Minda Pengarang: Usahawan perlu ubah minda 'ali baba', 'sleeping partner'

INSTRUMEN yang kaku perlu diubah. Penyertaan ala 'ali baba' bukan saja tidak lagi relevan malah merugikan. Sekatan yang sudah tidak memberi manfaat, perlu dimansuhkan. Ibarat barangan di kedai yang tidak laku dibeli orang tempatan, lebih baik dijual kepada orang asing bagi mengelakkan peniaga rugi. Tindakan ini bukan saja menguntungkan peniaga malah pembekal dan pengguna. Dengan itu kek ekonomi terus mengembang walaupun mengagihkan sebahagiannya kepada firma persendirian. Dalam keadaan sekarang, kek ekonomi semakin mengecil apatah lagi dihambat krisis ekonomi global. Sesuatu perlu dilakukan untuk membesarkan kek itu. Tiada gunanya mempunyai bahagian lebih besar ke atas kek yang semakin mengecil. Itulah antara mesej tersirat disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila mengumumkan pembaharuan pendekatan untuk menjadikan Malaysia pusat pelaburan serta menggalakkan pemilikan berkesan serta berkekalan ekuiti Bumiputera, kelmarin. Antara lain ia membabitkan kelonggaran terhadap Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) berkaitan pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan; kegiatan meraih dana oleh syarikat senaraian awam serta pembelian hartanah. Sejak lebih tiga dekad FIC dibentuk sebagai antara instrumen penyusunan semula masyarakat bagi mewujudkan keseimbangan ekonomi, hasilnya kurang memuaskan.

FIC yang dibentuk pada 1974 sejajar kehendak Dasar Ekonomi Baru (DEB), kurang berkesan kerana peratusan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak berubah sejak 1990 hingga 2006 pada kadar 19.3 peratus dan 19.4 peratus. Maka instrumen yang agak kaku itu diubah oleh Najib dalam usaha mengembangkan kek ekonomi. Kerajaan mahu mengubah corak ekonomi ke tahap pertumbuhan lebih tinggi, bermula dengan liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi untuk meningkatkan peranan sektor kewangan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan memperkenalkan model ekonomi baru berasaskan inovasi. Dengan memansuhkan FIC, kerajaan menubuhkan pula Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) yang akan memberi peluang baru kepada Bumiputera dengan sasaran menyeimbangkan pegangan ekuiti dengan kaum lain. Seterusnya, penguasaan dalam syarikat (bukan setakat 30 peratus) bakal memastikan Bumiputera mempunyai kawalan terhadap operasi sesebuah syarikat. Sebelum ini, peruntukan saham khas dan pemilikan ekuiti melalui FIC tidak kekal berikutan penjualan semula saham yang begitu ketara. Melalui dana Ekuinas RM500 juta yang kemudian dikembang kepada RM10 bilion, pemilihan usahawan Bumiputera berdasarkan meritokrasi untuk mengurus syarikat tertentu, membolehkan pegangan saham kekal dalam jangka masa panjang. Ini bermakna, Najib mahu mengubah minda 'ali baba', 'sleeping partner' dan cuma menunggu bantuan mutlak, kerana hanya Bumiputera yang benar-benar mahu berniaga diberi peluang. Apa yang tersirat melalui mesej itu juga ialah lebih baik mempunyai 10 atau 15 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera tulen, daripada 30 peratus pemilikan Bumiputera 'ali baba'. Namun, matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputera di peringkat makro masih kekal. Inilah dilakukan kerajaan, yang sama sekali jauh daripada persepsi segelintir pihak kononnya kerajaan mahu menghapuskan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera dalam DEB atau mahu menjajah ekonomi negara kepada pelabur asing.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: