Galeri Seni Warisan Terengganu.


GALERI Seni Warisan Terengganu di Kuala Terengganu turut mempamerkan hasil songket, batik, kraf tangan negeri ini.

KUALA TERENGGANU 10 Mei - Kerajaan negeri Terengganu sememangnya berhasrat memastikan pelbagai produk warisan seni tidak pupus ditelan zaman.Menyedari hakikat itulah kewujudan Galeri Seni Warisan Terengganu di Kampung Ladang, di sini, menjadi salah satu bukti betapa seriusnya kerajaan negeri dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita yang sekian lama terpendam.

Dengan kewujudan galeri itu diharap generasi muda yang menjadi pewaris seni warisan negeri dapat mengenali tentang kehebatan dan keindahan produk seni silam sekaligus menarik minat untuk mereka terus menyumbang ke arah kesinambungan warisan gemilang.

Galeri yang dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) itu bakal menjadi pusat utama rujukan, pameran, pengurusan dan bimbingan rekaan kepada pengusaha kraf.Terengganu International Design Excellence (TIDE) dilantik sebagai penasihat, perunding, pemantau dan kurator kepada penyelidikan, pameran di galeri yang diwujudkan itu.Ia juga berperanan membantu kerajaan negeri membangunkan seni kraf di Terengganu.GSWT menyediakan sudut-sudut pameran kepada pengusaha-pengusaha kraf di Terengganu khususnya bahan kraf seperti songket, batik, busana muslimah, tembaga, ukiran, anyaman dan sebagainya.Sudut-sudut pameran itu berkonsepkan kecemerlangan rekaan yang berinspirasikan kekayaan alam dan warisan tradisi negeri Terengganu.Pengurus Besar YPUT, Azmi Razib berkata, kewujudan galeri itu membolehkan pelbagai hasil produk kreatif pengusaha dipamerkan sekaligus mempertingkatkan industri pelancongan negeri.

Katanya, sudut pameran ini juga berperanan sebagai pencetus inspirasi kepada pengusaha dan juga generasi pelapis akan datang.''Kecemerlangan pengusaha kraf Terengganu khususnya di dalam bidang rekaan begitu membanggakan.''Ini merupakan hasil gigih kerajaan negeri melalui YPU dan TIDE di dalam membimbing dan melatih serta memberi pendedahan tentang perkembangan rekaan kepada pengusaha secara berterusan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.Azmi berkata, agensi-agensi yang terlibat didalam kecemerlangan rekaan ini adalah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ).

Katanya, agensi lain ialah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM), Persatuan Pengusaha Pembatik Terengganu dan Terengganu International Design Excellence (TIDE).

Antara objektif penubuhannya adalah menjadikan Galeri Seni Warisan Terengganu sebagai tempat pameran produk-produk terbaik pengusaha untuk dipamerkan kepada pembeli samada dari dalam atau luar negeri.''Menjadikan GSWT sebagai tempat rujukan rekaan dan tempat pertemuan antara penguasaha dengan pelanggan," katanya.Dari segi pengisian pameran pula Galeri Seni Warisan meliputi sudut pameran songket, demontrasi, pameran batik, pameran kraf tembaga dan sudut pameran kraf ukiran.Pameran bertema merupakan pameran yang dibuat mengikut tema-tema tertentu seperti pameran berkaitan kekayaan hidupan laut, elemen tradisi dan flora serta Terengganu.Pameran tokoh kraf Terengganu merupakan pameran yang mengetengahkan hasil kreatif dan jasa individu kelahiran Terengganu di dalam pelbagai bidang kraf seperti batik, songket, ukiran, tembaga, anyaman dan bidang kraf yang lain.

Dengan adanya pameran ini, tokoh-tokoh kraf ini akan lebih dikenali oleh masyarakat dan menjadi inspirasi kepada generasi baru penguasaha kra tempatan.Pameran inovasi dan eksperimentasi amatlah penting bagi membuka minda pengusaha.Kebanyakan pengusaha telah begitu arif dan mahir dengan teknik dan rekaan tradisi.Walau bagaimanapun berasaskan daripada perkembangan cita rasa pasaran semasa, barangan kraf ini perlu ada perubahan gaya dan nilai tambah estetika bagi menyesuaikan dengan kehendak pasaran.Elemen-elemen tradisi dikekalkan dan diubah suai agar ianya dapat disuai padankan dengan kegunaan semasa.Pameran-pameran ini merupakan pameran inovasi yang berasaskan tradisi Terengganu.Pameran eksperimentasi pula merupakan pameran kraf yang menggunakan kaedah penghasilan batik secara kontemporari.Sudut pameran koleksi Piala Seri Iman merupakan pameran hasil karya daripada peserta-peserta yang telah menyertai dan memenangi pertandingan Piala Seri Iman dari tahun 2005 hingga 2008.Bahan-bahan yang diperaga merupakan koleksi penyertaan para peserta bagi kategori rekaan batik.Sudut pameran bagi rekaan fesyen menampilkan rekaan formal dan kasual busana muslimah komtemporasi untuk lelaki dan wanita.Selain daripada itu, sudut ini juga mengenengahkan koleksi rekacorak batik kontemporasi berasaskan tradisi dan juga barangan kraf berasaskan batik hasil rekaan para peserta.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: