Menyingkap rahsia kejayaan JCorp

JOHOR BAHRU 10 Mei - Sebut sahaja Johor Corporation (JCorp), bukan sedikit yang tidak mengenali entiti itu, lebih-lebih lagi penerajunya Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang dikatakan mirip Colonel Sanders, pengasas restoran KFC. KFC merupakan antara perniagaan kendalian JCorp yang berjaya. Malah, kejayaannya kini melangkau ke luar negara.

Tetapi kali ini, kita bukan memperkatakan tentang peneraju tetapi syarikatnya - JCorp yang dikatakan berjaya kerana mendapat 'kelebihan atau keistimewaan' sebagai sebuah syarikat milik kerajaan atau lebih tepat lagi kerajaan Johor.Di sebalik tuduhan itu, hakikatnya kejayaan JCorp lebih kepada usaha dan titik peluh penerajunya sendiri.''JCorp tidak pernah menggunakan kedudukannya sebagai syarikat milik kerajaan negeri Johor untuk membolot kesemua peluang perniagaan besar di negeri tersebut.

''Pihak syarikat sebaliknya menjadi perintis dalam bidang perniagaan yang tidak diterokai, ini adalah merupakan resipi kejayaannya menguasai sektor-sektor tertentu," kata Pengarah Urusan Kulim (M) Bhd., Ahamad Mohamad.

Beliau yang memiliki sejarah perkhidmatan seusia dengan JCorp berkata, syarikat induknya itu sudah beroperasi selama hampir 30 tahun dan turut mengalami proses jatuh bangun dalam bidang perniagaan yang diceburi seperti mana syarikat-syarikat lain.

Katanya, kelebihan JCorp adalah tidak mengongkong anak-anak syarikatnya tetapi sebaliknya memberikan kebebasan itu dalam pengurusan dan kegiatan meluaskan perniagaan.

Sambil mengakui terdapat lontaran dakwaan yang negatif diberikan kepada JCorp, beliau menambah, keadaan itu berlaku kerana mereka yang membuat tuduhan tidak pernah membuat penyelidikan lantas tidak mengetahui bagaimana JCorp mampu menjadi kukuh seperti sekarang.

''Kekukuhan syarikat induk itu kerana kepimpinannya yang sentiasa membuka peluang kepada anak-anak syarikatnya selagi tindakan mereka tidak menyeleweng dan bagi syarikat bermasalah, kami tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama.''Itulah resipi keutuhan JCorp selama ini dan ia menjadi inspirasi kepada anak-anak syarikatnya,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui, di sini.Sambil memberi contoh, Ahamad yang sentiasa mengikuti pencapaian JCorp berkata, JCorp adalah perintis dalam industri oleokimia dan perubatan di Johor sebelum melebarkan sayapnya ke negeri-negeri lain, kemudiannya memasuki pasaran luar negara.''Dulu mana ada syarikat di negeri Johor yang terlibat dalam oleokimia dan perubatan secara serius tetapi apabila JCorp menceburi bidang itu, dan berjaya, timbul pula pelbagai tanggapan,'' jelasnya.Mengimbau sejarah JCorp, Ahamad berkata, syarikat itu memulakan perniagaannya dengan membeli Ladang Tebrau, iaitu aset perladangan pertama yang mempunyai keluasan 1,580 hektar.Daripada situ, JCorp berkembang sehingga ke hari ini dan berjaya menguasai sektor-sektor perubatan melalui KPJ Healthcare Bhd., oleokimia dan perladangan menerusi Kulim, perladangan, makanan dan minuman di bawah QSR Brands Bhd. dan KFC Holdings (M) Bhd..

JCorp juga terbabit dalam pelbagai sektor perniagaan melalui program usahawan muda.

Ahamad mengakui JCorp kini mempunyai pesaing yang ramai dan keutamaan semasa syarikat itu adalah bekerja keras untuk memastikan ia terus kukuh menangani cabaran mendatang.

Beliau berkata, Kulim juga memainkan peranannya dengan memastikan perniagaan sedia ada terus kukuh dan sedang menimbang untuk menceburi bidang perniagaan baru yang mampu menyokong kedudukan JCorp.Ahamad enggan mendedahkan jenis perniagaan yang bakal diceburi Kulim tetapi membayangkan pembabitannya melibatkan sektor-sektor perniagaan yang belum pernah diceburi oleh syarikat itu.''Kulim terbuka dalam soal ini tetapi kami mahu sesuatu yang baru, bidang yang belum diterokai,'' tambah beliau

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: