Dapatkan Senyuman Menawan
Senyuman menawan memang menjadi idaman setiap invidu. Untuk memiliki senyuman sebegini, faktor paling utama pastilah penjagaan gigi. Gigi yang tidak sihat atau bermasalah, pasti boleh mencacatkan penampilan. Bayangkan, kalau gigi hadapan anda sudah berwarna coklat kehitaman dan jarang, pasti anda tidak mahu dilihat tersenyum bukan. Lebih teruk lagi, keyakinan diri turut terjejas.
Jadi, untuk memastikan senyuman anda sentiada menawan, amalkanlah penjagaan gigi yang tepat. Memberus gigi setiap kali selepas makan memang penting, tetapi menggosok gigi di malam hari iaitu sebelum masuk tidur adalah wajib. Tiada kompromi. Sisa-sisa makanan yang tidak dibersihkan lama-kelamaan akan bertukar kepada plak.
Selain itu, ia juga akan menyebabkan masalah mulut berbau. Ini kerana di permukaan gigi sama ada ketika makan atau tidak akan selalu terbentuk ‘biofilm thin’ yang menyerupai selaput tipis yang menjadi media pertumbuhan bakteria. Selaput inilah yang bertukar kepada plak apabila bakterianya sudah mencapai jumlah tertentu.
Plak gigi ini pula akan sentiasa terbentuk dari waktu ke waktu dan ia terbahagi kepada dua iaitu plak ‘baik’ dan plak ‘jahat’. Plak yang terbentuk tidak lama selepas kita makan dikategorikan sebagai plak yang tidak membahayakan (plak baik) dan mudah dibersihkan apabila gigi diberus. Tetapi, jika plak ‘baik’ tidak dibersihkan dengan segera (dalam tempoh lapan jam), maka ia akan segera berubah menjadi plak ‘jahat’ yang sangat membahayakan kesihatan gigi.
Diet gigi sihat
1. Elakkan makanan bergula
Hindari daripada mengambil banyak makanan dan minuman yang bergula bagi mengelak risiko gigi menjadi reput. Lebih bagus jika anda hadkan pengambilannya ketika waktu makan yang utama sahaja ataupun sekali sehari. Adalah lebih baik mengambil jus buah-buahan tanpa gula daripada mengambil minuman yang ditambah dengan gula. Jika anda masih ingin menikmati kopi atau teh, gunakan pemanis tiruan sebagai perasa. Elakkan juga makanan yang bersifat melekit atau terlalu lembut sehingga mudah melekat pada celahan gigi. Ini kerana ia akan meningkatkan proses pembiakan bakteria.
2. Makan pelbagai jenis buah dan sayuran
Bahan semulajadi yang terkandung di dalam buah-buahan dan sayuran terbukti dapat memberikan pengaruh yang efektif untuk membersihkan gigi. Mengunyah epal misalnya adalah cara terbaik untuk membersihkan gigi dan mendapatkan gigi yang sihat. Sungguhpun epal mengandungi gula buah yang semulajadi, namun banyaknya pengeluaran air liur membantu mengelakkan kerosakkan gigi berlaku. Antara buah-buahan dan sayuran yang boleh dijadikan pilihan ialah oren, tomato, nenas tembikai, timun, lobak merah, seleri dan brokoli.
3. Makan produk tenusu
Makanan yang berasaskan tenusu seperti susu rendah lemak, yogurt rendah lemak, dan keju rendah lemak juga makanan yang baik untuk kesihatan gigi. Ini kerana produk-produk ini kaya dengan kalsium dan fosforus yang sangat baik untuk memelihara kesihatan gigi. Selain itu, kandungan vitamin D yang terdapat dalam susu membantu penyerapan kalsium untuk gigi dan tulang.
4. Berus gigi dengan tepat
Walaupun pemilihan makanan yang tepat boleh membantu mengekalkan kesihatan gigi, tetapi memberus gigi adalah cara terbaik untuk menjamin kesihatan gigi. Memberus gigi dengan cara yang salah boleh menjejaskan kesihatan gigi.
Terdapat beberapa cara memberus gigi yang sering dipaktikkan. Pertama, gerakan vertikal, di mana gigi diberus dari atas ke bawah. Kedua, gerakan horizontal iaitu gigi diberus dari depan ke belakang. Satu lagi cara yang digunakan ialah gerakan berputar.
Daripada ketiga-tiga cara berikut, gerakan berputar merupakan cara memberus gigi yang paling disarankan. Selain sederhana dan efisien, gerakan itu juga boleh menjangkau semua bahagian mulut serta boleh menghasilkan urutan lembut pada gusi. Lakukan proses ini secara perlahan-lahan agar gusi tidak tercedera.
Tip agar gigi sihat
1. Jangan malas memberus gigi. Minimum dua kali sehari. Untuk hasil yang terbaik, gunakan berus gigi elektrik.
2. Lakukan ‘flossing’ dan rajin-rajinlah berkumur agar mulut bebas daripada bakteria. Selain itu, ‘flossing’ dan berkumur dapat menghilangkan kotoran di celah-celah gigi yang tidak terjangkau oleh berus gigi.
3. Kurangkan pengambilan kopi dan berhenti merokok. Nikotin yang melekat pada gigi menjadi ancaman berbahaya bagi kesihatan gigi kerana ia merupakan hidangan lazat kepada bakteria mulut yang menghasilkan asid penyebab gigi berlubang.
4. Bersihkan gigi dengan strawberi. Caranya cukup mudah, hancurkan strawberi dan sapukan pada seluruh permukaan gigi dengan menggunakan jari. Biarkan selama satu hingga dua minit, kemudian gosok gigi secara menyeluruh sehingga bersih.
5. Minum menggunakan straw. Jika ingin minum kopi, teh atau minuman berkarbonat, pastikan anda menggunakan straw. Ini kerana, warna minuman tersebut boleh melekat pada gigi sehingga lama-kelamaan gigi boleh bertukar kekuningan.
6. Lakukan pemeriksaan gigi secara rutin iaitu setiap enam bulan sekali.
0 comments:
Post a Comment