Asyiknya bermalam di Primula

Di luar bilik, kehalusan pasir pantai yang terbentang luas menunggu setiap pengunjung untuk keluar bersiar-siar sambil menghirup tiupan bayu segar dari pantai.


KOLAM renang yang luas memberikan keselesaan kepada tetamu.

KETENANGAN dapat dirasai apabila bunyi desiran ombak pantai Batu Burok, Kuala Terengganu menerjah halwa telinga. Laut membiru dengan sapaan angin Laut Cina Selatan menambah romantik percutian anda.Berdiri di depan balkoni pada waktu pagi, sambil menghirup udara segar pasti mendamaikan jiwa.Itu antara pengalaman yang dapat anda peroleh tatkala bertandang tamu di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu.Terletak di persekitaran pantai Batu Burok, anda bukan sahaja dapat menggunakan keistimewaan segala kemudahan yang disediakan oleh hotel tersebut, bahkan pantai di depannya yang terbentang luas turut boleh diterokai.
HIDANGAN pantai Timur turut disajikan di restoran Bayu.


Di situ terletaknya, sebuah kolam renang yang dibina serba indah menghadap pantai yang sangat memukau pandangan. Namun, jika terasa ingin berekreasi di pantai, buat sahaja pendaftaran untuk bermain bola sepak pantai atau bola tampar.


KEINDAHAN ombak di pantai Batu Burok boleh disaksikan melalui bilik anda.


Tetapi jika ada yang lebih selesa bersendirian, habiskan waktu petang anda berjalan-jalan di tepi pantai Batu Burok. Pada waktu petang juga, anda akan melihat betapa meriahnya pantai Batu Burok dengan pelbagai aktiviti. Jika ingin turut serta dalam kelompok orang awam, atur sahaja langkah sekitar 100 meter ke sebelah kanan pantai hotel.


PRIMULA Beach Resort masih tersergam indah di Kuala Terengganu.








Di sana, pemandangan kanak-kanak bermain layang-layang atau bola sepak bukanlah sesuatu yang asing. Kadang kala, ada juga peminat papan luncur mengambil kesempatan berekreasi di situ 'mencuri' ombak kuat Batu Burok yang biasanya datang pada lewat Disember.

Seperti kebanyakan pusat peranginan atau hotel terkenal, sudah tentu kemudahan restoran dan bar yang terbaik menjadi kriteria utama menjadikan ia sebagai penginapan popular dalam kalangan pelancong.

Untuk menjamu selera, pengunjung boleh memilih untuk menikmati masakan di restoran Bayu yang terletak di bahagian lobi hotel. Hidangan juadahnya pula lebih kepada masakan tempatan dan Eropah.

Pilihan lain untuk mengisi perut boleh dinikmati di Anjung Bistro. Suasananya begitu indah kerana santapan anda dihiasi dengan pemandangan pantai. Cafe Kuala Kopi juga tidak ketinggalan menyediakan pelbagai keistimewaan untuk menjamu selera.

Jika ingin mencari kelainan rasa, anda mungkin boleh membawa keluarga mengunjungi gerai-gerai atau restoran yang banyak terdapat di sepanjang jalan di pantai Batu Burok.

Di resort yang dilengkapi dengan 69 bilik superior, 150 bilik deluxe dan 26 suites itu, pengunjung boleh memilih untuk tinggal di bilik mengadap pantai atau di bilik yang hanya dikelilingi panorama landskap penginapan.

Sekiranya anda berpeluang singgah menginap di sini, apa kata anda memilih bilik superior. Terletak di bahagian Garden Wing, bilik tersebut berada di tingkat bawah dan ia memudahkan lagi pergerakan anda.

Sementara itu, setiap bilik dilengkapi dengan talian Internet WiFi, pendingin udara peribadi, peti simpanan elektronik, televisyen, pembancuh minuman, bar mini dan pengering rambut.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

0 comments: