Tudung corak lucu


Motif topi wanita Inggeris wujudkan kelainan.

TUDUNG tidak ubah seperti rambut yang boleh dibelai, disanggul atau direka dalam aneka gaya. Dalam soal penataan tudung, ia bergantung dengan keperluan dan faktor ke mana tempat yang hendak dituju oleh seseorang, pakaian yang dikenakan, siapa yang hendak ditemui dan sudah pasti anda mahu dilihat oleh setiap orang dengan gaya tudung yang memikat.

Tidak ada seorang pun yang tidak sesuai memakai tudung. Ada yang beranggapan wajah nampak tua apabila memakai tudung lantas menangguhkan hasrat untuk memakai tudung.

Pun begitu, semuanya terpulang kepada anda. Dengan bertudung pun anda masih boleh nampak menarik dan bergaya asalkan tahu cara pemakaian dan memilih tudung yang sesuai dengan anda.

Bagi anda yang mahu kelainan dan ingin dilihat sebagai seorang yang girang, ceria, muda dan bergaya, boleh mencuba himpunan tudung terbaru Square dengan corak-corak lucu.

Dinamakan Square kerana berbentuk empat segi, tudung ini disudahi dengan motif -motif dan aplikasi menarik pada tepi tudung. Corak-corak rumah kecil, sepatu, muffin, payung, telefon, topi, baju, deretan kerusi dan sebagainya yang comel pasti membuatkan anda 'geram' dan ingin memiliki kesemuanya.Kata Ketua Pembangunan Rangkaian dan Perniagaan Partners Heritage, satu-satunya syarikat yang membawa masuk tudung Square dari luar negara, Sainul Haizan Baharudin, setiap motif yang ada pada tudung ini disulam tangan.''Kami memilih jenis kain hycon syifon bagi tudung Square ini kerana kain ini nipis, mudah dibentuk dan cantik terletak di atas kepala si pemakai. Dengan itu, cara pemakaian dan penggayaannya boleh dipelbagaikan,'' katanya yang ditemui di butiknya di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Tambah Sainul Haizan, tudung Square pasti disukai oleh golongan remaja, pelajar, wanita muda dan mungkin juga golongan wanita matang yang inginkan gaya tudung terbaru.

''Motif dan corak tudung sentiasa berubah dan bersilih ganti daripada semasa ke semasa. Setiap minggu, sebanyak 25 corak terbaru akan dikeluarkan. Ini yang akan membuatkan pelanggan seronok dan tidak sabar menunggu corak dan motif terbaru.

''Walaupun kebanyakan corak lucu tudung Square sesuai digayakan dengan fesyen kasual namun terdapat motif seperti jambangan bunga, taman bunga dan kipas Cina yang nampak lebih feminin dan boleh digayakan dengan baju kurung atau dres,'' ujar Sainul Haizan yang bijak menggayakan tudung Square.Dalam memilih warna tudung yang sesuai dengan warna kulit seseorang, Sainul menjelaskan, setiap orang mempunyai warna asas kulit sama ada merah samar atau kekuningan.''Wanita yang mempunyai warna asas kulit merah samar sesuai memakai tudung yang berwarna lembut seperti biru muda, ungu muda dan merah jambu. Sementara yang memiliki kulit kekuningan boleh memilih warna-warna terang seperti jingga, kuning, biru kehijauan dan sebagainya.''Sebenarnya setiap pemakaian tudung akan lebih cantik jika rambut di belakang diikat tinggi atau disiput kecil supaya tudung terletak cantik dan corak tudung akan lebih ketara dilihat, '' katanya

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: