Sejak itu saya tidak pandang belakang tetapi berazam untuk membuat yang lebih baik semasa di Tingkatan Enam," ujarnya.Impiannya menjadi kenyataan apabila beliau berjaya mencapai semua A dalam peperiksaan STPM sekali gus melayakkannya ke Universiti Malaya (UM). Lebih manis, Goh berjaya menamatkan ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perakaunan sebagai Siswazah Terbaik Keseluruhan.Semasa di UM, dia berpeluang mengenali rakan jurusan yang sama, Yvonne Lim yang merupakan pelajar cemerlang sepanjang kehidupannya. Mereka berpeluang mengambil bahagian dalam beberapa pertandingan antara universiti sehingga ditawarkan belajar di ibu pejabat Samsung di Korea Selatan.

Sehinggalah pada September lalu, kedua-dua membuat keputusan untuk meninggalkan dunia korporat dan melangkah lebih jauh dengan menubuhkan Pusat Pembelajaran WynKids. Institusi ini berperanan membantu pelajar yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun memaksimumkan kemampuan dan memupuk pembentukan peribadi serta kemahiran hubungan sesama insan.

"Walaupun kami mempunyai perbezaan, namun kami mempunyai persamaan iaitu minat dalam ilmu pengetahuan," kata Lim.Menceritakan lebih lanjut, Lim berkata, pembukaan WynKids bukan berasaskan keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih kepada kepentingan masa depan pelajar.Ditanya sama ada ekonomi semasa yang tidak menentu akan menjejaskan perniagaannya memandangkan ramai ibu bapa akan lebih berjimat atau mungkin terdapat ibu bapa yang diberhentikan pekerjaan, Goh berkata, pendidikan adalah kalis kemelesetan ekonomi.

Goh menambah, baik atau buruk keadaan ekonomi, pendidikan masih akan diteruskan. Ibu bapa mungkin mengambil langkah berjimat cermat dalam soal perbelanjaan harian, tetapi tidak akan berkompromi dalam pendidikan anak-anak.

"Ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk anak-anak masing-masing. Semetelah harga kita lebih murah dan kompetitif berbanding pusat tuisyen lain," ujarnya.

WynKids juga tambah Goh, memperuntukkan antara RM250,000 hingga RM300,000 untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).Program Wynkids selama enam bulan dibangunkan untuk meningkatkan bilangan pelajar cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik tetapi menerusi rangka kerja konsepsi yang dikenali sebagai Kecemerlangan Tiga Penunjang (The Three Pillars of Excellence). Ia merangkumi kemahiran hubungan dan komunikasi, nilai dan ciri-ciri cemerlang, perwatakan peribadi dan kesihatan."Program itu akan dimulakan dengan bengkel selama dua hari dan disusuli dengan kelas mingguan."Antara sukatan pelajaran termasuk penetapan matlamat, pemetaan fikiran, rahsia mendapat semua A, pengurusan tekanan, rancangan pembelajaran dan pengurusan masa," kata Lim.Menurut Goh, WynKids juga mengendalikan kelas dengan pelbagai permainan dan aktiviti semasa bertujuan membantu budak-budak membangunkan minat terhadap pelajaran.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: