Program SDSI beri banyak manfaat
KOTA KINABALU 20 Julai - Penganjuran pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) berjaya membantu usahawan tempatan mengembangkan jaringan pasaran produk keluaran mereka.Ia juga berjaya mendedahkan usahawan terbabit kepada ilmu-ilmu baru dalam dunia perniagaan yang penting bagi membantu mereka mengembangkan perusahaan masing-masing.
Pengusaha Kayu Manis, Warisah Sarbin, 50, berkata, menyedari manfaat yang bakal diperoleh menyebabkan dia tidak pernah ketinggalan daripada mengikuti pameran itu sejak ia mula diadakan tiga tahun lalu."Sudah tiga kali saya mengikuti program ini dan ia telah banyak membantu memajukan perniagaan kayu manis keluarga kami."Melalui program ini saya bukan sahaja dapat menjual produk kayu manis malah berjumpa ramai rakan niaga yang berminat untuk mendapatkan produk kayu manis dan memasarkannya," katanya yang berasal dari Kampung Tudan Baru, Keningau.Menurutnya, produk kayu manis yang sinonim dengan tempat asal usulnya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan asing.
Katanya, pada masa ini syarikatnya memasarkan pelbagai produk berasaskan kayu manis seperti kulit kayu manis, serbuk kayu manis, kraf tangan dan benih kayu manis.
Sementara itu Pengurus Besar Pusat Pemprosesan Kupang Kota Marudu, Rashad Osman berkata, meskipun pertama kali menyertai program itu sambutan yang diterima oleh pengunjung amat menggalakkan.
Katanya, program tersebut telah banyak mendedahkannya kepada ilmu perniagaan khususnya pemasaran dan komunikasi perniagaan yang berkesan.''Saya rasa lebih bersemangat untuk berniaga dan mengembangkan lagi perniagaan ini," katanya.Pengusaha madu lebah asli, Nabalu Honey Sdn. Bhd., Losimin Lindud, 43, berharap penyertaan ke pameran itu akan membuka laluan kepadanya menembusi pasaran antarabangsa."Pada masa ini produk madu lebah ini telah dipasarkan di Semenanjung dan harapan saya melalui program seperti ini saya akan mendapat rakan niaga bagi memperkenalkan di peringkat antarabangsa pula," katanya.
Beliau yang mempunyai ladang peliharaan lebah seluas kira-kira 6 hektar yakin kelainan yang ada pada madu lebah keluaran ladangnya di Kota Marudu mampu menarik minat pengguna.
Katanya, madu lebah yang dipasarkannya berkualiti tinggi kerana diperoleh dari bungaan semula jadi di negeri ini yang masih tidak tercemar.Dalam pada itu, Faiz Mansur yang mewakili negeri Melaka berkata, program tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan antara usahawan Sabah dan negeri-negeri lain di negara ini."Sambutan yang kami terima sangat baik. Poduk seperti dodol dan belacan dilihat mempunyai potensi yang besar di sini," katanya.
Sementara itu, Hashim Tuin, 32, berkata, beliau datang ke pameran tersebut kerana ingin menyertai seminar bagi mencari maklumat tambahan mengenai cara hendak memula dan menguruskan perniagaan.''Saya bercadang hendak membuka kilang sos dan ternyata saya mendapat maklumat berharga daripada program ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment