Langkah Memulakan Perniagaan: Nilai Kekuatan & Kelemahan
ELEMEN paling penting untuk anda memulakan perniagaan sebenarnya berada pada diri anda sendiri. Ianya adalah tentang kekuatan dan kelemahan anda. Elemen ini perlu dikenalpasti dan dinilai sebagai asas dalam mencorakkan perniagaan yang hendak dimulakan.
Secara prinsip, perniagaan hendaklah dibina berasaskan kekuatan yang ada. Namun pada masa yang sama, kekuatan tersebut hendaklah dipadankan pula bertepatan dengan kelemahan anda. Contohnya; anda mungkin mempunyai modal yang besar untuk memulakan sebuah industri, tetapi anda kurang berpengetahuan dalam industri berkenaan. Oleh itu, kejayaan industri tersebut akan bergantung kepada bagaimana anda dapat memanipulasi kekuatan (kewangan) yang ada dan mengurus kelemahan (kurang pengetahuan) dengan seimbang serta menjurus kearah objektif yang hendak dicapai.
Antara perkara yang perlu dinilai secara jujur dalam mengenalpasti kekuatan dan kelemahan anda sebagai langkah memulakan perniagaan ialah:
a. Komitmen
Adakah anda mampu memberikan komitmen yang diperlukan dalam perniagaan nanti?
Komitmen merupakan perkara pertama yang patut difikirkan kerana ianya berkait dengan kesanggupan dan kemampuan anda untuk melaksanakan perniagaan. Komitmen boleh diukur berasaskan faktor-faktor berikut:
~ Tujuan (kenapa) anda menceburi perniagaan.
~ Minat anda.
~ Tahap kesihatan fizikal anda.
~ Kesediaan mental anda.
~ Ruang masa yang anda ada di samping laibiliti sediaada.
b. Pengetahuan & Pengalaman
Adakah anda mempunyai pengetahuan berkenaan perniagaan yang akan diceburi?
Adalah lebih baik jika menceburi perniagaan yang berasaskan bidang pendidikan / kelulusan dan pengalaman yang anda ada. Pengetahuan / kepakaran dalam sesuatu bidang khusus yang dimiliki boleh dijadikan aset yang berguna dalam menggerakkan perniagaan.
Sekiranya pengetahuan khusus anda bukan dari bidang kewangan, perlu diberi perhatian bahawa sekurang-kurangnya pengetahuan asas tentang kewangan sangat berguna dalam mengendalikan perniagaan. Seterusnya, pengetahuan dan kesedaran anda terhadap isu-isu semasa berkaitan perniagaan juga amat membantu dalam menjana pertumbuhan perniagaan.
c. Kemampuan Kewangan
Adakah anda mempunyai sumber dan mobiliti kewangan yang baik?
Kewangan adalah penggerak aktiviti perniagaan. Kewangan yang kukuh membolehkan anda melengkapkan infrastruktur dan fasiliti yang diperlukan semasa memulakan perniagaan dan juga perkembangan seterusnya. Selain daripada modal persendirian, kemudahan kewangan dari sumber-sumber lain juga perlu dikenalpasti terlebih dahulu.
d. Kualiti Peribadi
Adakah anda mempunyai kualiti peribadi seorang peniaga?
Untuk berjaya dalam perniagaan anda seharusnya cergas, dedikasi, disiplin, bermotivasi, tekun, praktikal , realistik dan seumpamanya. Lebih dari itu, dunia perniagaan menemukan anda dengan keadaan-keadaan tekanan yang memerlukan anda menghadapinya dengan sabar dan bijak membuat keputusan. Kualiti peribadi adalah aset penting yang dapat memangkin perniagaan anda ke arah kejayaan.
e. Rangkaian & Hubungan
Adakah anda mempunyai rangkaian dan hubungan perniagaan yang baik?
Perniagaan memerlukan proses interaksi. Selain secara dalaman, mempunyai rangkaian yang luas dan hubungan yang baik samaada dengan individu atau organisasi luaran merupakan satu kelebihan. Ianya akan membantu anda dari berbagai aspek sumber dan fasiliti supaya anda dapat melaksanakan aktiviti perniagaan dengan lebih sempurna.
Mengenalpasti serta menilai kekuatan dan kelemahan tersebut boleh dilakukan sendiri atau dengan bantuan orang lain yang berpengetahuan dalam perniagaan. Proses penilaian ini bukanlah satu halangan memulakan perniagaan sekiranya banyak kelemahan ditemui. Sebaliknya, ia adalah sebagai proses persediaan untuk mengkaji apakah kelemahan yang ada akan dapat ditangani supaya tidak mendatangkan masaalah dalam perniagaan yang akan diceburi.
SEKIRANYA berkemampuan, maka langkah seterusnya dalam perancangan dan pembentukan strategi-strategi perniagaan yang berkaitan bolehlah diteruskan.
0 comments:
Post a Comment