Komik mempunyai 1001 kebaikan dan keunikan tersendiri

Bagi kartunis terkemuka tempatan, Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon, 44, komik mempunyai 1001 kebaikan dan keunikan tersendiri.

Maka tidak hairanlah penggemar komik wujud di seluruh dunia dengan jumlah jutaan orang.

Di negara ini sahaja penggemarnya berjumlah ratusan ribu.

Ujang berkata, komik terbahagi kepada pelbagai jenis dan antara yang popular adalah Selapstik serta Editorial.

Katanya, jenis Selapstik adalah kartun yang tidak mempunyai dialog seperti Tom and Jerry dan Editorial pula seperti kartun Lat.

"Komik diminati kerana ia seni visual iaitu mudah difahami dan lebih ringkas.

"Bahan bacaan ini mempunyai banyak kesan baik antaranya, menenangkan ketegangan perasaan dan pemikiran, membantu pembaca lebih cepat mendalami cerita, menceriakan, murah serta dapat mengisi masa lapang," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.Selain itu, katanya komik biasanya bukan sahaja mengandungi cerita atau karikatur menarik yang ringkas, tetapi juga iklan, fakta mengenai sesuatu produk atau perkara penting, peraduan dan pelbagai isu berkaitan kehidupan masyarakat.Tambahnya, walaupun komik diakui mampu membuatkan individu ketagih mengikutinya dan bersikap negatif apabila membabitkan jenis peperangan atau lucah, ia dapat dielakkan dengan mengawal pembacaannya.Menurut Ujang, pada awal penerbitan komik di negara ini iaitu sekitar tahun 80-an, ia sukar diterima secara meluas kerana ramai ibu bapa yang menganggap komik memberi unsur negatif dan mempengaruhi pemikiran anak mereka.

Namun pada tahun 90-an pasarannya semakin baik kerana masyarakat mulai sedar kebanyakan komik mengajar pembacanya menanam sifat murni dan memberi kebaikan tambahan lain melalui ilustrasi atau visual.

"Penerimaan terhadap komik semakin dapat dilihat apabila kerajaan menubuhkan Sekolah Seni Johor Bahru di Johor dan Sekolah Seni Kuching di Sarawak bagi membantu individu mendalami seni visual dan lukisan.

"Penubuhan sekolah ini membantu menyediakan pelapis dalam bidang penghasilan seni visual dan lukisan termasuk untuk komik," katanya.

Sementara itu, jelasnya, sekitar tahun 1995 hingga 2000, komik tempatan mampu dijual lebih 400,000 naskah sebulan yang memberi pulangan ratusan ribu ringgit kepada pengeluar dan kartunisnya.Ditambah hasil pendapatan iklan yang dipaparkan di dalam komik, ia membuatkan penghasilnya hidup senang. Bagaimanapun Ujang berkata, selepas tahun berkenaan, jualannya semakin menurun akibat faktor lambakan komik dari negara luar dan kemudahan membacanya di internet."Pembaca tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini kerana dengan strategi yang diambil syarikat luar untuk membukukan rancangan kartun popular sebagai komik, mereka pasti terpengaruh. Ada pula pembaca yang tidak sedar komik yang diikuti adalah komik luar," tambahnya.Ujang yang sudah berkecimpung sebagai pelukis komik hampir 30 tahun, berkata, kerajaan perlu lebih prihatin dan harus mengambil langkah berkesan untuk membantu kira-kira 2,000 pelukis komik dan animasi tempatan supaya mampu terus menjual karya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: